25September2018

Wartawan bagus vs wartawan bogus...

ikon-bad-200-latestNak cerita mengenai pengalaman-pengalaman lama sebagai wartawan. Namun sebelum itu kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Kamariah Ahmad mantan wartawan Utusan Melayu yang telah kembali ke rahmahmatullah baru-baru ini. Al-Fatihah.  Kamariah seorang wartawan gigih...yang dia tahu cuma kerja dan kerja selepas tu balik rumah. Pagi ke mahkamah, petang balik ke pejabat dan malam terus balik Semenjak mengenali Allahyarham, beliau memang tinggal bersendirian dan sehinggalah menghembus nafas terakhirnya beliau tetap bersendirian.  Kerana itulah pihak  polis terpaksa memecah masuk ke kediamannya setelah beberapa hari beliau meninggal dunia.

Kita ambil kesempatan menyedekahkan Al-Fatihah kepada rakan-rakan lain yang telah terlebih dahulu pergi menemui Ilahi...sesungguhnya dari tanah kita berasal..ke situ juga kita akhirnya kembali.

Saya tiba-tiba teringat nak menulis mengenai wartawan dan kewartawan setelah membaca perkembangan-perkembangan terkini mengenai rakan-rakan lama yang kini semakin galak menulis di ‘facebook’ untuk berhubung dengan kawan-kawan lama.  Lebih ‘terhiris’ rasanya apabila terkenang kisah rakan-rakan yang sering menziari rakan—rakan yang sedang uzur atau lama tidak ditemui.  Seperti yang ditulis oleh rakan dari Utusan Melayu, saudara Rosle Azme: “Saya dan Badrul saling lawat-melawat tatkala kami sakit.”

Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan yang ziarahi saya semasa sakit dan juga selepas sakit. Kini dah sihat sikit..nak juga jumpa kawan-kawan lama yang lain.

Seminggu dua ini saya sering teringat seorang sahabat bernama Aminuuddin Ibrahim, rakan seperjuangan yang pernah berkhidmat dengan Berita  Harian.  Banyak persamaan kami..dia suka motoring, sayapun begitu. Beliau seorang yang tak suka duduk diam.. ada sahaja yang nak dilakukannya.  Beliau pernah menyertai angkatan tentera sebelum menjadi wartawan.  Saya sekadar menjadi kadet tentera.

Semasa di Utusan, sering membuat liputan bersama-sama Aminuddin khususnya tatkala tugasan bidang ekonomi dan permotoran.  Masih teringat lagi kisah bagaimana wartawan bagus ini berhadapan dengan wartawan bogus.

Wartawan bogus atau wartawan palsu ini sering kami temui di majlis-majlis pelancaran produk termasuk kereta dan motosikal.
Wartawan ini tinggi lampai orangnya dan tidak suka bercampur dengan wartawan lain.  Beliau juga tidak ikut tanya soalan mengenai sesuatu produk tetapi cukup rajin menulis apa sahaja yang diperkatakann dan diapun tidak pernah memperkenalkan dirinya dari media mana.

Jika ada penganjur bertanya, dia sekadar mengaku seorang wartawan dan akan sebutlah apa-apa media yang tidak diwakili pada ketika itu.

‘Wartawan’ ini tidak ganggu sesiapa. Sampai waktu makan dia makan, waktu minum dia minum dan jika ada buah tangan, diapun ambil.  Banyak kali kami perhatikan gelagatnya tetapi Aminuddin sering tak puas hati dan mengadu kepada penganjur.

‘’He is a bogus journalist,’’ kata Aminuddin suatu hari pada majlis pelancaran kereta baharu di Hotel Carcosa Seri Negara di ibukota Kuala Lumpur.  “Biarlah dia makan, kata seorang lagi rakan memandangkan pihak penganjur menyediakan banyak makanan.

Kami sering juga memberitahu Aminuddin biar sahajalah apa yang ‘wartawan’ berkenaan lakukan. Tak tahu apa sebabnya, Aminuddiin cukup berlaga angin dengan hamba Allah itu. Sebagai seorang bekas tentera, mungkin ada sesuatu yang Aminuddin tahu tetapi kami tak tahu.

