17Oktober2018

Saya ni menantu musuh Datok....

ikon-bad-200-latestDalam catatan yang lalu saya telah menyebut perihal kawan-kawan yang teringin menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang. Tatkala begitu ramai yang mahu 'menempah kot' tidak kurang juga terdapatnya tokoh-tokoh tertentu yang 'menolak tuah'.  Saya gunakan istilah 'menolak tuah' kerana individu berkenaan yang diuar-uarkan untuk bertanding tetapi enggan kerana alasan-alasannya tersendiri.

Tentulah kawan-kawan yang dah tempah kot menyatakan 'menolak tuah' sedangkan yang menolak itu sendiri mungkin menganggapnya sebagai 'menolak bala'.

Biarkanlah mereka dengan pendirian masing-masing dan kita perlu hormat dengan pendirian itu.

Setiap orang yang memasang impian untuk bergelar calon tentu maklum tentang beberapa prosedur pemilihan yang terpaksa dilalui.  Yang lazimnya mereka akan 'dinilai' oleh para pegawai penerangan daerah di kawasan masing-masing.  Begitu juga dengan pegawai-pegawai tertentu yang lain lazimnya seperti KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), ketua-ketua masyarakat dan sebagainya.

Atas kesedaran itulah bakal-bakal calon mahu tidak mahu mesti mendekati para pegawai berkenaan. Mesti berdampingan, menonjol diri dan menunjukkan pelbagai 'kelebihan' masing-masing dengan harapan maklumat-maklumat mengenai perkembangan terkini akan dimajukan ke pihak yang lebih tinggi.  Ada juga yang pergi lebih jauh dengan mendekati para pegawai Biro Tatanegara dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang tiba-tiba sahaja amat mesra dan akrab dengan pegawai dan anggota polis cawangan khas (SB).  Mereka menganggap SB mempunyai pengaruh dan kuasa yang amat besar untuk menentukan terpilih atau sebaliknya calon-calon berkenaan.  Gara-gara itulah, apabila pihak SB 'menemuduga' atau mendapatkan maklumat i mengenai diri, ada yang merumuskan namanya sudah 'confirmed' ada dalam senarai.

Peliknya mereka tak pernah teliti, ada dalam senarai apa..!

Betul jugalah tu...  Memang ada dalam senarai, tetapi harus disedari bahawa pihak SB akan mendapatkan latar-belakang mengenai sesiapa sahaja yang diarahkan. SB bukan sahaja dapatkan maklumat-maklumat mereka yang pasang badan nak jadi calon, tetapi juga mengenai pelbagai hal lain termasuklah mereka yang dipercayai ada kaitan dengan jenayah.

Jadi jika didampingi oleh pihak SB janganlah syok sangat untuk terus tempah kot baharu....  Saya mula bermesra dengan pihak SB sejak berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia lagi iaitu pada tahun 1983.  Ketika itu saya berkhidmat di Pejabat Perhubungan Awam dan pejabat itu amat sering didatangi pihak SB.  Mereka datang untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai kegiatan pihak univerisiti, tokoh yang akan datang ke kampus, maklumat mengenai penganjur dan perasmi pelbagai kegiatan dan sebagainya.

Tidak kurang juga mereka datang untuk mendapatkan maklumat mengenai kakitangan atau pelajar tertentu kerana penglibatan mereka dalam kegiatan dalam dan luar kampus. Jadi kerja SB bukan untuk cari calon pilihanraya...

Pada tahun 1984 saya menyertai Utusan Melayu sebagai wartawan. Keintiman dengan pihak SB memudahkan kerja-kerja saya sebagai wartawan.  Ketika ditempatkan di meja jenayah, saya berada lebih banyak di Ibu pejabat  Polis Kajang (dahulunya Hulu Langat/Ampang) daripada di pejabat sendiri di Kuala Lumpur.

Polis Kajang yang ketika itu sendiri menduduki ranking 'kawasan hitam' ada banyak kes untuk dilaporkan.  Kadang-kadang saya menghantar laporan melalui telefon di rumah sahaja kerana ada kes-kes menarik yang memerlukan pemantauan sepanjang masa. Kes enam orang banduan Indonesia yang melarikan diri dari Penjara Sungai Jelok, Kajang adalah contohnya.

Beberapa hari saya tidak ke pejabat kerana mengikuti operasi-operasi pihak polis.  Kawan-kawan yang lain dari Jalan Chan Sow Lin ditugaskan untuk liputan yang sama tetapi di lokasi-lokasi lain.

Oleh kerana mesranya hubungan dengan pihak polis ketika itu, van merah istimewa saya juga pernah digunakan untuk ke tugasan-tugasan tertentu bersama pihak polis. Ini termasuklah menyertai operasi mencari banduan yang membolosi penjara. Dari balai polis Kajang, bersama beberapa orang anggota, kami ke lokasi di Hulu Semenyih setelah mendapat maklumat ada Orang Asli yang ternampak kelibat banduan berkenaan.

