19November2017

Azmin patut rasa malu…- Mat Taib

Sebagai orang yang pernah duduk di kerusi Menteri Besar Selangor selama 11 tahun…Tan Sri Muhammad Muhd Taib sudah tentu dapat melihat senario di negeri itu sekarang dalam skop yang berbeza dengan orang biasa.
 
Senang cakap, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘ Mat Taib’ sahaja boleh menilai dan banding secara teliti apa yang kerajaan BN dulu buat dengan apa yang kerajaan negeri Pakatan dipelopori PKR buat selama dua penggal perintah.
 
Pandangan beliau juga semestinya lebih luas kerana sebelum ini ada pengalaman selama lima tahun masuk kem pembangkang sebelum kembali kepada UMNO.
 
Kata orang tak kenal maka tak cinta…antara kaca dan permata.Mat Taib sudah melihat dari Selangor dari jendela BN dan jendela Pakatan.
 
Atas sebab ini beliau tidak teragak-agak meminta rakyat Selangor khususnya orang Melayu jangan mudah digula-gulakan oleh Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
 
Beliau mendakwa Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden Pakatan Harapan itu tidak menjaga kepentingan Melayu di Selangor.
 
Malah katanya, Menteri Besar itu patut malu apabila sewenang-wenangnya mengaku segala pembangunan di Selangor ketika ini adalah hasil titik peluhnya walhal itu adalah usaha UMNO BN sebelum ini.
 
Mat Taib meluahkan kata-kata itu dalam temuramah bersama wartawan  BNBBC.MY  Nur Aslinda Nasir di kediamannya di Shah Alam Selangor pada Rabu.
 
Katanya Azmin tidak layak untuk berbangga dengan pencapaian di negeri itu jika sekadar mewujudkan bas percuma atau sedikit air percuma kepada rakyat Selangor.
 
“Apatah lagi mengakui pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dikatakan Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus dalam pertumbuhan ekonomi negara adalah usahanya,” kata Mat Taib.
 
Dakwanya sepanjang menjadi Menteri Besar, tiada apa sumbangan besar yang dibuat  terhadap bangsa Melayu di negeri itu.
 
Mat Taib juga menilai yang lebih menyedihkan melihat pemimpin PKR terus menjadikan pemimpin DAP ibarat 'patung berhala' ...tunduk dan patuh kepada segala perintah mereka sehingga tidak mampu memperjuangkan agenda bangsa Melayu.
 
“Kalau saya waktu jadi Menteri Besar dulu, enam jutawan bangsa Melayu saya dah lahirkan, apa sumbangan yang Azmin buat?, namakan satu jutawan yang dia dah lahirkan…tak ada.
 
“Lebih malang, mereka tutup Yayasan Selangor. Melayu yang rugi sebab mereka tutup pintu rezeki pelajaran anak-anak kita.
 
“PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) pun sudah lari dari peranannya. Dahulu, kita boleh jual harga rumah RM25 ribu, RM40 ribu dan RM80 ribu bagi mengisi orang Melayu di bandar, tetapi kerajaan negeri sekarang buat rumah harga RM1 juta, inikah cara nak tolong Melayu?,” kata Mat Taib.
 
Beliau merujuk projek PKNS membina Datum Jelatek di Taman Keramat Hulu Klang yang dijual dengan harga RM700 ribu hingga RM11 juta.

 
Menurut bekas Menteri Besar itu PKNS bukan untuk mencari untung tetapi bagi menyediakan kediaman kepada orang Melayu dengan harga sepatutnya.
 
“Kenapa jual mahal sedangkan tanah milik PKNS, tak perlu bayar premium atau boleh dikurangkan, tapi di mata pemimpin kerajaan negeri Selangor sekarang, hanya duit duit duit,” katanya.
 
Selain menjadi Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997,beliau juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Setelah sekian lama dalam UMNO beliau masuk PAS pada April 2013 dan pada September 2015 masuk PKR.

Beliau kembali kepada UMNO pada 17 September 2017.
 
Mat Taib berkata usaha beliau membangunkan bangsa Melayu di Selangor sepatutnya diteruskan pemimpin PKR termasuk Azmin.
 
“Saya dulu dah mulakan di Shah Alam sebagai Bandar Melayu, what is your next?. Ada buat (tindakan) bagi mengurangkan gejala sosial di bandar, tak ada pun, saya tengok mereka gagal,”.
 
(Adakah cukup) buat bas percuma sahaja? mengaku sumbang peratus banyak dalam KDNK?..jangan temberang rakyat. Ini semua yang buat dahulu adalah kerajaan BN. Awak (Azmin) baru buat langsir sahaja tiba-tiba cakap sumbang 23 peratus (KDNK).
 
Mat Taib dalam masa yang sama berkata beliau pernah menyuarakan kebimbangan tentang perkara ini kepada Azmin dan beberapa pemimpin PKR lain semasa berada dalam kem pembangkang dulu, namun mereka memberikan jawapan yang langsung tidak meletakkan orang Melayu sebagai keutamaan.

 
“Saya dah lebih cakap daripada itu, tetapi mereka fikir mereka yang dapat mandat (memerintah Selangor) dari undi kaum Cina, mereka kena fikir mandat dari pengundi (Cina), jadi mandat orang Melayu macam mana?
 
“Siapa nak jaga? soalnya sambil menegaskan bahawa beliau membangkitkan soal itu bukan kerana rasis tetapi orang Melayu tidak patut diketepikan hak mereka.
 
Menyedari PKR dan parti pembangkang lain di dalam Pakatan Harapan tidak mampu membuktikan agenda perjuangan untuk orang Melayu, Mat Taib akhirnya tidak mampu berdiam lagi dan berpatah kembali UMNO.
 
“UMNO ini solid kekuatan Melayu, di sana mereka berpecah, dalam parti pun mereka bertelagah, PKR sendiri tolak PAN, jadi saya fikir UMNO juga yang lebih baik dari parti lain,” ujarnya.-11/10/2017 – OLEH NUR ASLINDA NASIR
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 503  tetamu dalam talian