17November2018

Pendedahan wajar untuk Ahli Parlimen

Baru-baru ini Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz 'naik angin' di Dewan Rakyat kerana tidak puas hati dengan cara kerajaan menangani kebanjiran pekerja asing di negara ini. Beliau melepaskan geramnya apabila mencelah sesi jawapan oleh Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang sedang mengulas pelbagai pandangan dan kritikan yang dilemparkan oleh ahli-ahli parlimen.

 

Datuk Mohamad yang mesra dengan panggilan 'Abang; di kalangan rakan-rakan terdekatnya naik berang kerana katanya, sejak menjadi wakil rakyat 18 tahun lalu, beliau asyik mendengar jawapan yang sterotaip iaitu "kerajaan akan mengkaji dan mengambil tindakan untuk mengatasinya".

Sebenarnya, ini bukan pertama kali Abang kita tu naik angin. Sebaliknya, beliau akan naik angin dalam apa juga hal sekalipun berhadapan dengan menteri atau timbalannya.

Kali ini, berhadapan dengan Noraini, yang boleh disifatkan sebagai pertembungan di antara bapa dengan anak adalah sesuatu yang agak memeranjatkan kerana mereka dari negeri yang sama dan kawasan Parlimenpun berhampiran sahaja.

Abang Mat juga naik bingung dibuatkannya kerana pekerja asing yang sah di negara ini telah menjangkau jumlah 2.1 juta, Ini belum pula mengambilkira lagi jumlah pendatang secara haram.

Sebenarnya, bukan Abang Mat seorang yang risau dengan jumlah pendatang asing ini, kerana sebenarnya semua orang sudah mulai gelisah kerana mereka kini kelihatan di mana-mana sahaja. Di kilang ada orang Bangladesh dan Indonesia. Dalam sektor kawalan keselamatan ada orang Myanmar, Nepal dan juga Pakistan. Di ladang ada orang India, Indonesia dan juga Bangladesh.

Dalam perniagaan runcit, ada orang Indonesia dari Acheh, pekerja-pekerja buruh termasuk pembinaan, ada orang Indonesia keuturunan Jawa dan perniagaan pasar malam serta makanan, ada orang Indonesia keturunan Minangkabau. Pendek kata, di mana-mana sahaja, orang asing yang lebih kelihatan dan berperanan.

Di manakah anak-anak muda Malaysia? Ada juga yang bekerja di kilang iaitu kebanyakannya perempuan. Yang lelaki pula lebih gemar menjadi 'mat despatch' kerana boleh buat kerja sambilan sebagai 'mat rempit'

Bekerja sebagai mat despatch biasanya dibekalkan dengan motosikal oleh majikan dan perjalanan harian memungkinkan mereka bertemu lebih banyak kawan dan selepas kerja mereka boleh buat kegiatan lain, khususnya pada waktu malam dan hujung-hujung minggu.

Apabila pulang ke kampung, dongaklah sedikit kepala kita ke atas pokok kelapa. Lihatlah betapa banyaknya kelapa yang kering di pokok kerana tidak ada orang yang mahu memanjat pokok. Pada zaman Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Pertanian, beliau mengesyorkan agar monyet dididik menjadi pemanjat untuk menurunkan kelapa.

Kini, monyet-monyetpun dah tiada….. Mungkinkah suatu hari nanti kita akan mengimport monyet pakar memanjat pula? Lihat jugalah berapa banyak rambutan merah yang menghitam dan kering di pokok kerana tidak ada orang yang mahu mengaitnya kerana pokok telah terlalu tinggi.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan juga Melaka, lihatlah berapa banyak tanah sawah tidak lagi diusahakan. Ada sawah-sawah tertentu telah ditanam dengan serai, tetapi pengusahanya bukan pemilik tanah. Sebaliknya pengusaha adalah pendatang haram dari Indonesia.