Menjadi wartawan bogus bukannya bermaksud menyamar dengan tujuan jahat semata-mata.  Apabila Mufti Istana Negara, Datuk Hassan Din al-Hafidz buat operasi cegah maksiat di ibukota, ketika itu ada banyak wartawan bogus.  Bukan apa-apa, sekadar seronok menyertai operasi untuk melihat aksi menarik kupu-kupu malam.

Pengarang Utusan Pelajar, saudara Munir Ghazali tentu tak tahu tiba-tiba sahaja ada ‘wartawan’nya ikut serta dalam operasi cegah maksiat yang diketuai Datuk Hassan Din. Tiba-tiba juga media lain yang tak pernah buat berita jenayah atau hiburan, ada wakilnya ikut operasi yang sama.  Yang penting, opasi Datuk Hassan tak pernah dingin.

Begitu juga dengan operasi-operasi oleh  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Jika dianjurkan oleh pihak polis, banyak pihak yang tekan brek kerana pihak PDRM ‘strict’ sedikit.

Ada juga yang terpaksa menyamar sebagai wartawan ketika menjalankan tugas rasminya. “Wartawan negara’ yang menjalankan tugas risikan sering mengakui dirinya sebagai orang lain kerana tidak mahu kehadiran mereka diketahui umum. Kadang-kadang lepas tetapi kadang-kadang sangkut.

Demikianlah yang terjadi kepada seorang rakan yang mengakui kononnya dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ketika mengambil kertas-kerja satu forum politik di UKM di Bangi.  Kawan berkenaan benar-benar silap haribulan kerana wartawan BERNAMA yang bagus berada betul-betul di belakang wartawan bogus berkenaan.  Mereka akhirnya terpaksa membuat ‘penyelesaian di tepi tandas..

Wartawan yang sangat bagus bercakap pun ada juga.  Saya pernah mencatatkan ceramah seorang tokoh politik lebih 90 minit lamanya ketika beliau sedang berkempen membantu calon pilihanraya kecil.  Saya hanya mengenalinya melalui telefon tatkala pada sebelah petang dia menghantar berita melalui telefon.  Sampai ketikanya, saya ke daerahnya membuat liputan kerana pilihanraya.  Saya sampai tatkala dia sedang berucap dan oleh kerana ucapannya panas dan berapi-api, saya catatkan dan terbayang boleh jadi berita utama esoknya.

‘Potong stim’  betul di akhir ucapan beliau berkata, tuan-tuan fikirlah sendiri...sebagai wartawan, saya hanya menyampaikan... ini bukan wartawan bogus tetapi penceramah bagus!

Seorang wartawan bagus yang sangat dihormati suatu ketika dahulu adalah Nasir Osman Abas.  Berdasarkan ceritanya, wartawan ini menjadi pelapor berita sejak saya dilahirkan lagi. Beliau amat mesra dengan panggilan Abang sehinggakan Al-marhum Sultan Selangorpun turut panggillnya dengan nama Abang.  Keakraban  beliau dibuktikan apabila Al-marhum menganugerahkan darjah kebesaran bergelar Datuk kepada beliau. Datuk Nasir (Allahyarham) tak kedekut ilmu.

Selain daripada berkawan dengan Sultan Selangor, beliau juga didatangi ketua-ketua jabatan kerajaan.  Malah para wartawan di Bandar diraja Kelang akan ‘menghadap’ Datuk Nasir setiap hari untuk pastikan mereka tidak ketinggalan sebarang berita.

Al-maklumlah Datuk Nasir Osman Abas sering menghasilkan berita-berita eksklusif. Walaupun bersifat OKU kerana kecacatan di kakinya, penghasilannya melebihi kita yang sempurna.  Kalau Sultan ke London, wartawan ini akan dibawa sekali.  Beliau memang hebat. Beliau memang bagus! Anak Minangkabau dari Gombak ini turut digeruni oleh tokoh-tokoh tertentu dan ada juga mendapatkan bantuan Abang Nasir untuk mendapat sesuatu perkenan. Al-Fatihah juga untuk arwah semoga damai hidupnya di sisi Allah.-31/1/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 514  tetamu dalam talian