13Disember2018

Mana Hiburan Rakyat 1 Malaysia....?

ikon-bad-200-latestApabila mendapat jemputan dari Istana Budaya untuk menyaksikan Konsert Pop Yeh-yeh pertengahan bulan lalu saya tak sabar-sabar lagi untuk hadir.  Sudah dua kali konsert yang sama diadakan di situ, tetapi kedua-dua kalinya saya tak dapat hadir kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.  Jadi, apabila konsert diadakan dari 20 hingga 22 Januari lalu, saya tak sabar-sabar lagi untuk hadir pada malam kedua.

Walaupun ketika para artis 1960-an menjulang nama masing-masing saya baharu  bersekolah rendah,  banyak sungguh lagu mereka yang saya boleh hafal sehingga sekarang. A. Ramlie dengan Oh Fatimah, A. Rahman Onn dengan Cincin Emas, A. Rahman Hassan dengan Tak Mengapa, Roziah Latif dengan Oh Abang dan sebagainya.

Pada tahun 1960-an, mana ada hiburan lain macam sekarang. Yang ada hanyalah ‘fun-fair’, wayang pacak dan kugiran di majlis-majlis perkahwinan.  Sama ada majlis raja sehari, wayang pacak atau fun-fair, artis-artis akan menjadi tarikan utama.  Kerana itulah para penyanyi dan kugiran  sentiasa laris dan mempunyai pengikut yang cukup ramai. Tahukah anda bahawa kugiran adalah singkatan kepada kumpulan gitar rancak..? Kugiran biasanya disertai lima orang sahaja iaitu pemain gitar utama,  kedua dan bass serta pemain drum di samping penyanyi.

Contohnya kugiran Jefriden yang bernama Siglap Five. Siglap nama tempat mereka di Singapura manakala Five menunjukkan mereka berlima.

Penyanyi-penyanyi yang tidak dikategorikan sebagai penyanyi poppun meriah juga. A. Kadir Jailani dan kugirannya The Brailles tetap mendapat tempat khususnya melalui lagu Desiran Ombak. The Brailles dianggotai pemuzik dan penyanyi buta.  Walaupun mata tidak dapat melihat, hati dan jiwa seni mereka tetap terang.

Dua tahun lalu, jiran saya, Dato’ Othman Desa telah menjemput A. Kadir membuat persembahan di satu majlis di rumahnya. Jelas, para hadirin terhibur. Saya minta beliau nyanyikan lagu Desiran Ombak dan penyanyi jalanan itu tidak keberatan.

Teringat juga kepada seorang lagi penyanyi yang cacat penglihatannya iaitu Allahyarham S. Jibeng.  Beliau sering menyanyi di pasar malam anjuran Gerakan Belia 4B di Seksyen 1 Bandar Baru Bangi.  Beliau membuat persembahan secara solo.  Walaupun beliau tidak mendaftar sebagai peserta pasar tersebut, kami selaku penganjur pasar malam berkenaan amat mengalu-alukan kehadirannya. Itu semua hanya tinggal kenangan dan setiap kali ke pasar itu kemudiannya saya amat merindui dendangan lagu-lagu S. Jibeng.

Berbalik kepada Konsert Pop Yeh-yeh dari 20 hingga 22 Januari lalu, saya harap Istana Budaya boleh menjadikan konsert itu sebagai konsert umum – maksudnya jangan hadkan kepada istana sahaja yang hanya disertai beberapa ratus orang yang mampu membayar harga tiket RM50 – RM350 seorang.

Saya ucapkan terima kasih kepada Dato’ Mohamed Juhari Shaarani, bos Istana Budaya dan juga seorang lagi sahabat, Dato’ Osman Mohamad, orang nombor 2 Utusan Melayu (serta wartawannya Muzlina Abu Bakar) yang mengaturkan jemputan. Dato’ Joe junior manakala Dato’ Osman rakan sekuliah semasa di UKM.

Kami amat terhibur dengan persembahan para artis pada malam berkenaan yang disegarkan lagi oleh Abon selaku pengacara majlis.  Abon yang muncul dengan empat buah Vespa tahun 1960-an berjaya mengembalikan nostalgia lama.  Celotehnya yang bersahaja tetapi padat amat mengusik perasaan dan tepukan yang diberikan oleh hadirian membuktikan kehebatannya.

Tatkala terhibur itu terlintas terus di fikiran saya – kalau kerajaan dah wujudkan Kedai Rakyat 1 Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1 Malaysia dan segala macam yang melibatkan 1 Malaysia, apa pula bentuk hiburan 1 Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mungkin boleh timbangkan cadangan ini.  Untuk ‘justify’ konsep 1 Malaysia, bolehlah diajak ikut serta penyanyi seperti Helen Velu, Andre Goh, V Sangravani (maaf ejaan dan masih adakah beliau?), DJ Dave (walaupun berada dalam era 70-an), Baba Kim Tek (?)dan sebagainya.

Mereka inilah yang menjadi penghibur sepanjang zaman di samping Tan Sri S.M Salim. Yusni Hamid  dan Julie Sudiro serta rakan-rakan lain. Selain berhibur dan mengembalikan nostalgia, langkah memberi ruang kepada artis-artis lama ini mungkin juga boleh dijadikan sebagai pentas membalas jasa-jasa mereka dalam perjuangan seni dan hiburan.

Al-maklumlah artis-artis lama ini tidak membina kekayaan melalui hasil dan titik-peluh mereka berseni, berbanding artis kini yang bukan sahaja boleh bina mahligai, tetapi juga boleh berbelanja jutaan ringgit untuk majlis perkahwinan mereka.

Jika dahulu Kementerian Penerangan cukup lama menggunakan khidmat Pentarama untuk menyampaikan pelbagai mesej kepada rakyat melalui pentas hiburan, mungkin Hiburan Rakyat 1 Malaysia boleh menggunakan konsep dan kaedah yang sama.

Pada konsert Pop Yeh-yeh berkenaan, penyanyi muda yang baharu berusia 24 tahun A. Ruzaimi mengambil tempat Allahyarham A. Ramlie.  Datin Aziz Muhmad pula terpaksa dipimpin untuk ke pentas dan selepas menyampaikan lagu, berjuraian air matanya kerana terlalu terharu dengan sambutan orang ramai.

Ruzaimi boleh menggantikan A. Ramlie, tetapi Datok A. Rahman Hassan dan Datin Azizah yang mengabdikan diri dan hidup mereka menghibur orang ramai bukan mudah untuk dicari ganti kelak.  Oleh itu, kembalikanlah mereka dan rakan-rakan lain kepada rakyat kerana dari sanalah mereka bermula.

Kenapa artis 60-an wajar dijadikan hiburan rakyat..dan bukannya artis terkini?  Mereka merupakan artis yang berjiwa seni dan terikat kepada gelora, jiwa dan keperluan masyarakat.  Mereka amat berdisiplin dan setiap lagu membawa mesej yang baik menggunakan ayat dan perkataan yang manis, sempurna dan diterima ramai.

Mereka berpakaian sopan, berbudi bahasa dan terbukti boleh bertahan sehingga 50 tahun lamanya. Dan, kehadiran mereka masih diterima ramai – bukan sahaja oleh para veteran, tetapi juga anak-anak muda yang masih boleh menerima mereka.

Konsert Rakyat 1 Malaysia ini kelak juga boleh dijadikan sorotan sejarah seni tanahair di samping dijadikan ikutan artis-artis muda bagaimana bertahan lama. Jangan lupa juga dengan mantan jiran saya di Bungsar Park iaitu Dato’ Sharifah Aini..... - 6/2/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 354  tetamu dalam talian