17November2018

Dahulu saya interbiu ZAM, kini dia temuramah saya

Bersama-sama mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan isteri (kanan) serta rakan-rakan Ahli Parllimen selepas satu majlis di Istana Selangor, Klang

Hari kelima baru sedar dan dapat mengenal orang. Namun entah macam mana, rasa macam tak nampak, tetapi anak-anak kata, sianu dan sianu ada datang. Begitulah keadaannya. Menurut anak lagi, saya bersembang-sembang dengan seorang abang, tetapi tidak lama selepas abang itu meninggalkan wad, saya bertanya kenapa dia tidak datang ziarah.

 

Begitu juga dengan jiran-jiran dan rakan-rakan yang berziarah, saya dapat cam seorang sahaja…yang lain macam ada dengar suara, tetapi macam tak perasaan juga. Anak bongsu yang selalu mengikut saya sejak tiga tahun kebelakangan ini, iaitu sejak sering sakit-sakit, menghantar SMS kepada rakan-rakan memberitahu tentang diri saya.

Dia hantar SMS berdasarkan nombor talian yang tersimpan dalam telefon bimbit. Tanpa diketahui, hanya berdasarkan nombor dalam simpanan itu beliau turut menghantar kepada Ali Rustam. Anak saya hanya menyedari siapa Ali Rustam itu apabila menunjukkan kepada saya Ketua Menteri Melaka itu menjawab SMS berkenaan: “Terima kasih sdr. Saya doakan bapa sdr segera sembuh. Sampaikan salam saya kepadanya.”

Saya sendiri mengirim SMS kepada sahabat kontan iaitu Rosle Azmi di Utusan Melayu. Anak utara ini dikenali sejak tahun 1984 lagi iaitu ketika saya mula-mula menyertai syarikat akhbar tersebut . Ketika itu Rosle adalah pengendali mesin teleks di Jabatan Pengarang. Kini, setelah ‘merantau’ ke beberapa jabatan lain dalam tempoh 20 tahun, beliau kembali ke jabatan pengarang sebagai ekskutif kanan.

Rosle adalah penghubung bagi saya dengan Utusan dan rakan-rakan yang lain. Beliaulah yang menyebarkan maklumat mengenai keuzuran saya kepada rakan-rakan di Utusan termasuk Ketua Pengarang Datuk Aziz Ishak dan timbalannya Othman Mohamad yang kemudiannya turut datang berziarah. Begitu juga dengan Penolong Ketua Pengarang, Datuk Zaini Hassan.

Datuk Aziz sama-sama menyertai Utusan pada tahun 1984 dan Othman adalah rakan seperjuangan di UKM dari tahun 1979 hingga 1983 manakala Zaini junior menyertai Utusan ketika saya menjadi pemangku ketua pemberita .

Rosle juga menghubungi rakan-rakan lain yang telah meninggalkan Utusan termasuklah Abdullah Hassan dan Rashid Ahmad. Saudara Abdullah, yang kami panggil Cik Lah atau yang lebih senior memanggilnya Dollah sahaja terperanjat melihat keadaan saya yang ketika itu hanya terbaring. Tak sangka betul dia bersusah payah datang.

Melihatkan saya tidak berselera makan, Cik Lah berjanji akan datang lagi esoknya untuk membawa nasi beriani yang terbaik dari Subang Jaya. Saya katakan kepadanya: “Saya tak beranilah Cik Lah. Terima kasih banyak. Dulu lainlah, apapun saya tak takut.”

Cik Lah tak puashati, dua hari kemudian dia muncul lagi. Kali ini dia bawa dua kotak nasi ayam special dari Subang Jaya. Selepas celoteh sebentar dia pulang. Sambil bersalam dia memeluk saya dan seraya mendoakan saya segera sembuh. Berlinangan airmata. Manakan tidak. Semasa kerja dulu sebagai ketua penyunting, beliau selalu ‘ligan’ saya kerana hari sudah senja tetapi bahan berita masih tak cukup lagi.

“ Bad…… apa lambat sangat ni, kilang dah nak jalan,’’ terdengar-dengar suaranya meminta saya menyegerakan menyemak berita. Selepas semak, ditapis lagi oleh Rosli Ismail selaku pemangku Pengarang berita. Selepas itu baharulah sampai ke tangan Cik Lah.

Bersama rakan-rakan AJK Pemuda UMNO Sepang ketika berehat di lapangang terbang Polonia Indonesia sebelum pulang ke tanahair.

Walaupun Nasi Ayam yang dibawa khas itu spesial, akhirnya anak bongsu juga yang menghabiskannya kerana selera makan memang sudah kurang, hinggalah ke hari ini.

Rashid, lebih dikenali sebagai Rasbina yang datang bersama isterinya pula membawa satu tin biskut kurang garam dan kolesterol yang sampai sekarang saya belum berupaya menghabiskannya.

