17November2018

Kalau sakit nanti….. duduklah di sini

Tanggal 15 Jun 2010 adalah satu tarikh yang tidak mungkin dapat saya lupakan dalam hidup ini. Anehnya, pada tarikh tersebut saya tidak mengetahui apa yang terjadi kepada diri sendiri. Ia hanya menjadi tarikh bersejarah berdasarkan cerita yang disampaikan oleh ahli-ahli keluarga.

 

Bermula pada tarikh tersebut sehinggalah 28 Ogos 2010 saya hanya ‘tergolek’ di katil di hospital dan catatan ini serta beberapa siri akan datang adalah rentetan peristiwa yang dilalui yang banyak memberi kesan kepada hidup dan kehidupan saya. Saya catatkan di sini kerana mahu berkongsi beberapa pengalaman dengan para pembaca mengenai erti hidup dan kehidupan, sahabat dan persahabatan, kasih dan kasihan serta sokong dan sokongan.

Pada tahun 1988 saya telah menubuhkan Unit Jabatan Pertahanan Awam (ketika itu dipanggil JPA3, tetapi kini dikenali sebagai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) bagi unit Hulu Langat dengan keanggotan 66 orang, kebanyakan anggotanya diambil dari kilang-kilang sebagai sukarelawan. Hari ini hanya 16 orang yang bersemangat kental dan waja yang kekal dalam unit berkenaan. Bagaimanapun pengambilan anggota baharu tiga tahun kebelakangan ini memenuhi kembali anggota untuk satu platun.

Dengan berbekalkan sebuah ambulans usang iaitu sebuah van Mazda E2200 model 1982 enam roda, di antara tugas kami ialah memberikan perkhidmatan kecemasan menghantar pesakit ke hospital atau klinik kerajaan yang berdekatan.

Tidak disangka sama sekali, pada 15 Jun berkenaan, sebagai pegawai di Unit berkenaan ambulans JPAM telah membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera. Cuma, ambulans kami kini adalah model Toyota terkini yang canggih dan amat selesa. Saya dimasukkan ke wad kecemasan kerana ketika itu sudah tidak sedarkan diri. Anak-anak yang memanggil ambulans dan anggota-anggota yang semuanya adalah kawan menghantar saya ke hospital.

Dari wad kecemasan saya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua hari setengah saya di situ, tetapi saya masih belum sedarkan diri. Saya hanya sedar iaitu dalam keadaan ‘mamai’ pada hari kelima. Itupun belum dapat kenal semua orang termassuk ahli-ahli keluarga yang sentiasa mengerumuni saya.

Mula-mula dimasukkan ke wad 7 kerana perlukan rawatan rapi daripada para doktor dan apabila sedar sepenuhnya barulah saya direhatkan di Wad 8B. Di wad inilah saya membuat beberapa pemerhatian dan kemudiannya membuat catatan ini.

Pemerhatian pertama saya ialah betapa hebatnya hospital ini yang dilengkapi dengan pelbagai perlatan dan kemudahan moden, canggih dan terkini. Walaupun hospital ini bukanlah asing bagi saya kerana ini adalah kali ketiga saya dirawat di hospital berkenaan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, kali inilah saya membuat banyak pemerhatian.

Sebagai wartawan ‘otai’ memang banyaklah pemerhatian yang dilakukan di wad itu – termasuklah pengendalinya atau kakitangan yang bertugas. Mereka bekerja dalam tiga syif –pertama mulai 7.00 pagi hingga 2.00 petang disaambung dengan syif kedua sehingga jam 9.00 malam dan seterusnya syif ketiga sehingga 7.00 pagi. Mereka dalam syif ketiga waktu kerjanya lebih panjang iaitu 10 jam tetapi pada waktu malam, kerja tidak terlalu mendesak.

Walaupun duduk di hospital di pinggir dua buah wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya, terasa macam berada di hospital di Kota Baharu, Kelantan. Dahlah jururawatnya montel dan ‘come belako’, nama pula banyak yang bermula dengan Siti… sesuai dengan nama negerinya Cik Siti Wan Kembang.

