23Februari2018

Katanya negara nak bangkrup...?

Dakwaan kononnya Malaysia menghadapi krisis ekonomi dan rakyat melarat hanyalah propaganda pembangkang untuk memberi gambaran buruk kepada kerajaan Barisan Nasional.

Ini kerana data-data yang dikumpul agensi kerajaan dan swasta menunjukkan bahawa setiap tahun sejak lima tahun lalu perbelanjaan rakyat Malaysia untuk melancong dalam dan luar negara terus meningkat.

Menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah perbelanjaan tahunan rakyat Malaysia di luar negara atau bahasa mudahnya pergi melancong adalah berikut:

2012: RM37.7 bilion
2013: RM38.6 bilion
2014: RM40.7 bilion
2015: RM41.7 bilion
2016: RM43.4 bilion


Ia disokong oleh kajian dibuat firma Mastercard bahawa jumlah pelancong Malaysia keluar negara (outbound) meningkat setiap tahun iaitu 11.9 juta orang tahun ini dan dijangka naik kepada 14.9 juta pelancong pada 2021.

Setiap tahun makin banyak rakyat Malaysia melancong ke luar negara dan setiap tahun juga mereka membelanjakan lebih banyak wang yang lebih banyak daripada wang dikirim oleh pekerja asing Malaysia balik ke negara mereka.

Apa yang boleh kita simpulkan daripada data dan angka statistik rasmi seperti ini?

1. Pendapatan rakyat Malaysia sebenarnya meningkat baik sehingga mereka mampu pergi ke luar negara dan membelanjakan banyak wang di sana.

2. Momokan bahawa kos sara hidup meningkat seolah-olah majoriti rakyat Malaysia ini menghadapi hidup yang susah terlampau sengaja dilebih-lebihkan.

Kalau tanpa angka dan statistik di atas juga kita boleh lihat betapa banyak mereka yang memuat naik gambar bercuti ke luar negara. Ada yang pergi London, Korea Selatan, banyak yang pergi Jepun, Australia dan New Zealand.

Ini belum lagi termasuk yang suka menghabiskan cuti mereka di Thailand dan Indonesia.

“Yang kaya itu memang boleh melancong ke luar negara. Walhal di Malaysia yang kaya makin kaya, yang miskin pula makin miskin.”

Ada logiknya juga kan tanggapan itu? Mungkin yang melancong dan belanja duit di luar negara ini mereka yang sudah sedia ada kaya dan makin kaya pula setiap tahun.

Tapi untuk pengesahan apa kata kita lihat statistik pelancongan domestik oleh pelancong domestik yang juga dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, pelancong domestik yang terdiri daripada warga atau penduduk tetap Malaysia membelanjakan RM66.5 bilion melancong di dalam negara pada tahun 2016.

Terdapat sejumlah 66 juta pelancong domestik atau secara puratanya rakyat Malaysia bercuti dua kali setahun di dalam negara sendiri.

Perbelanjaan pelancong domestik di dalam negara juga meningkat setiap tahun:

2011: RM36.2 bilion
2012: RM40.8 bilion
2013: RM47.6 bilion
2014: RM55.5 bilion
2015: RM60.5 bilion
2016: RM66.5 bilion

Sebetulnya kalau tidak melihat kepada data dan angka di atas, kita boleh tengok dengan mata sendiri apabila musim cuti sekolah, semua lebuh raya penuh sesak, waima hotel, chalet, inap desa di kawasan pelancongan habis ditempah.

Bayangkanlah singgah di R&R lebuh raya hendak masuk tandas pun kena beratur panjang. Kesimpulan yang saya buat di atas sebentar tadi masih sah.

Rakyat Malaysia mempunyai taraf hidup yang lebih baik setiap tahun dengan pendapatan yang meningkat membolehkan mereka meluangkan masa bersama-sama keluarga dengan melancong ke luar dan dalam negara.

Kos sara hidup memang meningkat setiap tahun, tetapi pendapatan perkapita rakyat juga meningkat seiring kalau tidak lebih tinggi pada setiap tahun.

Isu ringgit jatuh, pelaksanaan GST, pemansuhan subsidi bahan api juga bukan halangan untuk rakyat Malaysia daripada terus melancong dan berbelanja wang.

Ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri kerana berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi negara dan tempatan (untuk pelancong domestik).

Bagi sebuah negara yang selalu digelar konon sebagai negara menuju kemuflisan, bankrap oleh sesetengah pihak, rakyatnya masih boleh bebas melancong dan berbelanja tanpa halangan.

Mana satu anda nak percaya? Propaganda bersifat auta atau fakta disokong data?-17/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 990  tetamu dalam talian