03September2014

Ustaz Nasha dan dilema PAS

nasha1xyy
Selepas pemecatan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali daripada PAS tahun lepas kerana memperjuangkan Islam, episod sama kini berulang dalam sejarah PAS dan politik Malaysia.

Nasharudin Mat Isa, yang merupakan bekas timbalan presiden PAS, dipecat keanggotaannya dalam Majlis Syura PAS Pusat pada 13 Jan lepas, atas alasan beliau kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan.

Hasan, yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat daripada PAS ketika masih memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor. Nasharudin, meskipun dipecat, keanggotaannya dalam PAS kekal.

Bagi pemerhati politik, seperti mana Hasan, Nasharudin juga dianggap 'duri dalam daging' oleh partinya sendiri yang menerima tekanan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memecatnya.

Pemerhati berpendapat pemecatan Nasharudin berikutan tindak tanduknya selama ini tidak mendatangkan keuntungan malah mencalarkan imej PAS mahupun pakatan pembangkang.

Persoalannya, apakah Nasharudin tidak berpeluang untuk membela diri dan apakah tidak ada tolak ansur lagi seperti dikenakan tindakan tatatertib jika orang kuat PAS itu sememangnya melanggar adab berjemaah?

Nasharudin mula tidak disenangi rakan separti, DAP dan PKR sejak tercetusnya idea muzakarah dan mewujudkan kerajaan perpaduan bersama Umno yang dipelopori Anggota Parlimen Bachok itu.

Kemunculan beliau, sebanyak dua kali, bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Makkah, Arab Saudi dan Gaza, Palestin baru-baru ini, selain kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke majlis perkahwinan anaknya pada Mei tahun lepas turut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin pakatan pembangkang.

Daripada sudut politik, pemerhati berpendapat kemunculan Nasharudin di Gaza baru-baru ini bersama Najib menyusahkan PAS dalam usaha parti itu memulihkan imej sebagai sebuah parti Islam untuk meraih sokongan rakyat sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

PAS sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi termasuk isu siapa yang bakal menjadi perdana menteri, kalimah Allah, doa kehancuran Umno dan Barisan Nasional, hukum hudud dan isu kedai gunting rambut.

Dalam sudut kemanusiaan, pemerhati berkata keputusan Nasharudin menyertai lawatan perdana menteri ke Gaza baru-baru ini mencerminkan sikap keterbukaan pemimpin itu yang sanggup mengetepikan ideologi politik semata-mata mahu membantu rakyat Palestin.

Prof Dr Ahmad Tarmizi Talib daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pemecatan Nasharudin daripada Majlis Syura tidak memberi kesan langsung kepada PAS namun memberi kesan besar kepada pengundi di luar parti khususnya atas pagar.

"Nasharudin bukanlah pemimpin yang terlibat dengan PAS daripada bawah dan pada saya, dia tidak ada sokongan daripada akar umbi. Cumanya daripada segi pengundi atas pagar, pemecatan Nasharudin dan sebelum ini Dr Hasan Ali banyak memberi kesan kepada mereka.

"Pengundi atas pagar ini, mereka akan melihat seolah-olah ada yang tidak kena di dalam PAS," kata Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia itu kepada Bernama.

Ada juga pandangan menyatakan tindakan memecat Nasharudin daripada Majlis Syura PAS sebenarnya sebagai satu langkah memperbetulkan kesilapan kesan daripada tindak-tanduk beliau selama ini.

Mengulas mengenai pandangan itu, penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata PAS sebenarnya telah terlewat untuk memecat anggota Parlimen Bachok itu dalam ketika parti sibuk bersiap sedia untuk 'berperang' dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ini akan memberi kesan terhadap komitmen ahli yang menyokong Nasharudin di samping pengaruh besar yang dimiliki bekas timbalan presiden itu untuk mengubah haluan penyokongnya," katanya.

Mengulas lanjut, pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata Nasharudin mempunyai peluang terbaik untuk mempengaruhi sokongan sekumpulan akar umbi dengan mengambil kesempatan kes pemecatannya daripada Majlis Syura PAS.

"Impaknya menjadi lebih besar jika Nasharudin memainkan isu beliau dipecat seperti mana yang dilakukan Dr Hasan Ali dan jika dia berdiam diri sahaja, maka tiadalah impak.

"Bezanya sekarang, Nasharudin masih lagi ahli manakala Hasan telah dipecat daripada PAS. Kepimpinan dia pada saya berjaya membuka pemikiran anggota akar umbi supaya lebih terbuka dan tidak berpolitik kepartian," katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik juga berpendapat bahawa disebabkan tarikan menawan Putrajaya itu amat kuat, seperti mana Hasan, Nasharudin juga dilihat menjadi penghalang bagi pakatan pembangkang merealisasikan cita-cita berkenaan.-14/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 590  tetamu dan tiada rakan dalam talian