17Oktober2018

Mahu ke mana selepas ini...?

ikon-bad-200-latestSetelah sekian banyak menulis mengenai pengalaman lalu sebagai wartawan dan ahli dewan, kali ini saya terpanggil pula untuk menulis mengenai hal-hal semasa. Sebagai wartawan, saya juga berkecimpung dalam politik dan apabila menjadi ahli dewan, saya bergelumang dalam arena itu.  Kini dalam era 'tak ketahuan' saya amat kurang berpolitik, tetapi kebelakangan ini, ada kawan-kawan yang mencari saya untuk sembang-sembang politik.

Walaupun tidak keberatan untuk sembang-sembang petang, awal-awal lagi saya ingatkan kawan-kawan berkenaan jangan sekali-kali heret saya ke kancah politik. Cukuplah! Ikrar diri harus diikuti kerana jika buat ikrar tetapi sendiri tak mahu ikut.. siapa lagi yang nak laksanakan ikar berkenaan.

Dua penggal bergelar YB sudah amat memadai dan itulah ikrar diri sendiri apabila diberi amanah dan tanggungjawab untuk memikul 'beban' sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat dari 1995 hingga 2004.  Tahun 2003 adalah tahun getir sebelum turun daripada tangga YB.  Getirnya bukan perit kerana politik tetapi tidak dapat memuaskan hati kawan-kawan apabila diberitahu "Saya tidak mahu bertanding lagi".  Walaupun sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Dr. Mohd. Khir Toyo dan beliau sendiri sudah memberi gambaran mengenainya, dua tiga orang tidak dapat menerima hakikat itu.

Seorang kawan rapat amat marah apabila saya sering menyatakan kena cari kawan lain kerana kononnya bapa angkatnya salah seorang rujukan Perdana Menteri ketika itu memberitahu "Nama YB masih ada..tapi dia je yang tolak." Kawan ini amat marah kerana saya tidak berminat lagi meneruskan kerjaya berkenaan.

Saya cuba memberi alasan bahawa nak jadi calon MP Hulu Langat memang dah tak ada peluang lagi kerana sudah berpindah kawasan ke Bahagian Serdang dan  kerusi itu dipegang pula oleh MCA. Kemungkinan ada peluang hanyalah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kawasan Bangi iaitu kawasan rumah sendiri.  Namun saya beri alasan dah janji dua penggal sahaja.

Seorang kawan yang lain jelas amat kecewa kerana mendakwa beliau telah bekerja amat keras untuk saya sehingga mengabaikan keluarganya. Apabila beliau bertanya apa yang didapati hasil pengorbanan itu.. saya menjawab mudah.."Kita yang berkorban hendaklah bersedia menjadi korban!"

Saya berani menyatakan demikian kerana sejak menjadi wartawan lagi, apabila berpolitik, saya sudah mengingatkan diri sendiri perihal korban, berkorban dan menjadi korban.

Selepas tidak bertanding dalam pilihanraya 2004, saya kembali menjadi pengundi biasa... dan kembali ke dunia kewartawanan bersama Agendadaily. Pada pilihanraya umum 2008 adalah keluar berkempen sikit-sikit membantu kawan-kawan yang bertanding. Rakan di Agendadaily, saudara Hanafiah Man diheret sekali untuk mendedahkan pengalaman-pengalamannya bersama-sama parti Keadilan.

Selepas PRU ke-12 dapat kembali hidup sebagai pengundi biasa...tetapi kebelakangan ini, tiba-tiba je terasa sesuatu yang luar biasa. Seorang rakan dari pejabat bahagian memberitahu saya semenjak dua menjak ini ramai yang bertanya nombor telefon dan alamat rumah saya. Saya hanya tersenyum mendengarnya dan memberitahu kembali bahawa sudah ada seorang dua yang sampai ke rumah.

Tiba-tiba je kawan-kawan mencari... yang gunakan pihak ketigapun ada juga. Orang nak jumpa...datanglah. Yang nak bersembang melalui telefon, silalah.  Yang saya sendiri ajak datangpun ada juga.  Yang saya ajak tu bukan apa-apa - hanya sekadar bertukar-tukar pandangan kerana merekapun dah buat persiapan kot-kot sangkut nama untuk bertanding kelak.

