02September2014

BBCC himbau kenangan lama di Pudu Jail

banduanpudu1
ikon-bad-200-latest
BARU Kalut mengenai kemajuan membangunkan Pusat Perdagangan Bukit Bintang (BBCC) yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA) mengembalikan kenangan saya kepada kes penawanan dua orang pegawai Universiti Kebangsaan Malaysia di Penjara Pudu pada tahun 1986.

Kes penawanan Dr. Radzi Jaafar dan Encik Abdul Aziz Majid (kedua-duanya kini Allahyarham) yang diketuai Jimmy Chua, bekas inspektor polis di Singapura bersama lima lagi rakannya itu juga menghimbau kenangan bersama rakan-rakan wartawan termasuk yang telah meninggal dunia.

Saya menyertai Kumpulan Utusan Melayu sebagai pemberita kadet pada Februari 1984 setelah 15 bulan berkhidmat dengan UKM secara kontrak. Walaupun kedua-dua tawanan mungkin tidak mengenali saya, sebagai orang media yang berkhidmat dengan UKM, saya mengenali mereka. Kes penawanan oleh banduan itu berlaku tatkala saya baharu dua tahun sahaja berkhidmat di syarikat akhbar terkemuka itu. Apabila diarah membuat liputan kes berkenaan pada Oktober 1986, saya terasa memikul tanggungjawab yang besar. Maklumlah baru setahun 'bebas' daripada gelaran kadet tiba-tiba berpeluang membuat liputan yang besar.

Sejak menyertai Utusan, adalah menjadi 'taboo' atau larangan yang tidak tertera dalam sekim perkhidmatan agar para pemberita bergelar kadet tidak dibenarkan mendapat 'by-line' atau namanya sebagai pelapor tidak akan tersiar walau bagaimana hebat atau eksklusif sekalipun kerja tangannya.

Bagi kadet berijazah, tempuhnya adalah setahun manakala yang di bawah kelulusan itu, lebih lama lagi 'edah'nya.

Peristiwa penawanan selama enam hari itu menjadi tajuk utama semua akhbar dan radio serta tv. Laporan dihasilkan 24 jam sehari dan bagi radio dan tv, laporan dari masa ke masa dibuat, mengikut perkembangan terkini. Bagi media cetak pula 'dead- line' atau tempuh terakhir menerima laporan yang lazimnya pada pukul 11.00 malam dilewatkan sehingga ke pukul 2.00 pagi.

Ada pula kakitangan yang ditugaskan sebagai penghantar cepat untuk membekalkan akhbar ke lokasi liputan iaitu di bahagian depan bersebelahan pintu utama Penjara Pudu. Apabila akhbar Utusan Malaysia tiba, bukan sahaja kami yang teruja, rakan-rakan media lain juga sibuk membaca laporan kami kerana ingin tahu apa kelebihan kami dan apa pula yang kurang. Apabila akhbar lain sampai, khususnya Berita Harian, kami dari Utusanpun sibuk juga meninjau-ninjau apa yang 'missed' atau kena 'scooped'.

Maklumlah.. dulu, kini dan mungkin selama-lamanya, Utusan Malaysia dan Berita Harian menjadi pesaing utama sesama sendiri. Begitu juga dengan The New Straits Times dan The Star - akhbar berbahasa Inggeris yang saling berlumba-lumba.

Letih bekerja seharian terasa terubat dan berbaloi melihat byline terpampang di akhbar masing-masing. Bagi yang sudah lama berkhidmat, mungkin tidak terasa apa-apa, tetapi bagi kami yang baru terlepas 'edah' dan ada juga yang masih berpantang, byline menjadi penghibur! Mungkin ada yang ketawa membaca catatan ini, tetapi inilah hakikat kehausan yang kami lalui ketika itu'.  Ketua Pengarang Utusan ketika itu, Encik (kini Tan Sri ) Zainuddin Maidin sangat 'kedekut' memberi byline. Jika ada yang terlepas sedangkan masih bergelar kadet, alamat kena marahlah Ketua Penyunting Encik (kemudiannya Datuk) Sirajuddin Rafia. Kasihan saudara Siraj (Allahyarham)... dia beri byline tapi dia kena tempelak. Al-Fatihah untuk arwah Siraj.
"Taboo' yang dikenakan oleh Zam, akhirnya menyebabkan kami mencari cara lain untuk cari byline iaitu dengan membuat rencana pelbagai tajuk. Kalau setakat buat analisis berita dapat byline "oleh wartawan Utusan" sahaja. Inilah didikan keras Zam yang berjaya menghasilkan banyak wartawan serba boleh
 
