18Julai2018

Kes Prebet Adam: Saya minta maaf tidak dapat ulas isu ini – Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan kisah Prebet Adam yang kembali tular di media massa baru-baru ini tidak sepatutnya dikeluarkan semula kerana ia telah lama selesai dan perlu diulas mengikut fakta yang tepat kerana ia berlaku lebih tiga dekad lalu.

"Saya tak ada fakta yang mencukupi untuk (ulas) kisah Prebet Adam dan benda (kes) pun sudah selesai."

"Saya tak dapat maklumat dan kalau mahu bercakap kita perlukan alasan yang kukuh ... benda dah selesai dan ia menimbulkan banyak spekulasi dan saya fikir masanya tidak begitu sesuai untuk keluarkan perkara yang sebegini," katanya selepas menyertai Program Fit Masjid Fun Ride di Masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah di Seri Iskandar di Parit Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan keluarga Adam melalui adiknya, Hawa Jaafar, 53, yang berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan menahan individu yang berterusan menyampaikan perkara tidak benar mengenai isu berkenaan.

Mohamad Fuzi berkata beliau perlu mendapatkan fakta yang kukuh untuk mengulas lebih lanjut dan individu yang layak mengulas berhubung kejadian itu adalah bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar kerana beliau menjadi Ketua Polis Negara ketika itu.

"Saya minta maaf kepada media kerana tidak dapat mengulas isu ini," katanya.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik "individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri".

Semalam, adik perempuan Adam, Hawa Jaafar, 53, memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden amukan abangnya dan menyatakan abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 543  tetamu dalam talian