23November2017

Dua mangsa terakhir ttragedi tanah runtuh ditemui...

KEMASKINI Dua mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah dijumpai pasukan penyelamat pada jam 7:03 pagi dan 7:13 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus memberitahu, mayat ke-10, warga Bangladesh telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8:34 pagi.

“Kedua-dua mangsa ditemui berdekatan antara satu sama lain.

“Mayat ke-11, warga Malaysia, agak sukar untuk dikeluarkan memandangkan mangsa berada di lokasi yang banyak cerucuk besi,” katanya pada satu sidang media di lokasi kejadian pada Isnin.

Jelas beliau, pihak penyelamat dijangka memerlukan masa sehingga dua jam untuk mengeluarkan mangsa terakhir.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga mangsa yang terselamat telah ditemui polis.

BACA: Tanah runtuh: Polis cari tiga mangsa terselamat dipercayai melarikan diri

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar mengesahkan kesemua mereka dibawa ke lokasi kejadian untuk memberi keterangan.

“Polis telah berjaya kesan mereka petang Ahad dan kita telah rakamkan percakapan bersama mereka.

“Semua mereka ada dokumen perjalanan sah yang mana seorang daripada mereka warga Bangladesh, seorang warga Indonesia manakala seorang lagi warga Myanmar,” katanya kepada media dalam sidang media sama.-23/10/2017


9 mayat sudah ditemui...jumlah sebenar tertimbus 11 orang

Setakat ini sebanyak sembilan mayat sudah berjaya dikeluarkan dari kawasan kejadian tanah runtuh di tapak binaan Lengkok Lembah Permai,Tanjung Bungah,Pulau Pinang.
 
Hanya 11 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan itu pagi Sabtu bukannya 14 orang seperti laporan awal sebelum ini. 

Mayat ke sembilan ditemui pada jam 6.20 petang Ahad.

Mayat ke lapan pula ditemui jam 3.27 petang..

Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Ervin Galen Teruki kata tiga lagi pekerja binaan yang sebelum ini termasuk dalam senarai 14 mangsa itu sebenarnya terselamat dan hanya mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Operasi mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dari sembilan mayat setakat ini lapan mayat sudah dikenal pasti iaitu tiga warga Myanmar, Yunus Nazir Huson; Muhammad Elyas Mustak dan Rahmatullah Mohd Sidiq, dua warga Bangladesh Hossen Mia dan Nur Alam, dua warga Indonesia Hosrin dan Erwin Salis serta seorang rakyat Pakistan Raza Ali. - 22/10/2017


 
Tanah runtuh di Tanjung Bungah...3 mayat sudah ditemui,11 lagi tertimbus masih dicari
 
KEMASKINI  2.40 PETANG ...Bukan hendak salahkan sesiapa... tapi pembangunan melampau dan tidak dirancang di Pulau Pinang akhirnya mengundang padah.
 
Apa yang membimbangkan berbagai pihak sebelum ini ketika membangkitkan soal 'hilangnya kehijauan' di kawasan berbukit sekitar Tanjung Bungah dan Balik Pulau terbukti benar.
 
Pagi Sabtu, kejadian tanah runtuh berlaku di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Bungah dengan 14 buruh binaan dikhuatiri tertimbus.
 
Sebelum ini maklumat awal anggarsekitar 20 orang yang terlibat.
 
Setakat jam 2.30 petang tiga mayat sudah ditemui.
 
Sebelas orang lagi masih dicari oleh pasukan penyelamat.
 
Mayat pertama ditemui 9.15 pagi,kedua pada 10.45 dan ketiga 1.15 tengahari.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lereng bukit sebelum ditimpa tanah runtuh dari kecerunan kira-kira 10 meter.
 
Pegawai penyelamat sedang terlibat dalam kerja-kerja menyelamatkan mereka yang terperangkap dalam runtuhan dan lumpur.
 
Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak JBPM menerima panggilan pada 8.57 pagi dan setiba di tempat kejadian, difahamkan terdapat 15 hingga 20 orang mangsa yang tertimbus di dalam tanah runtuh.
 
"Kami mendapat tahu antara 15 hingga 20 mangsa mungkin tertimbus dalam kecerunan tanah dianggarkan 10 meter dan kita telah memulakan usaha mencari dan menyelamat," katanya.
 
Anggota Paramedik Hospital Pakar dan pasukan Pertahanan Awam berada di lokasi untuk membantu mangsa.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar mengesahkan kejadian tanah runtuh itu di tapak projek Granito, Jalan Lembah Permai Tanjung Bungah
 
"Menurut maklumat awal lebih kurang 20 orang terperangkap di dalam tanah," katanya dalam satu kenyataan.
 
Menurut seorang pekerja warga Bangladesh di tapak projek itu yang dikenali sebagai Mohamad Bachu, 30, ketika kejadian dia sedang mengalihkan beberapa batang besi sebelum secara tiba-tiba berlaku tanah runtuh di belakang tapak projek berkenaan.
 
Katanya, dia terselamat kerana hanya berada beberapa meter daripada tanah runtuh namun nasib abangnya yang dikenali sebagai Nur Alam, 35, yang turut bekerja di tapak binaan sama tidak diketahui.
 
“Saya beredar dari tapak projek untuk mengambil besi dan selang seminit selepas itu tanah tiba-tiba runtuh.
 
“Ketika kejadian terdapat kira-kira 20 pekerja lain termasuk abang saya dan kesemua mereka tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.
 
Sebelum ini berbagai pihak mengkritik dasar pembangunan tidak dirancang dengan teliti oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyebabkan banyak berlaku banjir kilat di negeri itu.
 
Bagaimanapun Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata banjir kilat itu berlaku kerana hujan.-21/10/2017
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 664  tetamu dalam talian