19Julai2018

Rakan sihat dikhabarkan meninggal: Gangguan emosi burukkan kesihatan

Terlantar begitu lama di hospital memang menghantui fikiran. Macam-macam yang terfikir terutamanya berapa lama lagikah aku akan tersadai di sini. Dan, kadangkala kerana dihasut oleh fikiran negatif, timbul juga pertanyaan adakah aku akan sembuh atau berakhir di sini sahaja.

 

Faktor-faktor yang membawa kepada pemikiran negatif ada banyak. Ada yang terhasil dari benak sendiri dan ada juga daripada pihak-pihak yang datang menziarah. Yang datang dari benak sendiri itu pula berpunca daripada .stress atau kepala berpinar yang tidak dapat dikawal. Kepala berpinar pula ada punca-punca tersendiri iaitu faktor dalaman dan juga faktor mendatang.

Ada orang datang menziarah salah, tak datangpun salah juga. Ada yang datang asyik bertanya apa punca penyakit. Itu sudah menjadi lumrah. Masalahnya ketika itu saya terlalu sukar untuk bertutur selain daripada terlalu letih untuk melayan tetamu. Maklumlah saudara-mara ramai, begitu kawan-kawan sama ada rakan sekerja dahulu atau kawan-kawan setia semasa bersekolah mahupun yang sama-sama terlibat dalam politik.

Ada juga tetamu berziarah yang peramah dengan bercerita pengalaman dan keadaan ahli keluarga mereka yang pernah atau sedang berada di hospital juga. Mereka memberitahu ahli keluarga mereka berada lebih lama lagi dan ada juga yang berakhir dengan maut. Yang bercerita tentang penyakit yang sama juga banyak walaupun tidak mengetahui apa sebenarnya yang sedang saya deritai.

Umpamanya seorang hamba Allah bercerita mengenai adiknya yang terpaksa dipotong kakinya. Beliau beria-ia benar menasihatkan saya supaya mengikut kaedah perubatan yang dicadangkannya untuk mengelakkan peristiwa malang yang menimpa adiknya itu berulang. Hamba Allah berkenaan tidak tahu bahawa kaki saya bengkak dan tidak boleh berjalan kerana serangan kuman sedangkan adiknya itu menghidap kencing manis!

Bukan semua orang datang membawa cerita ‘malang’ dan negatif. Yang datang memberi kata-kata semangat dan berkongsi pengalaman menghadapi keadaan sukar dan mencabarpun banyak juga.

“Sabarlah Bad…. Berdoa kepada Allah. Aku dulupun tersadai lima bulan tak boleh jalan,’’ kata sahabat karib dari Utusan Melayu, Rosle Azmi menceritakan penglamannya patah kaki akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu. Sahabat ini selain sering datang juga menghebahkan kepada kawan-kawan lain mengenai keadaan saya.

Seorang lagi sahabar semasa sekolah pada tahun 1970-an dahulu, Azahari Ahmad dengan seirus dan linangan air mata mententeramkan saya agar terus mengadu kepada Allah di samping tidak lupa bersolat dan berdoa kepadaNya. Menurut kawan ini beliau derita bertahun-tahun lamanya tetapi hanya mengadu kepada Allah sehinggalah pulih kembali dari segi kesihatan dan rezeki.

Itu cerita mengenai pihak-pihak yang datang berziarah. Apabila sudah lama duduk di wad dan saban hari ramai yang datang, maka sampailah pula masanya tidak ada yang datang menziarah. Seperti yang dinyatakan tadi, ada orang datang, salah - tak datangpun salah juga.

Apabila tiada yang datang, mulalah otak memikirkan yang bukan-bukan pula. Eh,,,,dah takde kawan lagi ke…begitulah benak tiba-tiba menjadi negatif. Tatkala tiada yang datang, tiadalah gelak ketawa, bertanya khabar. Yang ada hanyalah para juruawat yang masuk empat jam sekali untuk merakamkan tekanan darah tinggi. Kadang-kadang memang darah naik juga kerana masalah tiada pelawat berkunjung…tension, …ai tension.

