20Jun2018

Memo panjang dan pengalaman pahit dewasakan saya ....

ikon-bad-200-latest Membaca ulasan dan pandangan kawan-kawan melalui Facebook, banyak mengembalikan kenangan lama yang telah dilalui. Ada ketikanya tulisan mereka bukan sahaja menghimbau kenangan lama bekenaan, tetapi juga menjadi sumber  ilham untuk mengisi ruangan ini.

Demikianlah tidak lama dahulu apabila saya menyentuh sedikit kenangan bersama bos lama di Utusan, Abdullah Hassan. Walaupun sudah beberapa perkara disebut mengenai pengalaman bertugas di Pantar Timur negara, Encik Abdullah Hassan yang lebih mesra dipanggil Ceklah atau Ciklah sambil berjenaka menulis dalam FB kepada saya bertanyakan:

“Tak mahu tulis fasal kena memo daripada ZAM... Tu beli durian penuh satu van tak tulis lagi.”

Tak puas interaksi di FB, saya menelefon Ceklah untuk bercerita panjang akan kenang-kenangan lama semasa saya bertugas di Kota Baru Kelantan manakala Kamal Zailani, kini bersama ibupejabat UMNO ditugaskan di Kuala Terengganu.

Ketika itu Ceklah jadi orang nombor satu di pejabat-pejabat pantai timur meliputi Kota Baru, Kuala Terengganu dan juga Kuantan.  Kamal bertuah kerana dia diawasi terus oleh CekLah sedangkan saya jauh di Kota Baru.

Saya dan Kamal dari ibupejabat Utusan di Kuala Lumpur ditugaskan untuk membantu membuat liputan mengenai pilihanraya umum 1986. Kamal lebih awal menyertai Utusan sedangkan saya baru menyertainya pada tahun 1984. Dahlah tak berapa tahu mengenai perjalanan politik, ke Kelantanpun tak pernah... bayangkan betapa sukarnya kerja saya ketika itu.  Nak ke Pasir Mas terlajak ke Pasir Putih.

Tugas utama bukan sekadar buat laporan biasa kerana laporan harian dilakukan oleh rakan-rakan yang ada di pantai timur.  Jadi di antara tugas kami adalah untuk menghasilkan ulasan dan laporan-laporan jangkaan seperti harapan Barisan Nasional (BN) untuk menang dan sebagainya. Hari ketiga sampai di Kota Baru, saya sudah mendapat memo daripada Ketua Pengarang, Encik Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) kerana laporan bercanggah dengan The Star selain daripada ulasan saya yang silap.

The Star yang dilaporkan oleh saudara Zainal Epi menyentuh  kesengitan yang perlu dilalui oleh BN melalui tajuk beritanya Uphill struggle for BN, tetapi saya tidak menggambarkan sedemikian. Tulisan saya tidak bersifat mendaki bukit..sebaliknya mendatar sahaja.

Buat ulasan pula tak tepat sama sekali kerana sebenarnya pada proses penamaan calon berkenaan, saya kurang arif mengenainya (lebih tepat lagi tak tahupun – maklumkan baharu dua tahun jadi pemberita). Mengundipun baharu sekali iaitu pada tahun 1982.  Walaupun sudah setahun menjadi ‘pakturut’ dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepang, pengetahuan saya mengenai politik sangat cetek.

Ulasan atau analisis itu tidak disiarkan sebaliknya diulas dengan panjang lebar oleh ZAM. Zaman itu, mana ada telefon bimbit, nak cari di pejabat memang tak adalah.. .Jalan yang ada hanyalah memo yang berjela-jela dihantar melalui teleprinter.  Nak menjadi seronok lagi..sebelum memo sampai ke tangan, Ceklah yang baca dulu.  Kasihan Ceklah..sedikit sebanyak, sebagai bos pantai timur tempiasnya kena juga pada beliau.

Jadi, selain daripada ‘memo indah’ daripada ZAM..Ceklah tumpang sesudu-dua lagi.  Amboi sedap betul sarapan pada hari berkenaan.

Jika Kamal ada Ceklah sebagai teman dan pembimbing, saya hanya ada seorang anak kelahiran Kelantan bernama Osman yang saya temui di Kuala Kerai. Oleh kerana saya sangat kelabu mengenai Kelantan, saya ajak Osman mengikut saya dengan janji beri dia sedikit imbuhan dan jamin makan minum serta tempat tinggalnya.

Anak muda ini pula tunjukkan kad NUJ (National Union of Journalist) dan mendakwa dia ‘stringer’ Utusan. Wah seronoklah saya dapat stringer. Ibunya agak keberatan melepaskannya mengikut saya. (Nak kerja apa kamu ni, kata ibunya).

Banyak juga bantuan yang Osman berikan dan saya terima semuanya dengan baik sehinggalah dapat memo kenangan manis daripada ZAM. Malah pada suatu ketika, selepas menghantar berita ke Kuala Terengganu melalui teleprinter, saya turut mengirimkan laporan atas nama Osman.

