02September2014

Tindakan sekat Xenophon wajar

nick-xenophon
Tiada apa yang pelik dengan tindakan Jabatan Imigresen melarang Senator Bebas Australia, Nick Xenophon, daripada memasuki negara ini ketika tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang kelmarin jika kita melihat rekod kehadiran beliau sebelum ini dan niat lawatan terbarunya itu.

Walaupun tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 8 (3) sebagai orang dilarang masuk mendapat publisiti negatif daripada media antarabangsa, ia bukanlah di luar amalan oleh mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Australia sendiri yang mendakwa kononnya juara demokrasi dan hak asasi manusia. Dalam kebanyakan kes, mereka tidak perlu memberi alasan konkrit apabila menahan kemasukan rakyat asing.

Sesiapa yang pernah ke Australia tentunya menyedari betapa ketatnya peraturan imigresen dan kastam di negara itu sehingga tanah terlekat di tapak kasut pun perlu dibersihkan, apa lagi jika pemergian ke sana bertujuan mencampuri urusan politik di negara itu. Persoalannya, apakah kita perlu orang luar untuk mengajar apa yang perlu dilakukan di negara ini.

Menurut Jabatan Imigresen, Xenophon, Senator Bebas yang juga peguam di Australia itu, dilarang masuk ke negara ini kerana melanggar peraturan dan undang-undang Malaysia ketika lawatan beliau sebelum ini. Bercanggah dengan laporan media asing dan laman web propembangkang, ahli politik itu tidak ditahan tetapi dilarang masuk serta dilayan dengan baik ketika menunggu penerbangan pulang ke Melbourne, malam kelmarin.

Hakikatnya, mana-mana negara pun akan menghalang kemasukan rakyat asing, sama ada secara nyata atau disyaki, cuba mencampuri urusan dalaman atau boleh memudaratkan ketenteraman awam di negara itu. Dalam kes Xenophon, tindakannya ketika datang ke sini dulu dan jadual lawatannya kali ini, jelas mahu mencampuri urusan politik negara.
Ketika melawat negara ini pada April tahun lalu, yang kononnya misi mencari fakta mengenai Malaysia, Xenophon menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka dan mengadu gas pemedih mata disembur ke arahnya. Beliau mendakwa cara polis mengendalikan perhimpunan itu membuktikan kerajaan Malaysia ialah kerajaan ‘autoritarian.’

Xenophon juga adalah antara 50 ahli Parlimen Australia yang mendesak supaya pertuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan pada Februari 2010 selain sering mengkritik sistem perundangan Malaysia termasuk menuduh sebuah jawatankuasa Parlimen sebagai mahkamah kangaru.

Beliau juga terkenal sebagai tokoh politik Australia yang lantang mengkritik industri minyak sawit Malaysia dengan mendakwa minyak sawit tidak baik untuk kesihatan serta menuduh industri sawit memusnahkan hutan tropika yang menjadi habitat orang utan.

Ekoran popularitinya semakin menurun di Australia, Xenophon dilaporkan akan menjadikan tuntutan supaya jualan minyak sawit dilarang di negara itu sebagai satu isu utama kempen beliau pada pilihan raya umum Australia akan datang. Seandainya, kempen itu mencapai matlamat, Malaysia yang banyak mengeksport minyak sawit ke Australia, akan menerima kesan langsung.

Berdasarkan tindak-tanduk Xenophon itu, Jabatan Imigresen sepatutnya sudah lama melarang kedatangan beliau ke negara ini. Dalam soal kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat, agensi penguat kuasa seharus tidak perlu takut atau malu untuk bertindak.

Kita harus melihat bagaimana Amerika Syarikat bertegas dengan kedatangan orang Islam ke negara itu selepas serangan pengganas 11 September walaupun dalam kebanyakan kes, ia jelas mencabul peraturan antarabangsa. Malah Rekod Australia berhubung larangan memasuki negara itu jauh lebih teruk daripada Malaysia walaupun segelintir rakyat negara ini menjadikannya sebagai destinasi penghijrahan mereka.

Pada 2005 misalnya, seorang mualaf dan pendakwah rakyat Britain, Abdur Raheem Green dilarang memasuki negara itu bagi memenuhi undangan berceramah di Pusat Islam Sydney. Ini kerana Imigresen Australia menganggap Abdur Raheem seorang radikal apabila pernah berucap bahawa orang Islam dan Barat tidak boleh hidup secara aman.

Tahun lalu, sarjan polis Metrolitan London, Peter Threlfall, yang mendapat tawaran bekerja dengan polis Australia, diberitahu keluarganya tidak boleh berhijrah ke negara itu. Sebabnya, anak tiri Threlfall, Sarah, 25, menghidap autistik, yang bakal membebankan perkhidmatan kesihatan dan masyarakat Australia.

Kepada rakyat negara ini yang berasakan tindakan imigresen melarang kemasukan ahli politik Australia itu kelmarin sebagai tidak demokratik dan melanggar susila kemanusiaan, selamat berhijrah ke ‘Down Under’.-19/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1377  tetamu dan tiada rakan dalam talian