18September2014

Ramadhan... nostalgia yang tak dapat dikembalikan

ikon-bad-200-latest
Sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan (UKM) pada tahun 1979, saya pernah menjadi penghantar cepat atau despacht rider di ibukota Kuala Lumpur. Daripada seorang despacth boy yang menunggang motosikal dengan kadar segera, tetapi bukan sebagai mat rempit kerana pada tahun 1977/78, budaya itu belum berkembang lagi. saya akhirnya bertukar kerja menjadi juruhias dalaman (interior designer).

Kedua-dua pekerjaan itu memberi ruang kepada saya untuk merayap ke seluruh pelusuk Kuala Lumpur. Menziarahi rakan-rakan di Asrama Dr. Latiff di Pesiaran Gurney, adalah lumrah. Ke sana juga kerana mahu melepaskan rindu kepada Ibu Halimah, matron asrama yang hingga kini menganggap kami sebagai anak-anaknya sendiri.

Sering juga melihat Bukit Bintang Girls School (BBGS) yang kini telah dipindahkan ke Ampang dengan nama baharunya Sekolah Menengah Seri Bintang. Comel-comel para pelajarnya. Itu baru pelajar sekolah di Bukit Bintang...belum ambil kira lagi perempuan-perempuan yang mundar mandir di depan hotel sepanjang Jalan Bukit Bintang selepas pukul 10.00 malam. Bukit Bintang memang lama terkenal kerana kegiatannya pada waktu malam.

Sejak tahun 1960-an lagi, BB Park atau Bukit Bintang Park sudah menjadi syurga para pengunjung pada waktu malam. Tak tahulah pula jika ada apa-apa kajian yang dilakukan berapa orang pelajar dan bekas pelajar BBGS yang terlibat dengan kegiatan kupu-kupu malam. Maaf alumni BBGS...saya tidak bermaksud apa-apa yang negatif mengenai anda dan sekolah anda.

Saya sengaja membangkitkan persoalan ini bagi membanding alasan-alasan yang diberikan oleh Yayasan Selangor untuk merobohkan dua buah asramanya iaitu Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin di Kampung Pandan. Dalam rasionalisasi panjang lebarnya kepada Agendadaily pada 29 Julai lalu, YS mengambil BBGS sebagai sandaran untuk dicontohi menghalalkan perobohan asrama berkenaan.

Kata YS, BBGS dipindahkan kerana dihimpit oleh pembangunan. Mungkin ada benarnya, tetapi sebenarnya sekolah itu benar-benar tersepit kerana keluasan yang diibaratkan sebagai sekangkang kera sahaja di tanah berbentuk tiga segi yang dikelilingi tiga batang jalan. Pun begitu, kebingitan ibukota telah dilalui sejak 30 tahun sebelum perpindahan itu dan tidak ada pelajarnya yang terperosok ke dalam kegiatan kancah tiga segi . Jadi, rasionalisasi YS mengatakan asrama-asramanya di Kampung Pandan itu terdedah kepada jenayah apa juga gejala tidak sihat akibat pembangunan sekitar adalah kurang bernas.

Menjadikan beberapa peristiwa anak dara dilarikan jejaka Lombok sebagai alasan asrama perlu dirobohkan hanya menunjukkan kedangkalan pihak pengurusan menangani masalah. Bukankah selama ini, persekitarannya sama sahaja. Ada penjenayah, ada penagih dadah dan ada macam-macam manusia dan perangai di sekitarnya. Namun, sudah 30 tahun YS berhadapan dengan masalah itu. Bingit pembangunan juga sudah dilalui termasuklah dari projek pembesaran jalan dan pembinaan jejantas di situ, tetapi para pelajarnya tetap cemerlang dan berjaya.

Ketika berkunjung beberapa kali ke asrama-asrama berkenaan atas nama Persatuan Anak Yayasan Selangor atau PAYS (sekarang PAYS adalah singkatan bagi Persatuan Alumni Yayasan Selangor), bersama kawan-kawan lama bagi menjayakan program motivasi, jelas kelihatan keceriaan dan kecerahan masa depan para pelajar di situ. Mereka anak-anak desa yang berpotensi tinggi dan harapan para ibu bapa yang kebanyakannya bekerja sendiri di kampung, nelayan dan juga penoreh getah.

