23November2017

Tak sokong Bajet 2018... tapi tuntut RM2 bilion

Ahli Parlimen pembangkang diselar kerana tidak menyokong undian Bajet 2018 yang diadakan pada Isnin di Dewan Rakyat malah menuntut kerajaan memberikan RM2 bilion kepada Pulau Pinang sebagai simpanan luar jangka susulan musibah banjir yang melanda negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, jika ahli parlimen pembangkang memohon perutukan untuk tambahan wang luar jangka, mengapa tidak menyokong Bajet 2018 sebaliknya membuat undi belah bahagi.

"Yang Berhormat (YB) memohon perutukkan tambahan wang luar jangka, tapi kenapa YB tidak sokong bajet semalam? Bajet semalam sepatutnya disokong oleh pihak pembangkang, tapi bukan sahaja menentang malah minta buat belah bahagi undi," katanya ketika menjawab soalan tambahan waktu-waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Shahidan berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen  Sim Tze Tzin (Bayan Baru - PKR) yang berkata kerajaan melalui  Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyalurkan bantuan RM2 bilion  kepada Pulau Pinang sebagai simpanan luar jangka seperti yang diberikan kepada Kelantan dan Terengganu yang mengalami musibah sama dua tahun lalu.

Shahidan turut menafikan kenyataan tersebut kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah MKN hanya terlibat untuk membaiki rumah mangsa banjir di dua negeri itu yang melibatkan 650 ribu mangsa, sekaligus mencatatkan sejarah jumlah magsa banjir yang tertinggi di negara ini.

"NADMA juga menghulurkan bantuan semasa perpindahan. Tugas NADMA untuk memastikan mangsa banjir berpindah melalui Agensi Pertahanan Awam (APM) dengan bantuan agensi lain seperti pihak PDRM, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan selamat ke semua pusat pemindakan dan menjaga keperluan, makan minim mereka sebaik mungkin.

"Cuma kali ini kita ada pertambahan kerana membuat partition di pusat pemindahan untuk mengasingkan lelaki dan perempuan supaya mangsa banjir ada privacy sikit," katanya.

Shahidan turut menyindir ahli parlimen pembangkang yang mungkin 'terlalu sibuk' sehingga tidak datang ke Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Bagi  RM2 bilion yang dipohon YB itu, ia akan dibicangkan diperingkat lain. Bukan diperingkat saya. Cuma saya kesal sesungguhnya kerana YB pembangkang tidak menyokong bajet semalam yang di dalamnya termasuk untuk bantuan mangsa banjir.

"Jelas, mangsa banjir tidak mendapat sokongan daripada pihak pembangkang," katanya sambil mendapat sokongan ahli parlimen lain.

Semalam, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan bacaan peringkat dasar Bajet 2018 selepas undian belah bahagi yang dituntut oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Timbalan Speaker Datuk Seri Ismail Mohamad Said  memutuskan undian belah bahagi selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani selesai menggulung perbahasan di peringkat Dasar bagi kementeriannya petang Isnin.

Bagaimanapun, ketika proses undian, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempengerusikan persidangan dan kemudian mengmumkan keputusan pengundian yang menyaksikan pihak kerajaan memperolehi 107 undi  manakala blok pembangkang hanya mendapat undi 59 undi,

Seramai 11 lagi ahli parlimen PAS  mengambil sikap berkecuali.

Perbahasan peringkat dasar Bajet 2018 berlangsung selama enam hari manakala tiga hari diperuntukkan kepada kementerian menjawab di peringkat dasar.

Selepas ini Bajer 2018 akan dibahas diperingkat Jawatankuasa selama 9 hari mulai hari ini sehingga 28 November.

Bajet 2018 dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tema ‘Memakmur Ekonomi yang Inklusif, Mengimbangi Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50,’ pada 27 Oktober.

Bajet 2018 memperuntukkan RM280.25b, menyaksikan pertambahan peruntukan, berbanding RM260.8b peruntukan pada bajet tahun lalu.-14/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 666  tetamu dalam talian