16November2018

Ini jumlah wang ditemui SPRM kes seleweng dana kerajaan perisikan luar ...

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai berjumlah US$6.3 juta dan RM900,000 yang dipercayai melibatkan penyelewengan dana kerajaan berikutan siasatan terhadap Jabatan Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau dipanggil Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata wang tunai itu ditemui di beberapa lokasi termasuk di kawasan kediaman dan pejabat susulan penahanan lapan individu termasuk bekas ketua pengarah MEIO, seorang timbalan pengarah di sebuah jabatan dan tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
 
Beliau berkata individu kesembilan berkaitan siasatan MEIO ditahan di Kelantan semalam yang merupakan ahli perniagaan yang mempunyai taraf penduduk tetap di United Kingdom.
 
"Rampasan wang tunai terbesar (berkaitan siasatan MEIO) yang melibatkan ahli perniagaan tersebut di satu kondominium di Cyberjaya yang disewa khas," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya Khamis.
 
Dalam sidang media itu, wang tunai tersebut dan bagasi yang dipercayai tempat menyimpan wang tersebut turut dipamerkan.
 
Azam berkata ahli perniagaan berumur 47 tahun dan bergelar Datuk itu menetap di United Kingdom dan berada di Kelantan atas "sebab tertentu".
 
Menurut Azam, siasatan yang dijalankan SPRM susulan maklumat yang diterima berhubung penerimaan wang oleh MEIO yang disyaki disalahgunakan oleh individu tertentu.
 
Menurutnya, wang yang dikatakan diselewengkan berjumlah US$12 juta.
 
Kepada soalan apa yang membuatkan SPRM percaya bahawa wang yang ditemui adalah duit kerajaan, Azam berkata apabila sejumlah wang berada di bawah kawalan pegawai kerajaan, ia menjadi harta kerajaan.
 
Beliau berkata wang yang ditemui disyaki dibawa masuk ke negara ini dari sebuah negara luar yang tidak boleh dinyatakan.
 
"SPRM sedang mengesan baki wang berkenaan lebih kurang lagi US$5 juta. Wang berkenaan disyaki dibawa masuk kira-kira tiga bulan lepas dan tidak pasti melalui jalan darat atau laut,‚ÄĚ katanya.
 
Beliau berkata SPRM juga sedang siasat sama ada wang berkenaan dibawa masuk sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
 
"SPRM melihat beberapa aspek termasuk kaitan wang ini dengan 1MDB dan tujuan wang ini dibawa masuk,‚ÄĚ katanya.
 
Ditanya bila siasatan berhubung MEIO dijangka selesai, Azam berkata ia dijangka mengambil masa dua bulan dengan syarat tidak melibatkan banyak 'money trail' dan keterangan pihak luar negara.
 
Beliau berkata sehingga kini tiga orang saksi warga asing dan 20 saksi tempatan akan dikesan berhubung siasatan berkaitan MEIO.
 
Katanya siasatan SPRM melibatkan MEIO adalah berkenaan salah guna wang kerajaan semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan surat jabatan itu kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat.-30/8/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 476  tetamu dalam talian