Bagaimanapun, kepada kawan-kawan berkenaan saya berkali-kali menegaskan: "Aku ni MP pencenlah... dah tak ada apa-apa lagi."

Seorang rakan yang junior sesekolah dahulu begitu yakin pula memintas: "Abang memang dah pencen  YBpun Yang Bersara...tapi kabel masih kuat...tentu boleh pakai bang..."  Saya hanya senyum meleret mendengar perbualannya.

Lawak lagi...kononnya yang datang jumpa saya hanya sekadar nak minta pandangan kerana beliau diberikan mandat untuk mencari penama-penama untuk dicalonkan.  Dia bukan sahaja mencari calon tetapi mencari kawasan-kawasan yang berpotensi.  Wah hebat sungguh kenalan ini.

Seseorang yang lain datang membawa khabar kononnya pasti namanya sudah diangkat ke pihak atasan untuk dibuat penilaian untuk bertanding. "Dah ok bang.. nama dah on..tunggu nasib ajelah,'' katanya penuh yakin. Waduhhh.. kalau lekatlah namanya nanti, letihlah nak membantunya kerana saya dah kenal sangat keluasan kawasan yang diidamkannya itu.

Satu lagi lawak tetapi yang sudah agak sering didengar adalah perihal tokoh-tokoh tertentu yang kurang kelayakan akademik tetapi bekerja keras untuk mendapatkan sekeping ijazah bagi memudahkan perjalanannya. Walaupun pada hakikatnya agak mudah untuk mendapatkan ijazah di negara sendiri, ramai yang memilih untuk 'melanjutkan pengajian' di seberang laut.

Ada juga yang 'tersasul' membawa pulang ijazah sarjana walaupun beliau tidak memiliki ijazah pertama. Pendek kata, belum ada B.A terus dapat M.A.  Lebih manis lagi ada yang terus dapat PhD (Doktor Falsafah) walaupun kelulusan tertingginya hanyalah Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia sahaja. Biarlah asalkan mereka bahagia.

Saya juga sempat jumpa tokoh-tokoh lama iaitu yang dah berkhidmat empat atau lima penggal sebagai wakil rakyat.  Ada yang menyatakan sudah tidak mahu lagi bertanding.  'Kita dah declare tah mahu lagi...biar orang lain pula. Siapapun boleh..tapi janganlah bawa calon helikopter (calon dari luar)," katanya.

"Betul saya dah kata tak nak dah...tetapi pengganti saya rujuklah dulu," ujarnya memberi pandangan.

Seorang yang lain pula kata; "No hal.  Itu hak PM untuk tentukan, tetapi pengganti saya mestilah yang bagus dan mesti boleh menang." Dalam hati, saya berkata sendirian, betul juga, kalau tak boleh menang, janganlah diganti...biarkan dia terus bertanding.

Ada juga tokoh tententu yang hendak dikitar semula untuk PRU-13 nanti. Menurut cerita dan analisis pihak-pihak tertentu, hanya dia sahaja yang berpotensi untuk menang jika dicalonkan, Khabarnya, kalau letak orang lain, pasti bungkus punya! Khabarnya pula, tokoh ini tidak berminat lagi untuk bertanding selepas dia disilapmatakan dalam PRU-12 yang lalu.

Nak dijadikan cerita, saya berjumpalah tokoh tersebut dan berkesempatan bersembang-sembang dengannya. Saya bertanya dengan terus terang sama ada dia masih berminat atau tidak.  Dengan senyum lebar, bersahaja dia menjawab: "Sudahlah tu.."

Tak puas hati dengan kenyataannya, saya terus korek lagi kenapa dia tidak mahu sedangkan orang lain berhempas pulas untuk dicalonkan Setelah sekian lama bersembang, kawan itu berterus-terang:

"Saya tak mahu banyak musuh.  Dulu saya hanya ada  kawan..ketika jadi YB... ada banyak lawan. Jadi cukuplah. Biarlah saya berkebun je..." katanya. jujur tetapi tetap mengukir senyuman.  Sayapun sambut senyuman dengan terus tertanya-tanya nak ke mana pula selepas ini. Agaknya macam rakan itu juga...saya nak pergi mengaillah...!.-8/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 542  tetamu dalam talian