14November2018

Mahathir untung tak kena 'lanyak' dengan Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil pendekatan yang budiman terhadap serangan-serangan oleh Tun Mahathir Mohamad dan tetap beradab walaupun berdepan dengan taktik-taktik kotor, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, beliau berkata Dr Mahathir telah melakukan serangan peribadi, penghinaan dan fitnah terhadap perdana menteri yang melampaui batas politik, bahkan melampaui kesopanan dan kesusilaan asas manusia sedangkan Islam menganggap fitnah sebagai jenayah yang berat.

Katanya adalah perkara biasa untuk mempunyai perbezaan pendapat dalam politik, dan ia juga perkara biasa untuk menyatakan secara jelas perbezaan itu.

"Itulah landasan demokrasi dan kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada demokrasi. Tetapi apa yang Dr Mahathir lakukan tidak boleh dipanggil demokrasi atau kebebasan bersuara," katanya menerusi catatan di laman blog beliau, hari ini.

Bernama melaporkan Salleh berkata negara mempunyai undang-undang terhadap jenayah fitnah dan mengutuk seseorang adalah jenayah tetapi Dr Mahathir nampaknya tidak menghormati undang-undang.

"Dia (Dr Mahathir) membuat kenyataan yang menghina dan menuduh Najib bermacam-macam. Ini sangat tidak bertanggungjawab bagi seseorang yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia dan ini menunjukkan teladan yang buruk untuk golongan belia," katanya.

Menurut Salleh, orang Melayu mempunyai apa yang disebut adab.

"Kita mesti mengawal diri kita daripada sampai ke tahap politik kotor di mana fitnah dan segalanya menjadi budaya politik baharu di Malaysia," katanya.-9/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 439  tetamu dalam talian