14Disember2018

Anggota SPRM ditempatkan di Unit Integriti Felda - Shahrir Samad

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menempatkan beberapa pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Unit Integriti agensi itu bagi memastikan ia telus dan bebas daripada gejala rasuah.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata langkah itu dibuat susulan cadangan daripada SPRM dalam usahanya membantu Felda menangani isu rasuah.

"Felda akan sentiasa mengambil langkah terbuka dan telus...kita juga telah menandatangi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilaksanakan SPRM.

"Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda minggu lepas telah memberi kebenaran (melaksanakan langkah ini) dan perkara ini akan dirundingkan lagi bagi membincangkan jumlah kakitangan yang diletakkan di Unit Integriti Felda, yang akan ditentukan oleh SPRM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama penduduk Taman Suria di Johor Bharu Sabtu.

Beliau berkata Unit Integriti sudah lama ditubuhkan dan Felda mahu melipatgandakan usaha unit itu dengan menempatkan kakitangan SPRM di situ.

Shahrir berkata penempatan anggota SPRM di Felda akan dilaksanakan selewat-lewatnya dua bulan dari sekarang dengan mereka akan melaksanakan tugas-tugas pemantauan dan pemeriksaan selain memberi latihan kepada kakitangan.

"Mereka (SPRM) akan menjalankan pemeriksaan selain memberikan maklumat dan latihan kepada kakitangan dan pegawai Felda berkaitan proses dan prosedur yang melibatkan isu-isu besar seperti kewangan, kontrak dan banyak lain yang berkaitan dengan isu integriti," jelasnya.

Transparency International (TI) dalam laporan pada 22 Feb lalu menyatakan kedudukan Malaysia merosot dalam CPI 2017, daripada tangga 55 kepada 62, antaranya disebabkan oleh beberapa kes berprofil tinggi yang masih dalam siasatan termasuk skandal Felda Global Ventures Holdings Bhd.-3/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 535  tetamu dalam talian