23Oktober2017

Kes dua anggota TLDM maut…tiga anggota TLDM direman

Tiga suspek terdiri dari anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan reman tujuh hari mulai Ahad untuk bantu siasatan kes kematian dua anggota TLDM yang dipercayai akibat didera.
 
Mereka yang berusia 29, 37 dan 44 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada pukul 8.45 pagi.

?Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Shaqira Ibrahim.
 
Dua anggota TLDM ,Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuiman Mohd. Sukri, 26,  meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di Bilik Tahanan Unit, Stesen Komunikasi TLDM di Sungai Wangi, Sitiawan. ?
 
Polis mengklasifikasi kejadian tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
 
TLDM dalam kenyataannya Sabtu menyatakan Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan, pada Jumaat.
 
Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.- /10/2017 

 


 


Dua anggota TLDM maut dipercayai didera - Polis

Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat lalu dipercayai didera, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee.

Beliau berkata berikutan itu polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Bedah siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua mereka mendapati berlakunya kes penderaan yang mendatangkan kecederaan. Daripada penemuan ini, siasatan diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Gan berkata bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, mulai 3.30 petang hingga 7 malam, malam tadi, mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

"Bedah siasat ke atas Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, mulai 9 malam hingga 11.30 malam mendapati dia meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut," katanya.

Gan berkata susulan itu, polis telah menangkap tiga lelaki berumur 29 hingga 44 tahun kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

"Ketiga-tiga suspek ini bertugas bagi syif Jumaat (29 Sept) pukul 10 pagi hingga 11 malam. Penahanan reman kesemua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seri Manjung," katanya.

Gan berkata polis turut merakam percakapan lapan tahanan yang ada di lokasi dan 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di tempat kejadian.

"Selain itu, polis merampas set CCTV, tujuh T baton, sebuah buku log bertugas, buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan Unit Sungai Wangi) dan beberapa telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

TLDM dalam kenyataannya semalam, menyatakan Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman meninggal dunia di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan, pada Jumaat.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.- 1/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 864  tetamu dalam talian