Berapa banyakkah 2.1 juta pekerja asing yang berada di negara ini? Jika hendak dibandingkan dengan agak mudah, ia adalah seramai penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Dengan jumlah yang sama, jika pekerja asing ini diletakkan kesemuanya di Perlis, orang Perlis akan 'hilang' dan mereka akan menjadi orang minoriti.

Jadi, persoalannya, wajarkah atau sebaliknya bagi kerajaan mengatasi segera masalah ini? Pengawal keselamatan, misalnya tidak wajar terdiri daripada orang asing yang tidak tahu pelbagai selok belok mengenai negara kita .

Hal-hal mengenai keselamatan, eloklah diserahkan kepada rakyat tempatan. Begitu juga dengan kerja-kerja lain. Kerajaan perlu meminimumkan jumlah pekerja asing bagi 'menekan' para majikan untuk mengambil pekerja tempatan.

Berdasarkan pengalaman lalu, ada menteri dan timbalan menteri yang mengambil dayausaha mendekatkan ahli-ahli parlimen dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh kementerian tertentu dan menerangkan dengan jelas mengenai pelbagai tindakan tegas, lembut dan tersembunyi yang dilakukan untuk mengatasinya.

Demikianlah yang dilakukan oleh Kementerian Pertahanan, umpamanya apabila berlaku serangan dan penawanan di Pulau Sipadan tidak berapa lama dahulu.

Beberapa orang ahli Parlimen dibawa ke pulau tersebut untuk melihat sendiri kawasan berkenaan dan dipersembahkan lakonan semula oleh para komando tentera laut negara.Selain sebagai persembahan kepada pelawat dari Parlimen itu, lakonan semula itu adalah latihan konkrit para anggota keselamatan kita untuk berhadapan dengan kejadian tersebut yang pertama kali berlaku di negara ini.

Perjalanan kami bermula dari Lapangan Terbang TUDM di Subang dengan menaiki pesawat pengangkut Charlie-130. Dengan menaiki pesawat tentera itu, kami telah didedahkan kepada pengalaman para anggota keselamatan negara ketika berada di dalam pesawat.

Walaupun c-130 boleh dijadikan pesawat ekskutif, tetapi pada ketika itu kerana mahu memberi pengalaman baru, kami menaiki pesawat yang dinaiki oleh para pejuang negara kita tanpa sebarang ubahsuai.

Nak dijadikan cerita, entah apa sebabnya, perut saya sakit nak membuang pada pagi itu. Dah pandang kira dan lihat kanan, hanya kanvas yang melitupi bilik air. Nak bertanya kepada peramugari, segan. Oleh kerana tidak tertahan lagi, saya bertanya kepada quarter master - staff udara lelaki yang berada di bahagian belakang Charlie.

QM tersebut menunjukkan cara-cara menggunakan 'tandas-terbang' tersebut. Saya masuk ke dalam, rasa macam masuk ke dalam kemah. Mata memandang ke arah badan pesawat - nampak segala rangkanya, pendawaian, kabel dan segala macam peralatan.

Perut menjadi goncang apabila mata terlihat kepada gear atau peralatan tertentu digerakkan dengan mengeluarkan bunyi-bunyi tertentu. Maklumlah kesemuanya tidak ditutup dan terdedah begitu sahaja. Macam-macam yang terbayang, khususnya pengalaman menaiki C-130 di Jeddah-Madinah apabila tiga daripada enjin pesawat berkenaan tiba-tiba terhenti.

Kini, saya kebetulan berada di dalam pesawat jenis yang sama.

Kira-kira 15 minit lamanya saya berada di dalam tandas kanvas berkenaan tetapi tidak meninggalkan apa-apa kecuali kenangan. Perut saya terubat dengan sendirinya dan tidak sakit lagi.

Selepas mendarat, ketua rombongan iaitu timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Apdal membawa kami ke kawasan Parlimennya iaitu Semporna. Kali ini kami menaiki bas menuju ke chalet di destinasi pelancongan itu. Makan malam sudah tentu masakan laut yang paling enak.

