13Disember2017

Isu 3 Exco : Guan Eng bersuara…PAS Selangor nafi ada arahan letak jawatan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sebelum ini agak menyepi tentang tiga Exco Selangor dari parti PAS,Sabtu telah tampil menyuarakan pendiriannya.
 
Katanya secara prinsip mereka bertiga perlu melepaskan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor selepas parti itu membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR.
 
"Tindakan Pas ini tidak betul. Sudah cerai, cerai lah. Buat apa mahu duduk sama lagi? Saya sokong tindakan Azmin, mereka perlu letak jawatan," katanya.
 
Beliau menyatakan demikian kepada wartawan di Pulau Pinang ketika diminta mengulas laporan media.
 
bahawa Menteri Besar Selangor  Datuk Seri Azmin Ali yang dikatakan telah meminta tiga ahli Exco PAS Selangor untuk melepaskan jawatan mereka.
 
Tiga Exco PAS itu Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani dan Datuk Dr Ahmad Yunus yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi.
 
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi menolak  menolak dakwaan bahawa tiga exconya akan dipecat daripada barisan pentadbiran Kerajaan Selangor.
 
Katanya kedudukan tiga exco PAS itu tetap dikekalkan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.
 
"Tidak timbul isu (pecat) ini...dalam pertemuan dengan menteri besar semalam pun, (Mohamed) Azmin tidak mengeluarkan kenyataan untuk memecat mahupun meminta exco PAS untuk melepaskan jawatan mereka masing-masing.
 
"Ini hanyalah andaian dan khabar angin pihak luar sahaja, kita berpendirian untuk kekal kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pelbagai pihak serta laporan beberapa media  bahawa Azmin dijangka memecat kesemua exco PAS tersebut, selepas Muktamar PAS ke-63 bulan lepas meluluskan usul supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan kerana PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.
 
Sementara itu, Dr Ahmad Yunus turut menafikan dakwaan isu pemecatan itu.
 
"Tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar sendiri berhubung isu pemecatan itu. Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini...kita sendiri tidak tahu siapa yang mencipta isu ini.
 
"Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco PAS) dalam Kabinetnya," katanya.
 
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai laporan itu melalui akhbar selain ia sedang hangat diperkatakan.
 
“Mesej beliau (Mohamed Azmin) yang terkini, beliau kata akan letak Exco PAS dalam Kabinetnya. Saya ambil yang terkinilah.
 
Dr Ahmad Yunus berkata, dalam pertemuannya dengan  Azmin yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, pagi Jumaat, Timbalan Presiden PKR itu bertanyakan pandangan mereka selain membincangkan keputusan Majlis Syura Ulama Rabu lalu. 
 
Katanya, beliau dan rakan Exco akan mengambil kira semua pandangan termasuk keputusan PAS Pusat sama ada untuk terus berkhidmat atau sebaliknya.
 
“Yang saya dimaklumkan Datuk Seri ( Azmin) akan berjumpa dengan presiden parti (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).
 
Di peringkat PAS sendiri, kita akan menunggu keputusan daripada PAS Pusat.
 
“Jadi saya tidak berani buat komen apa-apa benda yang belum berlaku,” katanya, selain menambah PAS Pusat juga belum ada keputusan mengenai kedudukan Exco PAS di Selangor.
 
Ditanya mengenai kenyataan Azmin bahawa beliau kecewa, Dr Ahmad Yunus yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, berkata ia adalah kekecewaan terhadap Majlis Syura Ulama.
 
“Itu hak dia. Saya pun tak boleh komen apa,” katanya.
 
Iskandar Abd Samad juga menafikan laporan beliau diarah meletak jawatan oleh Azmin.
 
“Saya tidak menerima apa-apa arahan.
 
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai laporan media bahawa Azmin mahukan saya,Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib letak jawatan sebagai Exco,” katanya ketika ditemui di luar acara mesyuarat Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri 2017 di Shah Alam, Sabtu.- 13/5/2017
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 758  tetamu dalam talian