15Disember2017

Kerajaan pastikan nasib masyarakat Felda terus dibela - PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan akan terus membela kebajikan dan pembangunan masyarakat Felda di negara ini.

Najib berkata antara langkah yang diambil termasuk mengkaji bagaimana pembangunan Felda dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) boleh diperkukuhkan dari segi pengurusan supaya kejayaan FGV dapat membantu kesejahteraan dan kejayaan Felda terutama kepada peneroka.

"Inilah hasrat kerajaan...dan satu program yang cukup bermakna akan dilaksanakan nanti ialah Hari Peneroka di mana penganjurannya akan diadakan di Putrajaya yang dijangka menghimpukan lebih 20,000 peneroka dari seluruh negara.

"Ini untuk memberi isyarat jelas bahawa ikatan Felda dan Putrajaya tidak dapat dipisahkan. Peneroka sentiasa di hati Putrajaya dan Putrajaya sentiasa di hati peneroka," kata perdana menteri ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda Chini dan pelancaran projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan peringkat negeri Pahang di Masjid Felda Chini 1 di Pekan Ahad.

Turut hadir pada majlis Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Abu Bakar Harun, Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Pahang Datuk Mohd Aruwan Ab Aziz dan Pengurus Besar Kanan, (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Am.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 180 warga emas dari gususan Felda Chini.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata pembangunan di Felda serta nasib peneroka telah mengalami banyak perubahan jika dibandingkan dengan peringkat semasa awal penubuhannya pada 1960-an.

"Pada peringkat asal tahun 60-an kerika zaman Allahyarham ayahanda saya Tun Abdul Razak Hussein selaku pengasasnya, tujuan penubuhan Felda adalah untuk basmi kemiskinan dan bantu kesejahteraan masyarakat luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai tanah dan pendapatan tetap.

"Siapa dapat bayangkan hasilnya membawa perubahan besar kepada kawasan luar bandar di rancangan Felda, contohnya gugusan Felda Chini yang hari ini keadaannya lebih baik daripada asal.

"Mereka yang berpindah ke sini dapat menempah masa depan jauh lebih baik berbanding jika mereka tidak menyertai rancangan Felda sebagai peneroka," katanya.

Perdana menteri berkata ini jelas terbukti apabila keperluan asas masyarakat Felda sudah jauh berubah dan bukan lagi melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya dan lampu jalan, sebaliknya melibatkan keperluan pada peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Najib berkata projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) peringkat negeri Pahang membabitkan pembinaan 7,770 unit lampu dengan kos RM6.62 juta.

Projek kerajaan itu, yang dilaksanakan menerusi Wilayah Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB), adalah antara inisiatif kerajaan dalam usaha membantu penduduk luar bandar.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menyediakan 122,133 unit lampu jalan di seluruh negara di bawah LJK8 dan daripada jumlah itu, sebanyak 6,333 unit adalah lampu jenis LED atau Light Emitting Diode dan selebihnya ialah jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV).

Awal bulan ini, perdana menteri melancarkan projek sama di Negeri Sembilan dan Perak yang masing-masing melibatkan 4,337 dan 12,680 jumlah pemasangan lampu.

Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah melaksanakan projek pemasangan lampu jalan kampung itu sejak 2003 menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar.

Dalam fasa satu hingga fasa tujuh LJK, sebanyak 300,000 unit lampu jalan kampung dipasang di seluruh negara dengan kos RM150 juta manakala di Pahang, sebanyak 25,612 unit telah dipasang.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 753  tetamu dalam talian