14Disember2018

Krisis air: Azmin perlu letak jawatan... - Isham Jalil

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Speaker Selangor Hannah Yeoh digesa meletak jawatan berikutan sikap tidak bertanggungjawab semasa krisis air di negeri itu dengan menyalahkan pihak lain termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil berkata air adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan negeri-negeri lain tidak mengalami masalah air yang seteruk di Selangor.

"Mengikut Persatuan Air Malaysia, separuh daripada keseluruhan jumlah kes terputus bekalan air di seluruh negara pada tahun kebelakangan ini berlaku di Selangor iaitu sebanyak 80,000 kes berbanding 160,000 kes di seluruh negara," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.

Beliau berkata kenyataan Hannah yang menyalahkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) berhubung bekalan air terputus di negeri itu pula umpama 'meludah ke langit' dan menyalahkan diri sendiri.

"Ini kerana, Splash adalah syarikat yang dimiliki oleh kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti syarikat tersebut melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad," katanya.

Isham berkata jika Azmin dan kerajaan negeri Selangor tidak mampu untuk mentadbir dan menguruskan perkara asas seperti air, mereka perlu meletakkan jawatan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan yang lebih mampu supaya rakyat tidak terus teraniaya dan menderita akibat kegagalan kerajaan negeri itu.

Pada Selasa lepas, Syabas memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor mulai 6 hingga 9 Mac.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak dengan dua daripadanya pecah serta terpelanting keluar daripada strukturnya.

Kejadian itu menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terus terputus bekalan air sehingga Ahad. -10/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 528  tetamu dalam talian