09Disember2018

SST: Kerajaan PH dituntut jamin harga barang turun mulai 1 Sept...

Kerajaan Pakatan Harapan dicabar untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa harga barang akan turun jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September ini.
 
Cabaran itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.
 
Menurut Khairy, pengenalan semula SST tidak memberi jaminan harga barang akan turun kerana ia tidak berlaku apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disifarkan sejak 1 Jun lalu.
 
“Betul selepas 1 Jun, kadar bayaran lebih rendah. Itu kerana tiada kadar penjualan dibuat semasa ‘tax holiday’. Tetapi kesannya akan nampak pada 1 September nanti, sebab itu saya nak dengar jaminan kerajaan pada September nanti harga barang tidak akan naik.
 
“Tidak bukti kukuh yang menunjukkan bahawa GST merupakan faktor utama kenaikan mendadak harga barang. Kenaikan harga yang naik sebelum ini adalah kerana kenaikan harga minyak mentah dan bukan sebab GST,” katanya.
 
Tambah Khairy lagi,  Malaysia bakal mencatat sejarah menjadi satu-satunya negara yang patah balik melaksanakan SST.
 
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) menetapkan 6 peratus kadar GST dan berjaya mengutip sebanyak RM44 bilion kerana ingin menggunakan hasil untuk pelbagai program sosial rakyat.
 
“Kami bagi bantuan Aidilfitri, kerajaan PH beri tapi rendah dari dahulu. Kami bagi duit sara hidup negara, kerajaan PH tidak tentu bagi atau tidak. Kita kembalikan (kutipan) kepada rakyat.
 
“Kita kutip RM44 bilion kerana kutipan itu akan digunakan untuk kesejahteraan rakyat.
 
“Jika kerajaan PH tidak mahu teruskan insentif yang dibuat oleh BN dahulu, tak apa, sebab nak kutip RM21 bilion sahaja. Tetapi kerajaan PH harus tahu, RM21 bilion itu boleh dicapai dengan pelaksanaan GST pada kadar lebih rendah, tidak perlu kembalikan SST,” katanya.
 
Khairy turut menjelaskan, Indeks Harga Pengguna (CPI) sejak tahun 1980-an tidak pernah menurun dan sekaligus membuktikan GST bukan faktor utama harga barang naik.
 
Sementara itu, Khairy turut menafikan GST merupakan penyebab BN dihukum pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan meletakkan mereka di blok pembangkang.
 
“Kami akui dan terima rakyat menghukum kami, tapi GST bukanlah sebab utama kami dihukum. Rakyat menghukum sebab pelaksaan GST yang lemah dan pengundi ditipu oleh kerajaan PH. Kami akui dihukum, tapi bukan kerana GST,” tegasnya.
 
Beliau turut meminta kerajaan PH tidak mengorbankan dasar ekonomi yang baik sekarang ini hanya ingin melaksanakan manifesto mereka sedangkan pemimpin tertinggi mereka sendiri mengakui ‘ manifesto bukan kitab suci’ dan boleh diingkari.
 
“Jika kerajaan PH tidak boleh beri jaminan harga barang akan turun pada 1 September ini, jadi di atas dasar semangat ‘some promises can be broken’, janji ini boleh dimungkiri,” katanya.
 
Khairy merupakan salah seorang ahli parlimen yang komited memperjuangkan GST agar tidak dimansuhkan dan menyarankan ia dikekalkan tetapi pada kadar lebih rendah kerana yakin sistem cukai itu lebih telus dan efisien berbanding SST.- Oleh MAHIRAH ZAKARIA.
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 344  tetamu dalam talian