.Oleh kerana ketika itu, wartawan tidak ramai dan 'stand-by' terpaksa dibuat 24 jam, maka kebanyakan kami diarah bertugas 12 jam sehari. Ini bermakna ada masukkkkk sebab kerja lebih masa. Mungkin jumlah habuan tidak besar, tetapi dengan segulung ijazah ketika itu baru dapat kira-kira RM800 sebulan, bayangkan pula yang masuk dengan SPM sahaja lagilah ciput.

Ciput atau sebaliknya bukan persoalan utama. Yang utama adalah keseronokan menghasilkan laporan terkini.. Kerana itulah, ada di kalangan kami yang memilih untuk tidak pulang ke rumah, sebaliknya bermalam di sebelah luar tembok penjara tersebut. Saya sendiri hanya pulang ke rumah pada tengah malam hari kejadian. Bukan untuk tidur bersama isteri atau anak-anak yang masih kecil, sebaliknya untuk mengambil pakaian dan kelengkapan secukupnya.

Selesai menjamah sedikit makanan dan berkemas pakaian serta kelengkapan lain.. tentulah cium anak dan isteri. Kemudiannya memandu van merah kembali ke Penjara Pudu. Kedatangan saya amat ditunggu-tunggu oleh beberapa orang rakan yang tidak balik ke rumah. Yang saya ingat sangat, saudara Kamaruzaman Mohamad dan M. Nor A. Samad. Ada sebab kenapa van merah saya amat ditunggu-tunggu.

Rakan-rakan rapat amat mengetahui bahawa dalam van merah itu ada tilam setelah lapan inci iaitu tilam dari katil di rumah yang dipindahkan ke dalam van. Dengan saiz van yang besar, tiga orang boleh berbaring di dalamnya. Oleh kerana van baharu sahaja dibeli, pendingin udara memberikan keselesaan. Di dalam van itu juga ada tv kecil bersaiz 5.5 inci -- dapatlah mengikuti perkembangan semasa dengan baik

Pada waktu malam, van merah menjadi rumah bergerak manakala pada siang hari pula apabila tilam tebal dibengkokkan ke tempat duduk belakang, van yang sama menjadi pejabat, tempat kami duduk dan juga menghasilkan berita..

Pada sebelah pagi adalah menjadi tugas tidak rasmi van merah untuk ke kawasan sekitar Pudu Raya - bukan untuk menghantar penumpang menaiki bas ekspres tetapi mencari sarapan pagi. Pergi dua orang sahaja, saya memandu manakala seorang lagi rakan ditugaskan membeli sarapan pagi. Begitu juga dengan waktu tengahari. Namun selalunya untuk mencari nasi bungkus tengahari, rakan lain menaiki motosikal pula mengambil giliran kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas dan masalah untuk meletakkan kereta.

Namun pada pagi-pagi hari, van merah ada tugas yang lebih penting iaitu membawa sehingga 10 orang ke Hotel Holiday Inn On The Park atau Hotel Equatorial yang terletak kira-kira satu kilometer sahaja dari Penjara Pudu. Kami ke sana untuk mandi dan cuci badan. Tidur tak sempurna tetapi mandi pagi 'ada class' di hotel terkemuka. Nasib baiklah pihak pengurusan tidak dapat menghidu taktik kami, jika tidak dah tentu kena hambat punya...!

Bayangkanlah, di tepi tembok penjara itu tak ada apa-apa kemudahan langsung. Jadi ada kesempatan di hotel, kami cuci dan buang segala apa yang patut di situ. Tak disangka-sangka 10 tahun kemudian saya menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah hotel berkenaan. Dunia punya hal.... Kalaulah ada kes seumpama itu....saya sediakan sebuah bilik untuk kemudahan rakan-rakan wartawan. Tak perlu 'curi-curi lagi sepertimana kami lakukan pada Oktober 1986!

