15Ogos2018

BN pilihan terbaik kemudi Malaysia - Dekan University of London

Di sebalik keriuhan kempen-kempen pembangkang yang mengundang kehadiran ramai, ini ternyata bukanlah paparan sebenar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana hakikatnya rakyat boleh menilai sendiri rekod prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Run Razak.

Sepertimana diakui oleh Profesor Kriengsak Chareonwongsak yang juga Dekan Akademik Pusat Thailand, Program EMFSS London School of Economics and Political Science (LSE), University of London : "Malaysia kini berada di persimpangan amat penting selepas mengharungi satu tempoh sukar yang tidak pernah saya saksikan dalam sejarah.

"Anda mempunyai kerajaan satu parti yang berkuasa sejak sekian lamanya serta kelangsungan dan kestabilan selain barisan perdana menteri yang silih berganti daripada UMNO dengan kesemua (peralihan) itu kelihatan sebegitu lancar.

"Anda juga telah membangunkan sebuah negara sebegitu baik sejak beberapa tahun lepas yang semakin pesat berkembang, " katanya dalam temu bual dengan Bernama News Channel (BNC) di sini, baru-baru ini.

Prof Kriengsak yang juga Felo Kanan Harvard University, berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan BN ditentang oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang memimpin barisan pembangkang Pakatan Harapan.

Ketika berkongsi pandangannya mengenai Dr Mahathir, beliau berkata : "Dr Mahathir adalah seorang individu yang bersemangat, menerusi pengamatan peribadi saya terhadapnya serta kesempatan menemuinya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri. Namun bagi saya, usia memberi kesan, tiada kiralah siapa pun anda. "

Sambil menyifatkan senario yang ditempuhi Malaysia ketika ini sebagai amat menarik, beliau berkata : "Selepas keputusan pilihan raya (diumumkan), kita bakal menyaksikan bagaimanakah keadaan Malaysia selepas cabaran ini. " Menyentuh Najib, Prof Kriengsak berkata : "Najib merupakan individu yang berkaliber dan sememangnya telah dibentuk dengan sebegitu baik untuk menyandang kedudukan ini. Oleh itu, sudah pasti pertembungan (dalam pilihan raya) ini amat menarik. "

Beliau berkata, selain aspek keperibadian, parti dan situasi negara sebagai faktor penentu kemenangan, tidak kurang pentingnya adalah isu yang menjadi kebimbangan rakyat.

"Jika Datuk Seri Najib yang memimpin Malaysia sehingga ke saat ini dengan seluruh Malaysia dan Umno masih kukuh di belakangnya, maka saya harus memberinya pujian. Ini kerana beliau pasti telah melakukan sesuatu yang tepat bagi pengikutnya yang membolehkan beliau terus mengemudi Malaysia serta parti.

"Malah, ini memberinya kelebihan iaitu dengan menyedari bahawa beliau merupakan calon terbaik untuk parti, " katanya.

Dalam pada itu, Prof Kriengsak turut mengingatkan pengundi mengenai kepentingan aspek kestabilan.

"Kestabilan ini amat penting baik dari sudut ekonomi mahu pun politik di mana-mana sekali pun. Jika anda mempunyai latar belakang politik yang stabil, ini merupakan ciri kondusif bagi pertumbuhan ekonomi.

"Sebaliknya, jika tiada kestabilan politik, kalangan pelabur akan berasakan yang mungkin mereka mengambil risiko besar. Oleh itu, kestabilan adalah penting.

"Selagi aspek kestabilan ekonomi diutamakan, bermakna anda berjaya mengendalikannya dengan baik secara teknikal. Anda tidak berdepan masalah inflasi yang ketara, angka ekonomi anda kukuh serta memiliki kestabilan politik yang diidamkan semua orang, " katanya.

Diminta mengulas mengenai kemasukan pelaburan China ke Malaysia yang turut menjadi antara isu dimainkan oleh pembangkang, termasuk tuduhan bahawa Najib dan kerajaan pimpinan BN menjual negara ini kepada China, beliau berkata:

"Ini merupakan reaksi biasa terhadap kesan perkembangan pengaruh China yang juga ekonomi kedua terbesar dunia. Malah ia sedang berkembang dan bakal muncul ekonomi terbesar tidak lama lagi. "

Menurutnya, jika ada negara yang kehilangan pelaburan China, mereka pasti akan berasakan impaknya.

"Sehubungan itu, mana-mana negara pun sepatutnya menyambut baik pelaburan antarabangsa asalkan ia membawa manfaat kepada rakyat, " katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Override Labs yang berpejabat di Amerika Syarikat, Jamiel Sheikh pula menyifatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing yang menarik.

"Malaysia terus menjadi persekitaran pelaburan yang menarik. Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar yang meningkat selain kadar faedahnya, merupakan bukti kepada perancangan ekonomi serta dasar monetari yang mantap, " katanya.-9/5/2018 -Bernama

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 715  tetamu dalam talian