25September2017

Tiada jalan mudah untuk menang PRU14...

Jika Barisan Nasional (BN) hendak menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), setiap parti komponen harus bekerja keras dan menggerakkan keseluruhan jentera pilihan raya mulai sekarang. Bukan di mulut atau di hati sahaja tetapi benar-benar bergerak cergas di medan terutama mendekati pengundi muda atau pengundi kali pertama.

Gerak kerja BN yang bersepadu dan teratur sudah pasti akan mampu menerobos ke segenap penjuru, terutama kawasan yang selama ini dibiarkan begitu sahaja. Kawasan terbiar akan mengundang ular atau binatang perosak dan berbisa. Ia juga termasuk kawasan yang pembangkang menang majoriti di bawah 1,000 undi.

Hakikatnya, BN tidak boleh hanya bergantung kepada jentera UMNO untuk menang apatah lagi dalam mengejar matlamat majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU-14. Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sering mengingatkan perlunya kerjasama pintar ini ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara bermula di Batu Pahat bulan lalu.

Selain perwakilan UMNO dan pemerhati, turut hadir ialah pemimpin komponen peringkat bahagian dan negeri yang pasti faham untuk menterjemahkan apa yang disuarakan oleh Ahmad Zahid. Yang turut hadir pemimpin NGO atau rakan BN. Pemimpin parti komponen pada peringkat bahagian perlu cergas melaksanakan segera arahan itu agar keputusan terbaik mampu dicapai oleh BN pada pilihan raya kali ini.

Jika tidak, ia akan tinggal mimpi atau angan-angan sahaja. Ahmad Zahid berkata perkongsian pintar kuasa yang diamalkan oleh Perikatan dan seterusnya BN, harus dijelaskan kepada rakyat terutama generasi muda kerana ia formula terbaik untuk sebuah negara berbilang kaum. Perkongsian kuasa ini membolehkan pemimpin parti komponen diwakili pada semua peringkat.

Malah ada yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara seperti wakil Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA). Peringkat pengurusan paling tertinggi, iaitu di Kabinet yang membuat pelbagai keputusan untuk rakyat turut diwakili semua kaum. Selain itu, mereka boleh membahaskan setiap dasar kerajaan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Keputusan yang dibuat dalam Kabinet bukan untuk sesuatu golongan tetapi mengambil kira kepentingan rakyat pelbagai kaum, termasuk di Sabah dan Sarawak. Wakil kaum boleh memberi pandangan atau menyuarakan sebarang hasrat. Kecualilah mereka senyap atau tidur.

Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden menekankan sikap sanggup berkongsi kuasa yang diamalkan oleh UMNO sehingga kawasan majoriti Melayu lebih 70 peratus pun diberikan kepada MCA atau MIC. Lebih menarik jentera UMNO di kawasan itu tetap bekerja keras untuk memastikan calon BN menang walaupun bukan daripada UMNO.

Nasihat ini diberikan Ahmad Zahid mengambil kira maklumat yang diterima oleh pemimpin UMNO peringkat bahagian yang berasakan jika semua jentera BN bergerak serentak dan sederap, kemenangan sudah pasti di depan pintu. Ahmad Zahid juga memuji sikap proaktif pemimpin UMNO yang memberikan sokongan padu kepada Ahli Parlimen sama ada daripada MCA, MIC, GERAKAN atau parti komponen lain.

Sebagai contoh di Tapah, katanya, UMNO memberikan sokongan dan dokongan tidak berbelah-bahagi kepada Ahli Parlimennya, Datuk M Saravanan.

'Sikap Ahli Parlimen itu yang menghormati peranan UMNO dan parti komponen lain selain bertanggungjawab membahagikan peruntukan yang diterimanya dengan baik,' katanya.

Ahmad Zahid mahu jentera BN terus bekerja keras dan meningkatkan gerak kerja sehingga ke peringkat penamat larian. Bukan separuh jalan atau merajuk. Pemerhatian beliau yang melihat sokongan kaum Cina dan India kepada BN semakin meningkat selepas Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar haruslah dijadikan semangat untuk bekerja kuat.

Tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan, katanya.-18/8/2017

Penulis adalah Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 504  tetamu dalam talian