.Pada suatu hari, kira-kira jam 2.00 pagi berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan van di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Imbi. Saya ketika itu berdiri di tepi van merah kerana 'standby' malam. Riuh mendengar dentuman dan rakan-rakan yang tertidur lantas bangun. Jurukamera RTM, Salim, kalau tak silap namanya, terus mencapai kamera seraya berkata, "teruk ke....?" Jurugambar Utusan Zainal Abidin (di manalah saudara saya ini sekarang) terus menjawab,, "Teruk 0oo... satu mati satu putus..."

."Betul, aku dah tengok tadi... enjin kereta mati manakala selipar pemandunya putus..." selamba je dia menjawab sambil meluru ke lokasi kejadian. Salimpun ikut serta.

Macam-macam juga khabar yang kami dengar mengenai usaha menyelamatkan para tebusan, tetapi ketika itu tidak boleh dilaporkan. Kononnya, ada pegawai polis telah ke pejabat-pejabat akhbar untuk membuat kad pengenalan wartawan dan mempelajari selok-belok kerja wartawan. Dikhabarkan, mereka iaitu dari Unit Tindakan Khas (UTK) membuat persiapan untuk masuk ke klinik penjara di mana Jimmy Chua dan rakan-rakannya sedang menawan dua tebusan.

Bagi sebahagian daripada kami, walaupun tidak pernah memasuki Penjara Pudu, kami dapat membayangkan apa yang terjadi di dalamnya. Kami yang sering ke Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang terletak di atas bukit di seberang jalan menghadap penjara itu sering melihat kehidupan di dalamnya. Dari tingkat sembilan bangunan IPK, tempat kami menunggu sidang akhbar diadakan oleh pegawai polis, kami dapat melihat dengan jelas keadaan di dalam penjara itu. Kami saksikan para banduan beratur, mengemas dan menjalankan pelbagai tugasan harian masing-masing. Pendek kata, jika dibenarkan masuk, kami tidak kekok berada di dalam penjara itu.

Bagaimanapun, sejak berlaku kes penawanan itu, para wartawan tidak lagi dibenarkan naik ke bangunan IPK. Tunggu di bawah sahaja. Walaupun sebahagian daripada kami pernah mengambil gambar Penjara Pudu, kami memberikan kerjasama terbaik kepada pihak polis untuk tidak menyiarkan gambar-gambar yang pernah dirakam itu.

Namun, ada juga gambaran grafik yang dipaparkan dalam akhbar-akhbar untuk mengiringi laporan-laporan bertulis.

Sepanjang enam hari peristiwa berlaku, pegawai kanan polis iaitu Datuk Zaman Khan yang amat-amat mesra media tidak kelihatan. Yang selalu memberikan kenyataan akhbar adalah Ketua Polis sendiri, Tun Haniff Omar ataupun Ketua Pengarah Penjara, Datuk Ibrahim Mohamad. Datuk Zaman hanya muncul pada hari terakhir pada 22 Oktober iaitu untuk mengumumkan kes penawanan telah selesai dan setiap wartawan tertanya-tanya bilakah beliau masuk ke dalam penjara itu. Baru-baru ini, dalam laporan khas Utusan Malaysia, Datuk Zaman memberitahu beliau memasuki Penjara Pudu seawal hari pertama lagi dalam kenderaan gelap bersama-sama Tun Haniff.

Sudah ditakdirkan agaknya, walaupun Datuk Zaman terus mendaki tangga kedudukan dan pangkat di Bukit Aman, beliau akhirnya dipindahkan ke Kajang sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia... Bagaimanapun, semua orang tahu, jiwa, pengorbanan dan sejarah Datuk Zaman Khan tetap terpahat di PDRM.

Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang kini 'dibelasah' oleh pelbagai pihak dalam proses memajukan BBCC mungkin tidak tahu-menahu mengenai isu penawanan ini kerana beliau ketika itu baharu berada di tingkatan empat  di sekolah dan kebetulan saya mengenali beliau setahun kemudian apabila sama-sama mengerjakan haji di Mekah.

Bangunan Penjara Pudu sudah tersembam ke bumi tetapi pelbagai kenangan, khususnya di kalangan para petugas dan banduan, ingatan pasti dibawa ke akhir hayat.-26/6/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1340  tetamu dan tiada rakan dalam talian