18Ogos2018

Dulu GST 6 peratus... kini SST 16 peratus

Ambik ubat... pandai sangat nak tukar, sekarang rakyat Malaysia akan berdepan dengan cukai yang lebih tinggi dari yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peruntukan untuk perkhidmatan ditetapkan pada kadar enam peratus selepas pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 16 peratus.

Beliau berkata rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat sekarang dan akan dilaksanakan pada September.

“SST akan diperkenalkan semula pada 1 Sept, dan menyumbang sasaran hasil sebanyak RM4 bilion,” katanya pada pelancaran Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata SST, serta peningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan akan menyumbang RM14.4 bilion tambahan hasil kepada kerajaan bagi mengimbangi kehilangan RM21 bilion hasil daripada kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai Jun tahun ini.

“Untuk memenuhi kekurangan GST, kementerian itu mengenal pasti langkah penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion,” katanya.

Lim berkata cukai, selain membiayai pembangunan dan pentadbiran negara, juga berfungsi untuk membetulkan ketidaksamaan ekonomi yang wujud dalam masyarakat dengan mengagihkan semula pendapatan.

Katanya walaupun tujuan percukaian  masih sama dalam tempoh beberapa tahun, sumber dan kaedah pengumpulan dan cabaran yang berkaitan dengan pengumpulannya telah berubah.

“Sekarang  lebih sukar untuk mendapatkan jumlah cukai yang tepat ekoran model perniagaan bukan tradisional dan bidang kuasa undang-undang yang tidak jelas meliputi pelbagai transaksi,” katanya.

Namun katanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) akan menggunakan pendekatan berasaskan peraturan dalam mengutip cukai dan menghentikan serbuan oleh pegawainya.

“Kini, LHDNM mematuhi peraturan undang-undang dengan menjalankan audit,” katanya.

Beliau  berkata LHDNM mungkin mahu mengadakan perbincangan awal dengan pembayar cukai dan pengamal cukai mengenai isu-isu tertentu supaya sebarang pertikaian dapat diselesaikan tepat pada masanya tanpa menggunakan surat-menyurat kertas panjang dan rumit.

“Bukan sahaja perbincangan awal ini dapat menjimatkan masa, malah mereka juga akan menggalakkan ketelusan dan kerjasama yang lebih baik antara pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, harga barang dijangka meningkat jika cukai jualan 10 peratus seperti dicadangkan oleh kerajaan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula 1 September depan, lapor Berita Harian.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, berkata kadar cukai jualan itu dilihat adalah sama seperti sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kepada instrumen SST dalam kerajaan terdahulu, cukai jualan hanya dikenakan kepada pengilang dan pengimport, justeru dari segi ekonominya, ia akan memberi kesan kepada harga barang yang dikenakan cukai terbabit.

"Kadar yang dicadangkan itu adalah sama saja seperti dulu dan bukanlah kadar yang baharu. Seperti sistem SST sebelum ini, dijangka berlaku kenaikan harga terhadap barang tertentu yang tertakluk kepada rejim cukai ini.

"Apabila harga barang meningkat, ia tidak selari dengan matlamat dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang ingin mengurangkan kos sara hidup dengan menghapuskan GST apabila mengambil alih tampuk pemerintahan dari Barisan Nasional (BN).

"Bagi cukai perkhidmatan enam peratus, ia dilihat tidak memberi kesan dan perlu diteliti dengan lebih lanjut kerana mungkin akan menimbulkan isu cukai berganda kepada pengguna, khususnya oleh pengendali restoran dan hotel," katanya-16/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 482  tetamu dalam talian