Sebenarnya setelah mereka datang berpusu-pusu pada awal mendapat perkhabaran, khususnya pada hujung minggu, lama kelamaan, memanglah tidak ramai lagi yang berkunjung. Namun otak tetap dipengaruhi fikiran negatif dan songsang. Mulalah ada unsur yang menghasut benak. Mula terfikir kawan-kawan yang suatu ketika dahulu baring setikar dan lelap sebantal kenapa tak datang….? Padahal dah diberitahu.

Kawan-kawan yang sama-sama gemilang, cemerlang dan terbilang terus hilang. Yang terbuntang, terlentang dan terterajang pula yang datang. Inilah kehidupan yang saya pelajari apabila terbaring bersendirian. Namun bersendirian rupa-rupanya adalah masa yang terbaik untuk bermuhasabah….. Periksa diri sendiri, jangan cari salah dan kelemahan orang sahaja.

Dalam masa bermuhasabah, rupa-rupanya kena tegas dan kuat semangat. Mengenangkan peristiwa lama khususnya perkara-perkara yang dikesali, amatlah memedihkan dan menahan titisan air mata adalah lumrah. Teringat wakktu-waktu nakal semasa di sekolah….. mencuri tebu bersama rakan-rakan ketika berada di asrama dan terkenang juga ketika mengusik guru perempuan sehingga ada yang menangis,

Ada banyak lagi kenangan dan peristiwa yang tidak tergamak nak tulis di sini. Dahulu buat orang menangis, sekarang menangis seorang diri di atas katil dalam wad…..

Tatkala sedang bermenung-menung mengenangkan peritiwa lama, tiba-tiba masuk SMS melalui telefon bimbit daripada seorang rakan karib. Rakan itu memberitahu mengenai seorang rakan kami yang sakit tenat. Saya sangat sedih dan emosi terus terganggu.

Emosi saya sebenarnya sudah lama terganggu iaitu sejak awal tahun lagi apabila adik bongsu saya Zek dimasukkan ke hospital kerana pelbagai masalah. Dari satu hospital beliau dipindahkan ke hospital yang lain.

Dari hospital kerajaan kepada hospital swasta. Berubat secara alternatifpun ada. Usaha wajib diteruskan. Sakit datang segera, perginya belum tentu.

Semasa di Hospital Kuala Lumpur, saya sempat menziarahinya. Cukup steady….walaupun sedang bertarung dengan pelbagai dugaan, Zek tetap melemparkan senyuman. Dia cukup tabah dan bersemangat.

Semasa di Hospital Selayang, walaupun terpaksa diusung ke kereta dan bergerak menggunakan kerusi roda, saya sempat juga menziarahi Zek. Beliau ketika itu sudah sangat kurus. Matanya cengkung dan saya amat terkejut.

Ketika memeluknya saya tidak dapat menahan lelehan air mata tetapi Zek tetap steady.. Beliau melemparkan senyuman dan meminta saya bersabar. Beliau juga menasihatkan saya menjaga kesihatan dan pastikan sentiasa makan walaupun tiada selera. Oleh kerana terlalu sedih dan tidak larat lagi melihat penderitaannya, saya segera mengambil keputusan meninggalkan Zek di wad 4C walaupun baru berbual-bual dengannya selama 15 minit.

Semasa berada di Wad 8B Zek keluar masuk hospital lagi termasuk hospital swasta. Sebelum ini beliau telah menjalani pembedahan untuk membuangkan perkara-perkara yang tidak patut berada di dalam perutnya.

Tatkala sedang merenung pengalaman yang dilalui adik itu, tiba-tiba masuk lagi satu SMS. Kali ini menyebut seorang sahabat karib yang sama-sama di Utusan Melayu dahulu telah meninggal dunia. Berombak dada saya ketika itu. Fikiran terus melayang kepada sahabat berkenaan. Beliau kebetulan tinggal berjiran dengan abang saya di Cheras Indah di pinggir ibukota Kuala Lumpur, jadi kami sering berjumpa.

Sahabat yang dikhabarkan meninggal dunia itu tidak pernah ‘missed’ menziarahi saya setiap kali dirawat di hospital. Malah tiga hari sebelum disebarkan SMS mengenai kematiannya, sahabat berkenaan bersama isteri tersayangnya juga hadir menziarahi saya.

