18Julai2018

Cuti-cuti dan cuit-cuit....

ikon-bad-200-latestBARU Bersempena cuti panjang hujung tahun lalu, walaupun sebagai pesara, cuti adalah sepanjang tahun, saya ambil kesempatan berkunjung ke Taman Pertanian Shah Alam. Ha ha..sebut namanya mungkin ada yang tanya kat mana pula...?  Di Shah Alamlah.. Asalnya dipanggil dengan nama Taman Pertanian Bukit Cerakah. Dah tu tukar ke Taman Pertanian Malaysia... Taman Pertanian Seri Alam dan apa-apa lagilah.

Pada hakikatnya, taman pertanian seluas 1295 ekar ini adalah sama konsepnya sejak dibuka dengan rasminya pada tahun 1986.  Ketika itu, Datuk Sanusi Junid adalah Menteri Pertanian. Dialah (kini Tan Sri) dan kementeriannya yang popularkan taman ini tetapi entah kenapa Bukit Cerakah tidak disukai hingga perlu tukar nama dua tiga kali!

Kali pertama ke situ semasa saya masih bergelar wartawan. Kalau tak silap..ketika itu boleh pandu kereta ke dalam.(Mungkin ketika itu ada kebenaran khas untuk para wartawan.. entahlah dah lupa).  Sekarang boleh kayuh basikal je. Bagi yang tak larat nak menapak, pihak pengurusan menyediakan beberapa buah bas midi yang menghantar dan mengambil para pelawat yang berkunjung ke situ.  Tambang masuk cukup murah iaitu RM3 seorang sahaja untuk dewasa dan RM1 untuk warga emas.

familydatobad500Dengan bayaran masuk RM3 itu boleh bersidai di situ dari jam 8.30 pagi hingga ke 6.00 petang. Boleh naik dan turun bas ikut suka hati.Sifat ingin tahu yang tersemat di dada dan jiwa wartawan masih membara. Ada sahaja yang nak diteliti dan komen. Dahulu, Sanusi Junid ada kata, apabila kebun buah-buahan mengeluarkan hasil, orang ramai yang mengunjungi berpeluang melihat dan menikmati keenakan hasilnya.

Oleh kerana kini musim buah, saya bertanya kepada petugas di sana di manakah dusun berkenaan dan adakah hasilnya boleh dinikmati.

Kata petugas berkenaan: "Dulu adalah Encik....sekarang ni... tak sempat.. buah belum masak... sang kera dah dahulu,"

"Tak ada yang jaga ke?'' saya membalas dengan pertanyaan. Petugas itu yang pastinya sudah lama di situ berdasarkan usianya sambil tersenyum memberitahu "Lebih kurang macam tulah."

Sayang sekali. Agaknya kalau Sanusi Junid kembali ke taman itu, tentu dia akan 'frust menonggeng' Sebuah keluarga besar yang berkunjung ke Bukit Cerakah

Ketika menaiki bas di taman berkenaan, saya lihat monyet memang agak banyak. Begitu juga tupai.. Memang itulah yang Sanusi mahukan dahulu supaya anak-anak bangsanya mengenali dan mendekati haiwan berkenaan serta menghargai alam sekitar.

Namun, menurut anak-anak buah dan cucu yang berkunjung ke taman haiwan di situ nak cari arnabpun tak ada...Dari dalam bas kami tiba-tiba tergelak apabila berselisih dengan sebuah kereta di dalam taman itu. Kami ketawa kerana terlihat beberapa ekor arnab dalam sangkar di dalam kereta berkenaan.

Seorang penumpang berkata, patutlah dalam sangkar di taman tak ada arnab sebab masih dalam kereta.

Pihak pengurusan eloklah minta pandangan para pengunjung. Dusun tu eloklah dipulihkan dan dipelihara. Biarlah monyet datang mencari rezeki, tetapi kawallah agar kedatangan binatang-binatang sedemikian boleh menjadi tontonan ramai.

Dusun tu..apabila dah dipulihkan.. boleh kenakan bayaran tertentu kepada pengunjung untuk 'melantak' di situ..tetapi pastikan tak boleh 'tapau' - strictly makan di situ sahaja. Kalau dahulu Sanusi tanam padi di situ, di dusun tu juga bolehlah tanam pokok ciku, keladi, keledek, mata kucing, rambai, pulasan, rumbia, gajus, asam keping (gelugor), bunga kantan, kundang dan sebagainya.