Begitulah juga latar belakang ibubapa kami yang menjadi penghuni-penghuni terawal asrama-asrama YS. Berbuka puasa di asrama dan bertarawih beramai-ramai amat menyentuh perasaan atau meminjam istilah pengurusan YS sekarang, kenangan mengusik jiwa, atau nostalgia. Bergemuruh sekali apabila kami berselawat beramai-ramai. Kemudiannya, seperti kanak-kanak lain, akan berebut-rebut ketika moreh. Walaupun kakitangan dapur sekadar menyediakan milo atau teh panas dan bubur kacang, terasa nikmatnya.

Sebenarnya, di asrama itulah kami mula belajar dan membiasakan diri berjemaah. Kami membesar di situ dan hanya kira-kira suku lagi pengalaman ditimba melalui keluarga iaitu ketika bercuti sekolah.

Apabila bersahur di rumah, kita ada pilihan untuk tidak bangun, tetapi kami, khususnya di Asrama Dr. Latiff, jangan cuba-cuba nak liat bangun selepas loceng dibunyikan pada pukul 4.00 pagi. Dalam masa 10 minit selepas loceng dibunyikan, kami sudah berada di dewan makan untuk bersahur. Sebelum menjamah nasi seperti biasa perlu baca doa dahulu. Namun jika masih ada pelajar yang tidak turun, iaitu berdasarkan ada bangku yang kosong, penguasa asrama, Cikgu Samad Kahar akan beri masa lima minit lagi.

Jika tidak turun juga, beliau (kini Allahyarham) akan meminta pengawal mencari pelajar berkenaan di bilik, atau kadangkala, dia sendiri berbekalkan roti panjangnya (rotan halus) akan menjejaki pelajar berkenaan. Saya sendiri bersama kawan-kawan di bilik D10 pernah makan roti panjang tu...Dah turun semuanya baharulah baca doa dan bersahur. Demikianlah manis dan pahitnya kenangan pada bulan Ramadhan.


Waktu berbukapun nostalgik juga. Lauk pauk seperti ayam masak kurma, sayur labu masak lemak dan sebagainya sudah tersedia terhidang di meja. Namun nak makan kena ikut filem P. Ramlee dalam cerita Tiga Abdul.... boleh hidu sahaja kerana nasi belum disediakan.

Apa nak kata, jamah ajelah buah kurma, pengat pisang atau apa sahaja yang disediakan oleh Mak Mok, Mail Boncet, Kak Yam, Kak Saenah dan beberapa orang lagi yang saya tak ingat nama mereka. Al-Fatihah untuk mereka yang sudah pergi dahulu dan doa selamat sejahtera untuk mereka yang masih bersama.

Nostalgia ini menurut YS sesuai dikembalikan dengan merakamkan gambar untuk dijadikan album dan bolehlah dipamerkan di galeri khas kerana sejarahpun akan dibukukan sahaja dan jika bernasib baik disumbat ke muzium sahaja.

Nakal tetap nakal. Ada seorang rakan yang ponteng puasa dan menyorok dalam almari pakaian ketika 'curi-curi makan', tetapi akhirnya beliau menjadi ketua pegawai ekskutif yang berjaya... inilah kejayaan 'menukar karektor' yang berlaku di asrama YS. Ada juga seorang kawan yang menjadi tauke 'tikam-tikam' iaitu menjual nombor yang disimpan di papan paparan dan nombor-nombor bertuah tertentu akan mendapat hadiah wang tunai di antara 5 sen hingga seringgit.

Kawan itu, kini tinggal di rumah banglo dua tingkat yang besar... tetapi bukan kerana perniagaan tikam-tikamnya itu, tetapi kerana pencapaian akademiknya sehingga berakhir dengan ijazah sarjana dari luar negara.

Satu asrama ada kira-kira 200 orang pelajar. Bukan mudah untuk menjinakkan anak-anak kampung yang belum pernah berpisah daripada ibu bapa. Namun, para pentadbir dan kakitangan yang kami ibaratkan sebagai abang dan kakak semuanya, cukup pintar membelai kami. Kerana itulah, hingga kini kami masih menghargai mereka, walaupun mereka sekadar tukang masak atau tukang sapu sahaja.

Tak mungkin cukup untuk kami menghargai jasa-jasa mereka dengan galeri khas atau paparan di muzium kerana kenangan yang terpahat di hati ada jiwanya sedangkan gambar dan galeri tiada perasaan -macam video yang dianggap besi sahaja.
Selamat meneruskan ibadat berpuasa.-14/8/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 503  tetamu dalam talian