Kami ke sana beramai-ramai termasuklah jurugambar, kalau tak silap, Nazri Abu Bakar yang ketika itu tinggal di Hulu Langat. Dengan menaiki van merah, kami bergerak ke  lokasi operasi tetapi sampai di sebuah perkampungan Orang Asli, seorang rakan berpangkat sarjan tiba-tiba memberi alasan dia hendak menemui tok batin dan menyuruh kami terus ke lokasi.  Setelah menurunkan kawan berkenaan, kami terus ke lokasi. Sampai di sana, tidak lama kemudian kami terserempak dengan Ketua Polis Daerah yang mengetuai operasi.

Kami ditegur kerana menyertai pihak polis dalam operasi sedangkan kawasan berkenaan adalah kawasan larangan. Terkebil-kebil sahabat saya berpangkat koperal yang 'disembur' oleh bosnya.  Esoknya saya menghadap ketua polis berkenaan kerana meminta maaf.

Walaupun perhubungan saya dengan kawan-kawan SB dan pegawai-pegawai termasuk ketua polis adalah sangat rapat, kami tidak pernah mengaitkan perhubungan itu dengan kegiatan politik.  Malah, kawan-kawan berkenaan amat mengetahui saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Bandar Baru Bangi dan juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Sepang. Bukannya sekejap memegang jawatan itu, tetapi hampir 10 tahun.

Kemudian, apabila dipindahkan ke Bahagian Hulu Langat, saya 'dinaikkan' ke jawatan ahli jawatankuasa bahagian. Dengan jawatan itulah, kemudiannya saya dicalonkan untuk bertanding jawatan Ahli Parlimen Hulu Langat pada tahun 1995.  Sebaik sahaja perkhabaran mengenai saya menjadi calon tersebar, orang yang paling lintang pukang ketika itu adalah rakan-rakan SB berkenaan.  Mereka berhempas pulas mencari saya untuk mendapatkan 'detail' diri dan keluarga.

Yang marah-marahpun ada juga kerana tidak memberitahu mengenai pencalonan tersebut.  Saya hanya tersenyum dan memberitahu," Orang lain kata hangpa yang jadi penentu nak jadi calon ke dak,...aku mana tau..!"

Begitulah perihal kawan-kawan SB yang cukup lama saya kenali.  Kini, kebanyakan mereka sudah bersara.  Ada yang bersara awal dan ada juga yang bersara wajib.  Dah lama tak jumpa mereka dan juga kawan-kawan lain dari cawangan yang lain pula.

Setelah menjadi YB baharulah saya tahu bahawa rupa-rupanya ada banyak pihak lagi yang membuat pemantauan mengenai orang politik. Pemantau dari pihak tenterapun ada. Dari kementerian-kementerian lain juga ada. Macam-macam pemantau yang ada..... Yang menjadi 'pemantau' persendirian dan pemantau pihak-pihak tertentu juga ada. Pemantau persendirian ini membuat laporan kepada pihak-pihak yang tidak berkenan pada kita.

Macam saya....bergelumang dalam politik di Sepang dan baru sahaja menyertai Hulu Langat beberapa bulan sudahpun menjadi calon parlimen. Tentulah ada yang 'angin satu badan' .  Ada yang dah tempah kot dan ada pula yang dah berkira-kira 'order' kereta baharu, tiba-tiba saya yang menjadi calon.  Ketika itu saya hanya bersangka baik pada semua orang sehinggalah kemudiannya baharu sedar ada orang yang marah.

Saya tak boleh lupa langsung perihal seorang sahabat yang tidak terpilih sebagai calon sedangkan beliau dan keluarganya sudah membuat pelbagai persiapan. Sedih betul apabila saya berkunjung ke kediamannya apabila disambut oleh isterinya kerana rakan berkenaan tiada di rumah.  "Kenapa Haji... ada perubahan ke...?" kata siisteri berkenaan kepada seorang rakan karibnya yang mengiringi saya ketika itu. Beliau bertanya demikian kerana masih mengharap suaminya yang menjadi calon.

Baru-baru ini, lagi saya terkejut apabila didatangi sepasang suami isteri yang memperkenalkan diri dengan cara yang pelik.  "Datok tak kenal saya... kami kenal Datok. Saya ni menantu S______n.... musuh Datok. Isteri saya ni anak dia."  Walaupun terkejut dengan kenyataan tersebut, saya lantas menjawab:

"Saya tak ada musuhi sesiapapun. Kalau ada orang lain nak memusuhi saya...itu hal merekalah. Saya berkawan dengan semua orang yang nak berkawan dengan saya."   Sebelum mereka balik setelah selesai urusan, saya berpesan kepada kenalan baharu itu supaya menyampaikan salam saya kepada bapa mertuanya.

Khabarnya, mertuanya itu jarang-jarang sekali keluar rumah tetapi saya kini masih boleh makan roti canai dan 'pekena' teh tarik di mana-mana gerai pada bila-bila masa. Minum cendol di tepi-tepi jalanpun tak ada masalah dan masih banyak kenalan yang menyapa saya di sana.-18/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 434  tetamu dalam talian