Mereka membawa satu tin biskut rendah lemak untuk saya. Apabila menerima SMS berkenaan saya terus memandang ke arah tin biskut itu yang baru sahaja saya buka ketika sarapan pagi berkenaan.

Saya lantas menghubungi pengirim SMS berkenaan. Pengirim tersebut, Rosle Azmi memang dari awal-awal lagi bengang menerima SMS itu kerana sahabat yang diwar-warkan meninggal dunia itu masih sihat hingga ke hari ini.

“Li… kau pesanlah kat kawan yang hantar SMS kat kau jangan main-main soal mati. Mati perkara sensitif,’’ begitu saya berpesan kepada Rosle, Ekskutif kanan di Jabatan Pengarang Utusan Melayu. Rosle juga amat kecewa dengan pengiriman SMS palsu itu. Ya Allah…. Panjangkanlah usia sahabatku itu.

Begitulah cerita orang hidup yang diberitakan sudah meninggal dunia dan berita itu pula akhirnya sampai pula kepada saya yang ketika itu hanya terlantar di Wad 8B. Dalam hati saya berkata, orang sihat diberitakan telah meninggal, yang bertarung nyawa di hospital… apa pula berita yang disampaikan agaknya.

Bayangkan perasaan dan emosi saya ketika itu. Terima berita orang sakit dan berita orang meninggal……..

Pada suatu petang iaitu kira-kira pukul 5.55 petang saya menerima pqnggilan telefon daripada seorang abang. Tatkala menjawab panggilannya, dia tidak berkata apa-apa, sebaliknya kedengaran esakannya menangis…… saya tahu abang itu membuat panggilan dari Hospital Selayang. Saya sudah boleh mengagak dan terus berkata kepadanya supaya bersabar.

Saya sudah boleh mengagak perkhabaran yang hendak disampaikan, tetapi saya biarkan dia menghabiskan esakannya itu. Akhirnya kedengaran dengan jelas di celah-celah esakannya itu memberitahu..” Adik kita Zek dah tak ada…”

Saya sambut perkhabran itu dengan penuh sedih dan sayu sambil menyambung tangisan abang berkenaan. Terus sedekahkan Al-Fatihah kepada adik yang tersayang itu.

Malam itu juga saya meminta kebenaran daripada doktor bertugas untuk ‘bercuti’ keesokannya untuk pulang ke kampung menziarahi Zek. Doktor benarkan dan esoknya saya pulang berziarah untuk kali terakhir……

Malam itu juga amat sukar untuk melelapkan mata. Dalam hati saya berkata bahawa Allah lebih sayangkan Zek dan kerana itu dijemputnya terlebih dahulu. Hati yang sama juga berfikiran sendirian, Allah masih memberi kesempatan untuk aku menambah amal dan menebus dosa.

Malam itu juga saya teringat SMS yang diberikan kepada Zek selepas pilihanraya 2004. Ketika itu Zek menghantar SMS meminta pandangan tawaran yang diterimanya daripada pihak yang menjalankan amanah untuk beliau dilantik sebagai ketua kampung.

Walaupun bangga dengan tawaran itu saya lantas memberitahu Zek jangan sekali--kali menerima tawaran itu dengan alasan usia belum mencecah 40 tahun dan beliau adalah kontarktor kecil yang sedang menaik. Takut nanti akan dituduh menggunakan kuasa untuk mendapat kontrak melalui jawatan.

Dengan linangan air mata ketika itu, saya juga menulis kepadanya melalui SMS: “ Tengoklah apa yang terjadi kepada abangmu ini sejak menjadi Ahli Parlimen…. Macam-macam penyakit dan masalah yang dihadapi… Biarlah abangmu seorang yang merasai. Zek buatlah bisnes dengan baik dan teruskan khidmat kepada masyarakat tanpa memegang jawatan. Dia akur…. Dan walaupun tiga kali dipujuk oleh wakil rakyat untuk mengubah fikiran, Zek tetap teguhkan pendiriannya. Al-Fatihah untukmu sekalli lagi sayang. Semoga kau bahagia di sisi Allah.-25/10/2010

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 519  tetamu dalam talian