17Oktober2018

UMNO terus bawa rakyat Malaysia ke lembah kejayaan - Najib

UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab dan menjadi nakhoda yang membawa Melayu, Bumiputera, serta seluruh rakyat Malaysia dalam pelayaran menuju lembah kejayaan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Perdana Menteri berkata ini kerana perjuangan UMNO adalah perjuangan berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni demi agama, bangsa, dan negara.
 
"Menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke-71 ini, sama-sama kita hayati sejauh mana UMNO telah memimpin Melayu dan Bumiputera, dan secara langsungnya juga negara, ke arah kejayaan yang kita kecapi hari ini.
 
"Kesemua kejayaan ini adalah hasil perjuangan UMNO, atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala' tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli UMNO, dari setiap lapisan masyarakat, dari akar umbi ke pucuk kepimpinan," kata Najib menerusi catatan dalam blog najibrazak.com, Sabtu.
 
Beliau berkata bagi parti yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan dan memimpin bangsa dan negara ke arah kejayaan, usia 71 tahun masih boleh dianggap muda, baharu dan masih belia.
 
"Alhamdulillah, meskipun dalam usia muda ini, kita telah mencapai begitu banyak untuk Melayu, untuk Bumiputera, untuk Islam, dan untuk negara Malaysia.
 
"Kerana UMNO adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. UMNO adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu," kata Najib.
 
Dalam pada itu, Najib berkata semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009, pelbagai inisiatif telah Kerajaan Barisan Nasional laksanakan termasuk ada yang ditambah baik daripada kepimpinan terdahulu untuk terus memperkasa agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.
 
"Antara lain, hasil usaha berterusan kita menyaksikan pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 sewaktu saya mula memimpin, kepada RM6,267 tahun lalu, peningkatan hampir dua kali ganda.
 
"Manakala insiden kemiskinan Bumiputera juga berjaya kita turunkan, daripada 5.3 peratus pada tahun 2009, kepada 0.5 peratus tahun lalu," katanya.
 
Justeru, Najib berkata UMNO akan sentiasa memastikan Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing antara lain dalam pendidikan, pekerjaan dan pemilikan aset.
 
"Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan Bumiputera di Malaysia," katanya.
 
Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan berlangsung bermula 5 hingga 9 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini dengan 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan itu.-2/11/2017
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 412  tetamu dalam talian