20Jun2018

Terkenang masa lalu....

ikon-bad-200-baru1Untuk minggu ini, sebelum terus mencoret, izinkan saya menyatakan terima kasih kepada pembaca dan pengikut yang gemar memberi komen mengenai tulisan saya, samada melalui ruangan ini mahupun melalui sistem pesanan ringkas (sms) dan juga panggilan telefon.

Kepada yang terus menunggu catatan dalam ruangan ini, saya akan pastikan segala-galanya adalah catatan pengalaman dan pemerhatian yang mungkin ada faedahnya untuk dikongsi. Seperti yang diingatkan oleh beberapa orang yang memberi reaksi, insyaAllah ruangan ini tidak akan menjadi ruangan promosi diri. Itu sudah pasti...sebab tidak ada apa-apa nak dipromosikan lagi... dah pencen dah, kecuali masih menjadi wartawan tua yang mahu berkongsi pengalaman.

Kali ini, dalam 'mood' santai, saya mahu menurunkan catatan beberapa kenangan manis dan lucu yang dialami ketika bergelar wartawan, dan mungkin kemudiannya ahli dewan dan juga kini tidak ketahuan.

Baru-baru ini saya berpeluang bersembang-sembang dengan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu.  Pengurus itu, Syed Argil adalah bekas ketua jurufoto yang saya kenali sejak menjejaki Utusan pada tahun 1984 lagi. Banyak sungguh pengalaman lama yang kami imbas kembali. Kenang-kenangan itu samada kenangan kami berdua mahupun kenangan mengusik jiwa yang melibatkan kawan-kawan lain.

Beberapa orang sahabat yang junior leka mendengar sembang petang kami.

Walaupun sering pergi 'assignment' bersama-sama, pengalaman membuat liputan tunjuk perasaan Konsert Sudirman di UKM pada tahun 1985 dengan Syed sukar untuk dilupakan.

Saya pernah sentuh pengalaman berkenaan dalam ruangan ini beberapa tahun lalu, tetapi yang menariknya kecekapan Syed Argil mengambil gambar mengenai tunjuk perasaan itu walaupun beliau sudah dikepung oleh pihak pengawal keselamatan UKM.  Selepas beberapa shot.. jurufoto ini akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa universiti.  Adalah pengalaman beliau 'berehat' kira-kira empat jam dalam bilik kebal di universiti itu.

Bilik kebal adalah nama khas yang sebenarnya adalah lokap kampus. Walaupun pernah berkhidmat di UKM, saya tidak ada pengalaman duduk di bilik kebal itu. Tahniah Syed... sebab anda orang pertama dan terakhir (mudah-mudahan) dari Utusan yang mengukir kenangan di situ.

Yang sebenarnya sukar untuk dilupakan mengenai liputan itu adalah tindakan spontan Syed melontar dua gulung filem kepada saya yang ketika itu berada di atas motosikal merentasi kawasan beliau diberkas. Apabila dapat filem berkenaan, esoknya Utusan gunakan empat keping gambar yang menarik mengenai tunjuk perasaan selepas solat Jumaat itu.

Teringat kembali... kalaulah Syed Argil tidak disumbat ke bilik kebal ketika itu, mungkin dua keping gambar sahaja yang digunakan.

Teringat juga perihal M. Nor A. Samad yang turut diberkas oleh pihak berkuasa mengenai tunjuk perasaan itu atas alasan memasuki kawasan kampus tanpa kebenaran. Memang benar M. Nor meredah masuk ke kampus itu tidak melalui pintu utama tetapi merentas padang sahaja.  M. Nor pula mempunyai satu lagi pengalaman kemudiannya.

Pengalaman beliau berkaitan dengan siri laporan Utusan mengenai kes peribadi seorang pemimpin di Melaka ketika itu.Pemimpin itu difitnah pihak pembangkang.  Ketika itu saya masih berada di pejabat walaupun hari sudah lewat malam.  Dapat panggilan daripada seorang wartawan dari Melaka, yang kalau tak silap adalah Ishak Salleh, menyatakan M Nor atau nama 'glamour'nya Mike telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana 'banyak laporan yang bocor'

Pengarang Berita ketika itu, Khalid Mohd (kini Datuk) menyalurkan pula maklumat itu kepada Ketua Pengarang, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri). Pendirian Utusan ketika itu adalah untuk meneruskan laporan yang sudah disediakan dan akan buat satu laporan utama sekiranya Mike tidak dibebaskan tengah malam itu.