Jika di Melaka ada Mini Malaysia..di Bukit Cerakah ini patut juga ada segala haiwan dan tanaman yang terdapat di negara ini. Harimau dan gajah tak perlulah...sebab kalau itupun ada, nanti rosaklah program zoo-zoo yang ada di seluruh negara.

Kerusi dan meja yang lapuk dan rosak, juga elok dibaiki dan dijaga kebersihannya. Terlalu banyak yang rosak dan yang tak rosak pula sangat kotor. Begitu juga dengan pondok dan bangunan tertentu yang usang dan dah roboh eloklah diperbaiki segera. Jangan sampai ada yang cedera di situ pula.

Seorang anak saudara memberitahu..."panggil Aduan Rakyat TV3 je pakcik,"

Saya tersenyum kerana jika Jafry Azman atau Karam Singh Valia berkunjung ke sana...banyak lagi yang boleh mereka bongkar..!

hutancherakahWalaupun pihak pengurusan ada menyediakan perkhidmatan sewa basikal, apa kata sediakan basikal berkuasa bateri pula?  Bukan apa.. namapun Bukit Cerakah... mana-manapun bukit.. jadi lebih banyak sorong basikal daripada mengayuhnya.  Kalau berkuasa bateri tu mungkin yang warga emaspun nak berbasikal juga kerana tentu tak puas meninjau dari dalam bas sahaja.

Sawah lalang yang menggantikan sawah padi, harus dipulihkan segera. Maklumlah berapa ramai rakyat negara ini yang tak tahu macam mana rupa pokok padi dan bagaimana ia ditanam. Kehidupan di sawah seperti kehadiran burung bangau, ikan sembilang, puyu dan haruan tentu menjadi tarikan kepada anak-anak bandar yang tidak pernah sampai ke sawah atau bendang.

Oleh kerana tidak mampu berjalan jauh, saya tak dapat pastikan samada terdapat pokok kacip fatimah dan tongkat ali di sana.  Mungkin ada banyak peminat kopi tongkat ali atau kacip fatimah tetapi bagaimanakah bentuk pokoknya. Pokok-pokok lain yang hanya terdapat di hutan-hutan tertentu juga patut disediakan di taman berkenaan.

Para peminat hanya mengetahui mengenai ikan laga apabila membelinya di akuarium tetapi tidak mengetahui di manakah tempat asalnya ikan berkenaan. Saya lihat, ada lopak-lopak tertentu yang sesuai untuk pembiakan ikan laga. Apa kata biakkan di situ dan bukannya di sangkar penyelidikan sahaja.

Belalah lebih banyak burung dalam sangkar di taman itu selain dua tiga ekor burung kakak tua sahaja. Mana burung serindit atau tanau,  macam mana rupa pipit haji atau pipit bonda.  Mungkin ada juga yang tercari-cari burung bebarau yang semakin pupus.

Di zoo, burung kakak tua memang ada dan menarik kerana ia boleh bertutur, tetapi tidak ramai yang tahu akan burung tiong juga boleh bertutur. Tiong yang mana...? Eloklah pihak pengurusan taman sediakan burung-burung berkenaan.

Kolam ikan nampaknya besar tetapi isinya belum tahu. Kalaulah di kolam-kolam itu dibela ikan-ikan tertentu, boleh diadakan jualan setiap hujung minggu. Sambil berkunjung, orangramai boleh mencari ikan air tawar yang enak. Mungkin boleh bawa ikan dari luar dengan syarat bukan ikan beku.. tetapi segar

Gerai makan yang bagaikan hidup segan mati tak mahu wajar juga dibenarkan menjual ikan bakar, sate arnab dan kambing selain daripada sate biasa. Disyorkan juga gerai menjual kuih-kuih Malaysia dan makanan tradisional yang ada kaitan dengan alam dan flora.

Cuti memang menarik..tetapi cuit sangat pahit-5/1/2012

kerusiburuk

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 473  tetamu dalam talian