16November2018

Kenapa Prof Dr. Mohd Kamal Hassan tidak dilantik Presiden UIAM...?

Menteri Pendidikan  Dr Maszlee Malik perlu menilai semula kewajaran menerima pelantikan sebagai Presiden UIAM yang baru.

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pelantikan Maszlee sangat bercanggah dengan komitmen dan tekad beliau untuk membebaskan universiti sama sekali daripada campur tangan politik.

"Kenyataan ini berulang kali beliau sebutkan di dalam media massa – dan ianya wajar dianggap sebagai paksi dan teras pembaharuan yang mahu beliau bawa dalam suasana politik dan pentadbiran serba baru.

"Apakah dengan tanggungjawab sedia ada, menggalas amanah menjaga dua (2) buah portfolio Kementerian (Pengajian Tinggi dan Pendidikan) memberikan beliau masa untuk menjayakan peranan berkesan sebagai Presiden UIAM,"katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kalaupun mungkin jawatan Presiden UIAM ini bersifat istiadat dan bukan ‘operational’ – ianya masih memerlukan masa dan perhatian khusus oleh seseorang yang lebih layak dan wajar diberikan tempat.

"Dr Maszlee Malik wajar mengotakan janji untuk tidak melibatkan diri sama sekali di dalam pentadbiran universiti. Menteri Pendidikan wajar istiqamah dan bersungguh mengotakan janji dan komitmen yang beliau sendiri ucapkan selama ini.

UIAM punya cukup calon berwibawa untuk dipertimbangkan untuk mengisi jawatan sebagai Presiden.

"Sebagai contoh, kenapa tidak individu terhormat seperti YBhg Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan dilantik sebagai Presiden UIAM. Tan Sri Prof Dr. Mohd Kamal mempunyai wibawa dan kredibiliti – untuk meletakkan UIAM di persada kecemerlangan yang berterusan. Sumbangan Tan Sri Prof Kamal kepada UIAM sememangnya diakui bukan sahaja di Malaysia, malahan di pentas antarabangsa," cadang beliau.

Reezal berharap Dr Maszlee dapat memberikan fokus dan perhatian kepada beban tanggungjawab sedia ada; dan tidak berdolak-dalik dalam memberi justifikasi kepada kewajaran beliau menerima pelantikan di universiti seperti ini.

"Rakyat Malaysia mengharapkan para Menteri yang berpegang kepada janji perubahan. Amatlah tidak wajar, seorang Menteri membohongi dan mendustai komitmen yang telah beliau sendiri nyatakan secara berulang kali.

"Pandangan bahawa Presiden UIAM wajar dilantik di kalangan ilmuwan dan ahli akademik juga pernah disuarakan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Persatuan Kakitangan Akademik (UIAM) sendiri.

"Justeru, tindakan paling wajar dan tepat buat Menteri Pendidikan – adalah menolak jawatan tersebut dengan penuh hormat dan takzim. “Dr Maszlee – this time, please be honorable with your words”.".-5/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 766  tetamu dalam talian