12Disember2018

Kemelut FAM: Ramai pelabur tarik diri jika TMJ tiada...

Berbagai pihak terus merayu Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Yang terbaru, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sumbangan TMJ masih diperlukan untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak negara.

MMenurut Khairy, tidak ada individu lain yang lebih layak untuk menggantikan tempat itu kerana wawasan serta peranan baginda dalam sukan itu amat besar dan tidak boleh dijayakan sekiranya Tunku Ismail tidak berada dalam FAM.

"Baginda tidak boleh meninggalkan sukan bola sepak kebangsaan ... saya diberitahu oleh beberapa penaja utama bahawa tanpa kepimpinan Tunku Ismail mereka (pelabur) tidak akan melabur untuk bola sepak.

"Jadi bagi saya tidak ada orang lain yang boleh yakinkan pelabur melainkan Tunku Ismail ... kalau negeri dan kelab ingin mendapat habuan dan peruntukan lebih besar yang sebelum ini tidak pernah diberi maka mereka perlu meyakinkan TMJ untuk terus bersama bola sepak kebangsaan," katanya Sabtu.

Mengulas lanjut tentang peletakan jawatan tersebut yang disebabkan kejatuhan ranking Skuad Harimau Malaya ke tangga 178 dunia, Khairy berkata ia merupakan satu perkara biasa dalam arena sukan.

"Bagi saya naik turun ranking adalah perkara biasa tetapi kita perlu perancangan jangka masa panjang yang tidak tergugat dengan pandangan cetek jangka masa pendek yang lebih tertumpu kepada soal ranking semata-mata.

"Saya sendiri pernah mengalami kegagalan dalam beberapa temasya sukan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia tetapi kemudian bangkit semula dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik," katanya.

Sementara itu, pelbagai acara diadakan sempena program Fit Malaysia peringkat negeri itu termasuk acara mengayuh basikal, larian sejauh 10 kilometer dan lima kilometer.

Khairy berkata tahun ini kementeriannya menyasarkan untuk mengadakan program itu lebih kerap di bandar kecil berbanding sebelum ini diadakan di ibu negeri.

"Kita dapati sambutannya masih hangat dan ini menunjukkan bahawa misi kita ke arah menjadi negara bersukan bakal tercapai.

"Program Fit Malaysia ini sudah menjadi program kementerian dan sebahagian daripada dasar kerajaan, malah Hari Sukan Negara, Fit Malaysia ini sudah dibentangkan di jawatankuasa jemaah menteri.

"Ia dipersetujui untuk menjadi satu program yang menyokong dasar sukan negara ... jadi walau siapapun yang akan menerajui kementerian selepas ini, Program Fit Malaysia akan diteruskan," katanya.-17/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 367  tetamu dalam talian