17Ogos2018

Kekalahan di PRK Sungai Kandis tak ubah janji UMNO nak bantu PAS di Seri Setia…

Kekalahan UMNO di pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tidak akan ubah janji parti itu untuk membantu kempen PAS dalam PRK DUN Seri Setia.
 
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang beri jaminan itu berkata UMNO akan pastikan hubungan baik yang cuba dibina dengan PAS mula di Sungai Kandis ini akan berkekalan.
 
“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya telah pun mengeluarkan arahan untuk jentera UMNO digerakkan bagi membantu PAS di PRK Seri Setia. Itu janji kita dan kekalahan UMNO di PRK Sungai Kandis tidak akan mengubah janji tersebut,”katanya.
 
Beliau pada Rabu dilaporkan oleh UMNO Online sebagai mengulas dakwaan ahli PAS dilihat tidak memberi undi kepada calon UMNO di PRK Sungai Kandis.

UMNO telah bersetuju beri laluan kepada PAS bertanding di PRK Seri Setia,Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi sebagai membalas laluan diberi pada UMNO bertanding di Sungai Kandis.
 
Ismail yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menjelaskan adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan semua ahli PAS memberi sokongan kepada UMNO dalam sekelip mata kerana ‘permusuhan’ antara dua parti ini telah berlarutan terlalu lama.
 
“Di peringkat atasan tidak ada masalah. Ini terbukti apabila kepimpinan atasan Pas secara terbuka meminta ahli mereka menyokong calon BN di PRK Sungai Kandis tetapi kita harus faham, di peringkat akar umbi ianya memerlukan waktu.
 
“Kita tidak boleh mengharapkan semua orang PAS akan memberi seratus peratus sokongan kepada UMNO. Permusuhan antara UMNO dan PAS di peringkat akar umbi sudah lama. Di peringkat kepimpinan mungkin tidak ada isu kerana tidak setiap hari berjumpa dan bergaduh tetapi di akar umbi, hari-hari mereka bersama.
 
“…di kedai kopi bergaduh, tengah makan kenduri pun boleh berbalah tentang UMNO dan PAS, tiba-tiba keluar arahan suruh undi. Mana mungkin mereka akan ubah sekelip mata. Ia memerlukan waktu,” katanya.
 
Walau apapun beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana usaha berbaik antara kedua-dua parti telah ada walhal dahulu perkara seperti ini tidak mungkin berlaku.
 
Ini merupakan langkah awal kerjasama UMNO dengan PAS  dan beliau amat percaya hubungan antara kedua-dua parti ini akan terus akrab malah jika ini boleh dikekalkan, tidak mustahil Pakatan Harapan boleh ditumbangkan.
 
Ismail kata PRK DUN Seri Setia akan menjadi medan membuktikan keikhlasan UMNO untuk bekerjsama dengan PAS-7/8/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 507  tetamu dalam talian