23November2017

Usaha calar imej SPRM sudah dijangka...

Gerakan didalangi segelintir pihak yang sengaja ingin mencalari imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dijangka lebih awal.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketegasan agensi itu membongkar rasuah dan salah laku di setiap pelosok negara menyebabkan ada pihak yang 'panas' dan tidak 'senang duduk'.

Akibat tidak tahan dengan kemaraan SPRM, katanya, pihak berkenaan 'merangka serangan' memburukkan SPRM dan pegawai agensi penguat kuasa berkenaan.

"Ia tidak seharusnya melemahkan semangat SPRM memerangi rasuah kerana agensi ini menjalankan amanah menentang perilaku yang disifatkan musuh nombor satu negara.

"Semestinya ada pihak menjadi 'cacing kepanasan' apabila kita membuat kebaikan, justeru orang ramai tidak wajar dipengaruhi dakyah segelintir pihak yang cuba mencalarkan imej SPRM menggunakan pelbagai taktik.

"Kita tidak boleh biarkan SPRM berjuang bersendirian menentang rasuah kerana cabaran dan risiko yang mereka hadapi berupaya menggugat kehidupan serta mengancam nyawa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis sebelum ini mengesahkan menerima aduan mengenai seorang pegawai kanan SPRM yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang menerusi penyebaran klip video di YouTube.

Ia susulan laporan polis yang dibuat individu tertentu mengenai video skandal itu seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina.

Lam Thye menyifatkan taktik kotor itu turut bertujuan mengalih perhatian orang ramai daripada isu lebih besar, iaitu jenayah rasuah yang semakin menular di negara ini.

"Sudah tentulah pengorbanan yang mereka lakukan demi menjayakan operasi, termasuk meninggalkan keluarga dan bekerja lebih masa menjadi tidak berbaloi jika orang ramai enggan menghargainya.

"Jalan terbaik, berikan sokongan padu kepada SPRM dan mengambil sikap untuk tidak melayan helah kotor didalangi segelintir pihak di negara ini," katanya.-19/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 672  tetamu dalam talian