Malam tu juga Ceklah ‘lompat’ kat saya kerana Osman tu rupa-rupanya bukan pemberita sambilan dan mengingatkan saya supaya jangan biarkan dia menulis berita lagi.  Terkedu saya dibuatnya kerana saya cukup percaya kepada dakwaannya dan tidak pula mendapatkan pengesahan daripada wakil negeri Kelantan ketika itu, Wan Ahmad Wan Hasan.  Nasib baik Ceklah sekat berita tu.. jika tidak mungkin dapat surat cinta kedua daripada ZAM. Osman oh Osman, di manakah kau sekarang...?

Pada hari mengundi, isteri dan dua orang  anak yang masih kecil tiba di Kota Baru kira-kira pukul 5.00 pagi menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur.  Sebenarnya ketika hendak berlepas pada malam sebelumnya, saya telah menghubungi kaunter tiket bas ekspres berkenaan meminta petugas mencari isteri saya.  Kata petugas, semua penumpang sudah menaiki bas dan dia mengambil masa lebih daripada 20 minit untuk menghubungi saya kembali untuk memberitahu tidak berjumpa isteri dan anak-anak saya walaupun tidak sukar untuk mencari kerana hanya ada dua buah bas yang bakal bertolak ke Kota Baru ketika itu.

Saya amat kecewa kerana tujuan saya adalah untuk meminta isteri dan anak-anak membatalkan ‘percutian’ ke pantai timur kerana keadaan yang agak tegang, apatah lagi saya sendiri  telah diburu oleh ahli parti yang fanatik kerana tidak puas hati dengan tulisan saya di akhbar. Seorang lelaki mencari saya di pejabat Utusan di Jalan Bayam, tetapi mujurlah saya sempat menyorok di bawah meja dan seorang sahabat, saudara Saroji Mokhtar memberi helah saya telah pulang ke Kuala Lumpur.

Di tangan lelaki itu ada sebilah parang panjang yang berkilat-kilat dan tanpa disedari, seluar saya tiba-tiba basah melihat betapa tajamnya parang itu.

Terima kasih Saroji kerana telah selamatkan saya. Pagi itu selepas mengambil isteri dan anak-anak, kami kembali ke hotel untuk sarapan dan bersiap untuk ‘check-out’. Niat saya nak balik sahaja walaupun hari berkenaan adalah hari pilihanraya.  Saya memberitahu hajat kepada Ceklah dan beliau memberi persetujuan membenarkan saya kembali awal ke KL.

Pada malam hari terakhir berkempen itu, Kamal sebenarnya mendapat kecelakaan juga iaitu kereta Proton Saga yang baharu dibeli, milik bapanya telah dipakuk dengan parang juga, tetapi dia tidaklah sampaiterkencing dalam seluar.

Ceklah mencadangkan agar saya singgah di Kuala Terengganu dan saya akur.  Tengahari, kami sampai menaiki van merah penuh sejarah milik saya itu. Cek Lah belanja kami dan Kamal makan tengahari di Pantai Batu Buruk dan kemudiannya bawa berjalan-jalan melihat bandar Kuala Terengganu.  Walaupun akur dan ikut, hati saya sebenarnya dah sampai ke Bangi... mahu pulang secepat mungkin.

Sebagai buah tangan Ceklah belikan selonggok durian yang jika dimuatkan dalam but kereta sedan dah tentu tak muat.  Oleh sebab van merah saya sangat besar, bergolek-goleklah durian di dalamnya. Kami pulang pada petang berkenaan bagaikan membawa tempoyak.  Akhirnya saya pening dan tak lalu untuk memandu lagi dan terpaksa menginap di sebuah hotel di Kuantan pula.

Aalahai..durian punyai hal..kena keluar belanja sewa hotel pula lagi. Esoknya terpaksa cari kawan-kawan di Kuantan dan ‘huloq’ durian kepada mereka. Hanya beberapa biji yang terbaik sahaja yang dibawa pulang. Baupun tak seberapa jadi taklah peningpun.

Baru-baru ini, dalam perbualan telefon, Ceklah beritahu harga durian berkenaan hanyalah RM20 selonggok..saya hanya senyum dan tak mahu kerana malu nak beritahu beliau bahawa beberapa biji terpilih yang tidak kuat bau itu rupa-rupanya tak masak dan akhirnya tak boleh makan.  Mujurlah dah rasa di Kuantan.

Di sebalik memo panjang lebar daripada ZAM dan teguran-teguran daripada beliau dan juga Ceklah serta pelbagai pengalaman pahit yang dilalui dalam kempen pilihanraya berkenaan, saya telah belajar banyak perkara dan dapat menimba banyak ilmu. Pengalaman dan ilmu itulah menjadi modal untuk saya terus aktif dalam kancah politik dan sembilan tahun kemudian bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Hulu Langat. Kamal masih di Utusan dan tidak lama kemudian dia ikut aktif dalam UMNO sebagai salah seorang penggerak media di ibupejabat parti hingga sekarang.-14/2/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1211  tetamu dalam talian