14Ogos2018

Isu Kayveas akan diselesaikan Najib secara politik, tegas Zahid

Isu membabitkan Presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP) Tan Sri M. Kayveas berhubung calon parti komponen BN yang bakal bertanding di Cameron Highlands akan diselesaikan Datuk Seri Najib Razak secara politik.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Zahid, beliau memahami tindakan Kayveas itu kerana secara peribadi mengenalinya sebagai seorang yang baik hati.

Kayveas sebelum ini menuntut untuk bertanding di kerusi Cameron Highlands selepas sudah lama menabur berkhidmat di kawasan tersebut selepas bekas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel 'meninggalkan' kawasan itu selepas krisis dalam MIC.

Bagaimanapun, kepimpinan MIC dibawah Datuk Seri S Subramaniam enggan menyerahkan kerusi tersebut dengan mendakwa ianya kerusi tradisi milik MIC.

Menurut Zahid, beliau telah bertemu Kayveas dan menyatakan ada formula penyelesaian lain dengan menjadi calon bukanlah penyelesaian muktamad.

"Ada beberapa kaedah untuk memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk berada dalam anggota pentadbiran dan juga di dalam badan-badan lain di bawah kerajaan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata sebarang masalah yang ditimbulkan oleh sesebuah parti dalam kalangan 13 parti komponen BN harus diselesaikan dengan kadar segera, apatah lagi jika ada perselisihan kerusi yang telah ditentukan untuk rakan daripada komponen yang sama.

"Sudah tentu kepimpinan BN memperkirakan tentang persetujuan terhadap kerusi-kerusi yang tertentu, sama ada ia dipinjamkan buat sementara waktu atau ditukarkan dengan kerusi lain.

"Akan tetapi, jika pemimpin berkenaan mahu terus berkeras, saya yakin akhirnya beliau akan menerima hakikat bahawa kesatuan di dalam BN adalah sesuatu yang harus diberikan keutamaan," katanya.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa Najib mempunyai formula untuk mengendalikan masalah tersebut.

Malah, katanya, UMNO pernah berkorban kerusi kepada calon parti komponen BN bertanding pada PRU lepas kerana pucuk pimpinan dan seluruh anggota parti yakin bahawa setiap individu berkenaan diyakini mewakili BN.

"Jadi, kemenangan parti manapun tetap mewakili BN dan melambangkan bahawa mana-mana calon yang bertanding selagi ia berada di dalam komponen BN, maka ia harus disokong oleh semua ahli dan kepimpinan parti," katanya..-19/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 426  tetamu dalam talian