12Disember2018

RM4 sebiji.. berhentilah makan telur penyu!

ikon-bad-200-latestBaru-baru ini saya menelefon Azman Suradi, bekas Penolong Pengarang di meja sukan Utusan kerana mahu sembang-sembang petang.  "Alah Bad...aku dah tersarung ni. Pagi tadi dia orang ajak aku sarapan. Aku jointlah..kemudian kena sarung.. petang ni dah sampai Kuala Terengganu,'' demikian Azman memberitahu.

Tidak lama selepas berhenti dari Utusan, Azman mengikut langkah yang sama. Dia berhenti tak jadi Ahli Parlimen..cuma banyak membantu hal-hal politik.  Dia dan kawan-kawan lain membantu dan dia juga berusaha bawa kemajuan untuk kampung halamannya, Kampung Jawa di Hulu Langat.

Oleh kerana dia berada di Terengganu, saya pesan supaya beli tiga empat biji telur penyu jika ada.  Tiga hari kemudian, dia terpacak di depan rumah membawa 10 biji telur yang dipesan.  Saya buat-buat tanya kenapa beli banyak sangat walaupun saya tahu penjual memang dah siap bungkus 10 biji satu plastik.

Sebaik sahaja Azman balik..saya terus rebus dua biji dan makan dengan kicap masin.. Heuuuuh... mereka yang biasa makan sahaja yang tahu betapa nikmatnya makanan itu - makanan yang istimewa kerana penyu tak boleh makan (dari sudut agama) tetapi telurnya boleh!

Nak makanpun nak kena caranya juga. Rebus macam mana lama sekalipun, 'bola pingpong' itu tak akan keras. Ia tetap lembut dan kulitnya tidak akan pecah atau koyak.  Nak makan kulitnya perlu dikoyakkan sedikit bagi membolehkan kicap dituang ke dalamnya.  Ambil pencungkil gigi dan gunakannya untuk kacau atau meratakan kicap supaya semuanya sebati.

Selepas itu baharulah dihisap dan rasalah nikmatnya.  Kalau dikeluarkan dari kulitnya, nampak sangat lendirnya dan licin pula. Memang tak sesuai jika dipecahkan macam telur ayam separuh masak.

Selepas dua biji ditelan.. terasa sungguh leganya sebab kali terakhir saya makan telur penyu adalah ketika berkunjung ke Kelantan tiga tahun lalu. Apabila sampai di Pantai Timur, boleh pilih telur yang besar dan cantik.  Bagaimanapun yang Azman belikan agak kecil saiznya dan apabila diberitahu harganya RM4 sebiji, terkedu sekejap.

Manakan tidak, kali terakhir saya membelinya, sebiji berharga RM1.70 sahaja Kalau beli 10, baharulah RM17.00. Semasa saya bertanya harganya pada Azman, saya sedang mengerok poket untuk mengeluarkan not RM50 yang ada. Apabila Azman enggan mengambil wang dan memberitahu itu adalah ole-ole yang beliau bawa, tak jadilah duit bertukar tangan. Itulah nilai persahabatan...

RM40 untuk menjemput penyakit je. Esoknya rebus lagi dua biji untuk sarapan pagi tetapi pada sebelah petangnya dah tak boleh berjalan. 'Sahabat lama' iaitu 'gout' sudah tiba, maka tersadailah beberapa hari dan terpaksa mengeluarkan kerusi roda dari setor.

Sudah banyak doktor melarang saya memakan telur berkenaan kerana kandungan kolestrolnya sangat tinggi tetapi saya hanya tidak makan jika telur itu tak ada.  Kalau ada, sebat juga.  Begitulah ketika Wan Norazah Wan Chik berkhidmat di Kota Kinabalu yang sering mengepos telur berkenaan kepada saya.

Sekali kirim bukannya 10 biji..tetapi 100. Beri pada kawan-kawan sedikit yang lainnya saya kongsi dengan anak-anak. Dulu di KK dan Labuan boleh dapat 80 sen atau RM1 sebiji...sekarang entahlah, dah lama tak ke sana.

Kali ini dengan harga RM4 sebiji, saya mula membandingkan harga tersebut boleh membeli  sehingga 12 biji telur ayam.  Oleh kerana serangan gout kali ini agak teruk..eloklah dengar je nasihat doktor iaitu berhentilah makan telur penyu.

Dahlah Azman belanja beli telur sampai RM40, jumpa doktor, kena RM40 lagi.

Cuma terkenang pula setakat manakah keberkesanan penguatkuasaan terhadap pengutipan telur penyu.  Kerajaan telah kuatkuasakan larangan mengutip dan menjual telur kenyu kerana mahu jamin supaya penyu tidak pupus, tetapi masih banyak yang dijual

Namun apa nak dihairankan.  Dadah yang dilarang dan diharamkan, masih didagangkan dengan meluas sekali..inikan pula telur yang enak...cuma harganya dah nak ikut macam dadah juga!

Menyentuh cerita mengenai telur, terfikir juga bagaimana masih ada pengusaha yang boleh jual telur ayam dengan harga RM5.00 untuk 30 biji sedangkan di pasar harganya paling murah RM7.50.

Saya terjumpa harga berkenaan di tepi jalan dekat Rembau Negeri Sembilan. Memang benarlah iklannya tertulis "hargo murah gilo..!  Jika untuk sarapan, ramai yang gemar dan mencari telur ayam kampung.untuk direbus separuh masak. Berapa harganya sebiji? Paling murah pernah saya jumpa di Kuala Pilah iaitu 60 sen.  Kalau di Lembah Klang, biasalah dijual dengan harga 90 sen sebiji.

Namun, pengusaha berkenaan boleh menjual dengan harga 40 sen sahaja...memang murah gilo. Itulah sebabnya orang tidak membeli
sepapan tetapi berpapan-papan.

Kita faham harga berkenaan mungkin harga borong tetapi kenapa tidak banyak pengusaha yang mengamalkan konsep sedemikian.  Kedai Rakyat 1 Malaysia, mungkin wajar cari pengusaha sedemikian untuk mendapatkan bekalan yang murah harganya.

Pengusaha berkenaan dan pengusaha-pengusaha lain juga mungkin wajar mencari 'outlet' di laluan utama iaitu tempat orangramai lalu lalang...tetapi kos pula pasti naik kerana melibatkan pengangkutan dan sewa tapak dan sebagainya.

Telur burung puyuh adalah jauh lebih kecil daripada telur ayam tetapi harganya berganda lebih tinggi. Pun ramai juga yang memilih telur puyuh.  Begitu juga dengan burung puyuh itu sendiri yang harganya hampir-hampir 50 peratus daripada harga seekor ayam.

Entahlah..tiba-tiba teringat pula apabila tiba masa korban pada hariraya Iduladha kerana ramai pula yang mahukan telur kambing....-22/1/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 284  tetamu dalam talian