Mike dibebaskan, tetapi laporan diteruskan..akhirnya kami pulang jam 3 pagi berkenaan dan esoknya jam 10 pagi dah terpacak lagi di pejabat.

Satu lagi pengalaman yang sukar dilupakan adalah perihal tugasan yang diberikan kepada saya dan Kamal Zailani untuk menjejaki Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang tiba-tiba menghilang diri setelah kisah perkahwinannya dengan Puteri Sultan Selangor, Ku Yah meletup di media.  Kami berdua diarahkan oleh Khalid untuk mencari Muhammad sehingga dapat.  "Selagi tak dapat.. hangpa jangan mai pejabat,'' begitulah lebih kurang Khalid memberi arahan tegas dan keras.

Kami mencarinya di kampung halamannya di Hulu Bernam,, di kediamannya semasa menjadi ADUN di Serendah dan juga beberapa tempat lagi.  Terima arahan hari Rabu...oleh kerana Khalid kata jangan balik sehingga dapat...memang kami tak bailik ke pejabat. Namun kami tetap balik ke rumah dan keesokannya jumpa di tempat yang dijanjikan.

Hari Jumaat, kami ke Masjid Negeri di Shah Alam, tinjau-tinjau jika Muhammad ada di situ.  Selepas solat Jumaat, tak jumpa juga tetapi kami menerima pesanan daripada Khalid supaya pulang ke pejabat.  Dah diarah pulang, maka baliklah kami. Tiga hari sebelumnya arahan adalah jangan balik, maka taklah kami balik ke pejabat.

Lebih 11 tahun menjadi wartawan di Utusan, saya tidak pernah ditugaskan di meja sukan. Makanya amat jarang sekali saya menulis berita-berita sukan. Pada suatu tahun, keluarga besar Utusan membuat rombongan ke Medan menaiki dua buah pesawat.  Salah satu acara yang dijalankan adalah perlawanan bolasepak dengan pihak media di sana.

Oleh kerana tidak ada seorangpun  wartawan sukan yang mengikuti rombongan itu dan seorang lagi adalah dari meja ekonomi iaitu sahabat saya Zaharuddin Mohd. Ali yang agak keberatan juga untuk membuat laporan, maka sayalah yang menghantar berita berkenaan.

Ketika itu belum ada teknologi internet, maka khidmat Rosle Azmi ketika itu petugas di unit teleprinter amat dihargai untuk menghantar laporan menggunakan teleprinter.

Biasalah wartawan politik buat laporan sukan dah tentu lintang pukang punya. Oleh itu perlu di 'rewrite' atau istilah kami 'goreng semula'. Saya tak mahu sebut siapa yang goreng berita itu tetapi apabila disiarkan esoknya, gol Utusan dijaringkan oleh penjaga gol... Alamak... jauhnya penjaga gol melarikan bola dan macamlah 10 orang pemain lain tak boleh harap langsung!

Ketika bekerja pada waktu malam, penghantaran berita ke loji di Perai, Terengganu dan Johor Baharu perlu cepat kerana 'dead-line' iaitu waktu terakhir untuk menghantar berita wajib ditepati. Kadang-kadang petugas teleprinter turun minum atau makan malam. Dengan pengetahuan yang diturunkan oleh Rosle Azmi saya cuba hantar sendiri laporan melalui teleprinter.  Memang tak mahirpun sehingga mesin teleprinter  selalu ingatkan saya kerana lembab dengan kenyataan "Sorry. you are slow ini action".

Bos di K.Terengganu, Encik Abdullah Hassan akan mula 'bising' apabila lambat dan ada kalanya, bos malam, Sirajuddin Rafia (Allahyarham, Datuk) ajar saya macam mana nak kendalikan mesin tu.  Begitulah kerja kami pada waktu malam..tak kira bos besar atau bos kecil..yang pasti kerja beres.  Sipengendali teleprinter pula boleh terus makan malam tanpa gangguan.

Agak-agaknya Ciklah (Abdullah Hassan) masih 'gian' main teleprinter..itu sebabnya hari ini beliau amat aktif menulis dan menurunkan banyak pengalaman di Facebook; bersama-sama Kamaruddin Mat Lela (KML) dan Usuludin Jamil.  Saya 'salute' dengan KML kerana walaupun pernah bekerja bersamanya di bawah satu bumbung, saya hanya mengenali beliau sebagai seorang yang pendiam dan kami jarang-jarang bersembang kosong. Namun hari ini, macam-macam yang beliau lontarkan di FB.. Syabas dan tahniah bang...-13/1/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1209  tetamu dalam talian