Esoknya, kami meneruskan perjalanan. Kali ini menaiki bot yang diiringi oleh pihak tentera.Saya bernasib baik kerana menaiki bot yang sama dengan Datuk Shafie kerana saya menjangka kawalan keselamatan tentulah lebih utama untuk timbalan menteri berkenaan.Maksudnya, saya menaiki bot yang lebih selamat.

Jangkaan saya jauh meleset apabila sampai ke lautan dalam, timbalan menteri itu sendiri mengemudi bot. Walaupun kami pernah belajar di kelas yang sama iaitu di Victoria Institution di Kuala Lumpur, saya tidak pernah mengetahui beliau mahir memandu bot. Namun, selepas 10 minit, perut yang kecut kembali reda kerana 'anak pantai' itu memang cukup mahir mengemudikan bot berkenaan.

Hala kami kali ini ialah ke sebuah kapal utama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Kapal inilah pula yang membawa kami ke perairan antarabangsa. Kali ini, turut bersama kami ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di dalam kapal perang ini iaitu KD Mahawangsa (kalau tak silaplah..), kami mendapat pelbagai pengalaman baru. Kami makan makanan tentera yang dimasak oleh anggota-anggota sendiri. Kami juga makan bersama-sama mereka. Kapal berkenaan memang besar, sehingga tidak berapa terasa kami sedang berada perut laut yang luas.

Pegawai-pegawai yang ditugaskan pula memberi pelbagai penerangan mengenai peralatan canggih yang ada dalam kapal tersebut. Persenjataan juga diterangkan selain alat-alat komunikasi moden yang sangat penting sebagai salah satu unsur dalam strategi keselamatan.

Kami dibawa juga melihat kehidupan sebenar anggota tentera kita ketika berbulan-bulan berapa di lautan.

Kabin atau tempat tidur mereka walaupun agak kecil, tetapi cukup selesa. Mereka juga ada tempat untuk bermain seperti sepaktakraw selain daripada permainan dalam lain.

Ringkas kata, kehidupan mereka seperti di darat juga kecuali tidak bersama keluarga dan sahabat handai yang lain. Bagi mereka, semua anak kapal, dari pegawai hinggalah ke kelasi, adalah ahli keluarga dan kepada merekalah masing-masing mencurah dan berkongsi kasih sayang.

Lawatan kami tidak sekadar ke Pulau Sipadan sahaja, tetapi juga ke beberapa pulau dan terumbu lain yang berada di sempadan perairan antarabangsa dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan, termasuklah dicerobohi lanun dan musuh-musuh lain.

Melawat perkampungan terpencil yang seratus peratus dihuni oleh orang laut adalah juga sebahagian daripada aturcara yang telah disusun. Di perkampungan orang laut, kami melihat sendiri kehidupan mereka yang cukup sederhana, tenang dan ria walaupun bentuk rumah dan perawakan menggambarkan mereka sentiasa dihimpit dan dibelenggu oleh kemiskinan.

Dalam perjalanan yang cukup menarik ini juga kami dibawa ke beberapa pos kawalan di sempadan dan pulau-pulau kecil.

Apa yang menarik mengenai keseluruhan lawatan ini ialah kami telah didedahkan kepada kehidupan, tanggungjawab dan tugas para tentera, khususnya dari TLDM. Kami juga didekatkan dengan masyarakat yang agak jauh jauh daripada kemajuan dan kemodenan.

Ini semua memberi gambaran jelas terhadap anggota tentera dan masyarakat di pedalaman berhampiran sempadan antarabangsa. Pendedahan seperti ini pastinya relevan pada bila-bila masa dan saya percaya setiap kementerian atau agensi kerajaan ada lokasi, projek atau kegiatan yang boleh dikongsi bersama para ahli parlimen.

Apabila mereka faham akan tanggungjawab serta rintangan agensi kerajaan atau kementerian, tentulah mereka boleh memberi input lebih baik dan tidak menghentam seperti pembangkang. Pelawa-pelawalah wartawan sekali. - 30/11/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 475  tetamu dalam talian