17November2018

UMNO-BN harus ambil sikap berkecuali dalam pergolakan PH

UMNO-Barisan Nasional seharusnya tidak mencampuri sebarang pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) terutama melibatkan perebutan jawatan kerusi Perdana Menteri.

Walaupun polemik mengenai perebutan kerusi Perdana Menteri antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi rahsia, namun kepimpinan UMNO-BN perlu mengambil sikap berkecuali demi memberi tumpuan kepada pemerkasaan parti kita.

Malah kepimpinan UMNO-BN tidak seharusnya mengambil peduli terhadap pertembungan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, selain menyerahkan kepada akar umbi PKR untuk memilih pemimpin mereka.

Ketika ini, UMNO-BN perlu meletakkan sepenuhnya fokus untuk mengembalikan kepercayaan akar umbi terhadap kepimpinan dan hala tuju dalam usaha kita memperkasakan parti, disusuli gerak kerja dalam memastikan kebajikan rakyat terutama kalangan pendokong UMNO dibela.

Dalam lanskap politik mutakhir ini yang huru-hara akibat tindakan dan polisi kerajaan PH, UMNO-BN perlu mengambil peluang memulihkan kepercayaan rakyat dengan memberi penjelasan terhadap sebarang serangan yang ditujukan kepada kita, selain meneruskan usaha membantu golongan rakyat teraniaya berpunca dari dasar kerajaan yang tidak membela kebajikan rakyat terutamanya orang Melayu.

Sebagai pemimpin akar umbi UMNO, saya menasihati diri saya dan semua anggota parti agar tidak terpedaya dengan sebarang propaganda politik yang dimainkan kepimpinan PH termasuk menjadikan kepimpinan UMNO-BN dan kerajaan terdahulu sebagai kambing hitam bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan kegagalan pentadbiran kerajaan hari ini.

Kepimpinan dan akar umbi parti haruslah sentiasa bersatu dan memberi fokus terhadap matlamat utama penubuhan UMNO yang bertunjangkan kepada perjuangan membela nasib agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.-14/9/2018

Penulis merupakan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 527  tetamu dalam talian