Salah seorang di antara pengunjung awal menziarah saya ialah Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Menteri Penerangan dan mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu. Beliau hadir ketika saya masih belum boleh bertutur dengan baik, jadi perbualan kami ketika itu tidaklah begitu lama. Bagaimanapun beliau sempat membantu mengusung saya dari kerusi roda naik ke atas katil.

Tahun lalu, ketika bermastautin di hospital yang sama dan wad yang sama tetapi berlainan bilik, Tan Sri yang lebih dikenali sebagi ZAM juga datang berziarah. Waktu itu memang cukup lama kerana beliau datang dengan serampang dua mata atau minum sambil menyelam.

Ketika itu saya ditahan di wad kerana sengaja mencari penyakit. Pulang dari rumah anak di Semenyih, saya terjumpa orang menjual durian. Harga durian sangat murah dan bersama isteri serta anak, kami makan enam biji di tepi jalan itu. Saya membeli 12 biji lagi untuk dibawa pulang. Dimakan pada sebelah malam dan baki keesokannya. Lusa dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

ZAM ketika itu sedang menyiapkan catatannya mengenai Konsert Sudirman 1984 di UKM yang menimbulkan kekecohan di kalangan pelajar ekstremis yang didalangi sebuah parti pembangkang. ZAM menghabiskan masa kira-kira dua jam bersama saya di wad berkenaan.

Walaupun ZAM punyai keratan akhbar mengenai isu tersebut wartawan otai dan serbaboleh itu berkata beliau mahu mendapatkan latar belakang daripada saya kerana hampir keseluruhan berita yang dihasilkan, saya yang menulisnya. Semasa konsert berlangsung saya juga terlibat membuat liputan selain daripada Muzlina Abu Bakar, Mohd. Nor A. Samad dan lain-lain.

ZAM menunjukkan kenangannya bersama Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Pada ketika itu saya baru sahaja berhenti daripada berkhidmat di UKM. Walaupun amat berminat untuk berkhidmat di menara gading itu, saya naik angin kerana pentadbiran universiti tidak mahu memberi saya peluang untuk menjawat jawatan tetap semata-mata kerana tidak meneruskan pengajian sarjana muda ke peringkat kepujian. Itulah yang saya ‘angin satu badan’ kerana UKM membenarkan pelajarnya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Am tetapi enggan mengambil siswazahnya untuk mengisi kekosongan jawatan. Yang peliknya, pentadbir tertinggi ketika itupun tiada kepujian juga.

Oleh itu apabila ditawarkan ke Utusan Melayu, saya terus lompat dan tidak toleh lagi ke belakang termasuklah tidak mengambil gaji terakhir.

Zam ingin tahu apa yang terjadi sebelum konsert dan pada malam konsert berlangsung. Saya menceritakan segala yang saya ingat walaupun tidak semua yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia kemudiannya.

Di antara lain adalah perihal bagaimana rakan artawan dari Utusan, Mohd. Nor A. Samad ditahan oleh pihak pengawal keselamatan kerana memasuki kawasan kampus tidak mengikut pintu sewajarnya, sebaliknya ‘short-cut’ ikut padang yang tidak berpagar. Juga mengenai Ketua Jurugambar Syed Agil Syed Jaafar yang disumbat ke dalam lokap (Bililk Kebal) UKM selama empat jam.

Ketika ditahan, Syed Agil sempat melontarkan dua gulung filem yang merakam pelbagai aksi menarik mengenai rusuhan selepas solat Jumaat itu. Saya yang ketika itu sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi sempat mengambil filem tersebut. Esoknya empat keping gambar demonstrasi itu disiarkan – berbaloi dengan empat jam Syed Agil ditahan

Inilah yang menariknya. Jika dahulu saya interbiu ZAM, sampai masanya ZAM pula yang temuramah saya. Dunia sudah terbalik……

Bagaimanapun, janganlah sesekali nak lawan ZAM dalam bidang kewartawan. Saya sendiri awal-awal angkat tangan. Saya cuma ada dua tiga buah buku catatan ketika menjadi wartawan, itupun kebetulan tersimpan dalam beg atau laci. ZAM….lain, jangankan buku catatan, tiket bas Toong Fongpun dia simpan. Bas dan syarikat bas dah tak ada, tetapi tiketnya masih ada.

ZAM simpan gambar beliau interbiu Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970an, tetapi saya walaupun pernah bergambar dengan Tunku sempena harijadinya pada 1987, tak pernah simpan gambar berkenaan. Harap-harap filem yang dirakam oleh saudara Ayub Tahir itu ada dalam simpanan perpustakaan Utusan.

Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz ialah bekas Ahli Parlimen Hulu Langat,bekas wartawan Utusan dan kini Timbalan Ketua Pengarang Agendadaily.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1080  tetamu dalam talian