Suatu hari, dalam ziarahnya, seorang kenalan rapat bernama Tarmizi, yang agak terkejut melihat penyeri-penyeri wadb bertanya kepada saya, “Abang rajin betul masuk hospital ni sebab jururawatnya ke…? Saya lantas menjawab : “Sahabat, bulan Ramadhan ini jaga-jaga sikit… dah jadi isteri orang semuanya…”

Kami ketawa mendengar perbualan sendiri.

“Kalau sahabat sakit nanti, mintalah majikan hantar ke sini,’’ kata saya kepada rakan berkenaan dan kami ketawa lagi.

Menurut ahli keluarga yang setia mengiringi, tatkala belum sedar sepenuhnya, saya telah bertindak di luar kawalan termasuk menarik dan mencarik-carikkan wayar, tiub dan segala peralatan kecemasan dan sokongan yang dipasang pada badan sehingga menyebabkan ada anggota yang terluka dan mengeluarkan darah.

Sebagai jalan keluar, diceritakan saya terpaksa diikat ke besi katil dan dihantar sekali lagi ke ICU untuk rawatan semula.

Lama juga saya memikirkan apakah punca kejadian dan sakiit sedemikian sehingga saya boleh menjadi bagaikan hilang pertimbangan? Seingat saya, saya mulai terasa demam pada jam 4.00 petang ketika membuat liputan sidang rakyat di bangunan Parlimen. Tiba-tiba sahaja saya rasa sejuk dan menggigil sedangkan rakan-rakan yang lain macam biasa sahaja malah, bos saya Rosli Ismail tidak memakai kot walaupun mengenakan talileher ketika itu.

Tidak ramai yang perasaan mengenai keadaan saya yang sedang menggigil kuat di satu sudut di ruang rehat bangunan tersebut, tetapi sejam kemudian, Rosli mengarahkan saya segera pulang dan berjumpa doktor. Kata Rosli, jika tidak boleh pandu kereta “panggil mai bini hang. Bagi dia drive. Kalau teruk sangat, naik teksi ‘’. Bersungguh-sungguh benar Rosli menyuruh saya balik segera kerana hanya dia yang sedar betapa buruknya keadaan saya ketika itu sedangkan saya sendiri tidak mengetahui apa puncanya.

Dengan langkah yang longlai saya segera meninggalkan bangunan Parlimen untuk mengambil isteri di pejabat dan kemudiannya terus balik ke rumah. Dengan hati yang degil, saya terus memandu pulang walaupun isteri menawarkan diri untuk memandu. Saya tolak pelawaannya kerana sebelum ini beliau ada memberitahu beliau kekok memandu kerana kakinya tidak sampai ke pedal minyak pacuan empat roda yang baharu sahaja beberapa hari dibeli itu.

Di dalam kereta saya menoleh melihat botol air berkarbonat dengan berkata di dalam hati: Inikah puncanya …….hati tertanya-tanya kerana tiga jam sebelumnya saya minum air berkenaan walaupun saya tidak membelinya. Saya mengagak tentulah anak sendiri yang beli dan minum sedikit sahaja. Daripada membazair… baik saya habiskan.

Saya terus memandu, tetapi tidak menghala ke rumah, sebaliknya pergi ke klinik yang sering dikunjungi. Sampai di sana, hajat tak kesampaian – muntah, buang air kecil dan besar. Habis…… akhirnya terus pulang ke rumah dengan niat pergi kembali selepas menukar pakaian yang basah dan kotor.

Sampai di rumah lain ceritanya, terus cirit-birit, muntah kayak dan sebagainya. Esok bangun tidur begitu juga…..sehinggalah anak membuat keputusan memanggil ambulans menghantar saya ke Hospital Serdang.

Nak tau bil hospital lebih dua bulan jalani rawatan. Jika di hospital swasta, boleh beli sebuah rumah teres dua tingkat.Nasib baik ada kad bekas MP yang dikeluarkan oleh kerajaan – penyelamat yang melangsai semuanya.

Jika tidak jawabnya….bertambah ‘sakitlah’.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 984  tetamu dalam talian