15Disember2018

Lain dahulu lain sekarang, jangan jadi lebai malang...

ikon-bad-200-latestSeorang pengikut ruangan WADTK menelefon saya bertanya kenapa dah dua minggu berturut-turut catatan mengenai politik sahaja sedangkan awal-awal lagi dah kata jangan seret lagi ke kancah itu.

"Abang sendiri yang tulis... tapi dah dua kali tulis fasal calon yang nak bertanding sahaja..." begitu kata pembaca berkenaan yang saya agak-agak saya cam siapa dia.

Katanya, tulislah mengenai hal-hal lain. Katanya, sepanjang cuti sekolah yang panjang ini, tentu ada peristiwa menarik yang boleh dikongsi bersama.  Saya beritahu dia perihal pengalaman makan kenduri tersalah rumah dan juga perihal bunga telur yang semakin tidak mendapat tempat.

"Ha..tulislah lagi mengenai budaya majlis perkahwinan pula,'' ujarnya lagi.  Congak punya congak, memang ada beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama.

Pertamanya mengenai majlis kenduri itu sendiri. Sudah menjadi budaya baharu dalam kehidupan keluarga Melayu untuk mengadakan majlis di dewan atau hotel mengikut kemampuan masing-masing.  Kalau yang berwang, buat di hotel manakala yang biasa di  dewan-dewan besar.  Yang kurang kemampuan pula termasuk di kampung-kampung mahu buat di dewan orang ramai atau balairaya sahaja.

Dahulu, majlis perkahwinan diadakan di rumah ibubapa khususnya di kampung-kampung. Peredaran masa membuatkan ibubapa kini tinggal di rumah-rumah teres yang sempit atau di rumah pangsa yang padat.  Apa ada pilihan selain daripada bermajlis di dewan!

Dengan 'perpindahan' ini, banyak pula budaya lain yang turut berpindah. Dahulu ada majlis gotong-rotong sebelum, semasa dan selepas majlis.  Pada peringkat persiapan, orang kampung bergotong royong membuat pangkin atau tempat pinggan mangkuk.  Mereka juga bergotong royong membina bangsal atau memasang khemah.  Mencari kayu api untuk memasak juga dilakukan bersama.

Mereka juga bersama-sama membersihkan halaman rumah dan kemudiannya ada majlis 'mendudukkan orang'  iaitu mengatur kerja dan persiapan. Orang kampung juga menghulur beras, telur ayam, gula dan garam serta keperluan lain.  Malah, peralatan seperti pinggan mangkuk dan periuk belangapun dipinjamkan.

Semasa majlis kenduri, mereka memasak secara bergotong-royong yang dimulakan pada sebelah malam hari kenduri itu seperti memotong bawang dan diikuti pada pagi hari memotong daging atau ayam untuk dimasak.  Pada sebelah malam itu juga telur ayam direbus agar dapat disiapkan bunga telur sesegera mungkin.  Pada sebelah malam jugalah anak-anak dara akan bergotong royong membuat bunga rampai

Pada hari kenduri juga anak-anak muda di kampung berkumpul memberi khidmat tenaga masing-masing sebagai tukang hidang dan mengemas meja.  Ada pula yang mencuci pinggan mangkuk selain daripada yang bertugas membuat dan menghidang air minuman.

Itu semua dahulu....sekarang semuanya diserahkan kepada pihak katering.

Kebelakangan ini, ada kecenderungan baharu menggantikan telur ayam dengan telur itik yang masin sebagai buah tangan atau bunga telur.  Telurpun tak bertangkai atau berbunga lagi.  Sebaliknya diletakkan dalam beg sahaja. Dalam beg itupun ada rempeyek atau  kek.  Tidak kurang juga yang diisi dengan epal atau limau sunkist - 'goodies' yang tidak berkaitan langsung dengan budaya Melayu.

Untuk kanak-kanak pula disediakan gula-gula.  Yang dapat belon seperti majlis hari jadipun ada juga. Baru-baru ini ketika berkunjung ke rumah besan kerana menghadiri perkahwinan anak mereka, dua orang cucu yang dibawa mendapat hadiah yang istimewa iaitu cermin mata ala Pancasitara

Di kampung-kampung, mengikut tradisi lama, apabila selesai majlis kenduri, mereka akan bergotong royong sekali lagi iaitu membuka kemah atau bangsal serta mencuci peralatan yang sudah digunakan.  Pengantin lelaki dan perempuan akan 'turun tahta raja sehari' dan sama-sama berkemas termasuklah mencuci peralatan.

Inilah pengalaman sebenar yang dilihat di majlis besan berkenaan di FELDA Selanchar, Pahang baru-baru ini. Oleh kerana jarak agak jauh dan berlaku kesesakan lalulintas di lebuhraya, kami hanya sampai di rumah pengantin kira-kira jam 2,00 petang - ketika para tetamu semuanya sudah beredar.

Simempelaipun tak memakai pakaian pengantin lagi tetapi dah tukar 'uniform' biasa iaitu seluar panjang dan kemeja-T untuk sama-sama ahli keluarga dan jiran menyapu sampah, membersihkan kawasan dan peralatan.  Kalau gunakan khidmat katering... mana ada lagi budaya sebegini.

Oleh kerana tiba lewat dan mereka sudah berkemas, kami tetap bernasib baik kerana dihidangkan terus juadah istimewa yang dikhaskan untuk pengantin makan beradat.   Huh.. akhirnya kami yang datang tak ikut adat langsung... balun semacam je...macam makan kat rumah sendiri tak ada segan silupun.

Tambah nasi dua tiga kali buat tak perasan je... maklumlah dah tak ada tetamu lain.  Dah habis makan baharulah teringat lauk pengantin dah settled.. kalau pengantin atau ahli keluarga lain nak repeat... maaf ajelah.

Selepas makan, jiran sebelah rumah yang kebetulan pernah berjiran dengan kami di Bangi, jamu pula dengan durian kampung. Mana ada tetamu lain dapat layanan macam ni...?

Selalunya orang tiba lewat disebut 'lebai malang' tetapi kami cukup bertuah....

Semalam saya ke majlis kenduri juga. Sampai ke majlis dah jam 3.15 petang, tetapi jamuan masih terhidang dengan banyaknya.  Minggu lalu begitu juga, hampir pukul 4.00 petang baharu sampai kerana mendahulukan beberapa jemputan lain. Pun jamuan makan tengahari masih terhidang kerana jemputan sehingga jam 5.00 petang.

Kalau dah tak larat makan nasi, jangan sampai tak makan sebab sekarang turut dihidangkan bubur kacang dan cendol sebagai minuman. Di sesetengah kawasan,  tapai ubi atau pulutpun ada.

Itulah budaya bukan lazim sekarang, jemputan untuk menjamu selera dari seawal 11.00 pagi hingga ke 6.00 petang.  Apa nak kisah... bukan nak kena kemaspun... semua tu kerja pihak katering.

Di bandar-bandar mungkin sesuai buat macam tu,  Di kampung-kampung, pada pukul 5.00 atau 6.00 petang mungkin dah clear semuanya.  Jadi pandai-pandailah 'adjust' untuk sampai ke majlis-majlis berkenaan.

Semoga tidak sampai jadi lebai malang...-26/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 264  tetamu dalam talian