17November2018

Macam mana status UMNO Sabah ekoran penyertaan dalam blok baru PGBS?

Jangan silap sangka bahawa penyertaan UMNO Sabah dalam blok pembangkang baharu di negeri ini iaitu Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi bermaksud riwayat UMNO sudah berakhir di negeri itu.
 
Ini kerana tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang akan meninggalkan parti sebaliknya UMNO akan menyertai PGBS sebagai salah satu komponen di dalamnya.
 
Hal ini dijelaskan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berhubung BN Sabah bakal dibubarkan selepas semua ADUN parti itu bersetuju menubuhkan blok pembangkang baharu iaitu PGBS.
 
Blok PGBS  akan terdiri dari  ADUN UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
 
Hajiji yang ditemui wartawan selepas sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu Selasa memberitahu keputusan menyertai blok PGBS  dibuat memandangkan Barisan Nasional (BN) negeri telah kehilangan parti komponennya selepas beberapa parti tempatan mengumumkan keluar daripada gabungan itu sebelum ini. 
 
“Soal BN dibubarkan tidak timbul, malah BN masih kekal sebagai suatu entiti tetapi di Sabah kita ada blok pembangkang yang baharu iaitu PGBS.
 
“Namun, UMNO masih lagi kekal dalam BN diperingkat pusat, tetapi di Sabah, BN sudah tidak ada, jadi UMNO akan sertai PGBS berdasarkan persetujuan semua pihak khususnya pemimpin dalam parti komponen BN sebelum ini,” katanya.

Apa yang jelas situasi ini agak berbeza dengan di Sarawak dimana pada 12 Jun lalu empat parti tempatan Sarawak mengumumkan keluar daripada BN untuk membentuk pakatan yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).
 
Parti berkenaan ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif Sarawak.
 
GPS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya dalam hal berkaitan Sarawak.
 
Bagaimanapun, GPS tidak akan menyertai gabungan bersama Pakatan Harapan dan akan kekal sebagai pembangkang.- 14/8/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 387  tetamu dalam talian