19Oktober2017

Salleh kutuk tindakan pembangkang sanggup guna kuasa asing campuri urusan politik negara

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan anggota dan penyokong pembangkang yang sanggup mengetepikan kedaulatan negara apabila menggunakan kuasa asing untuk mencampuri urusan politik negara.
 
Beliau berkata mereka yang tidak bertanggungjawab ini sanggup memanipulasi saman sivil terbaru yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai satu senjata politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin negara dan menjayakan matlamat peribadi masing-masing.
 
"Mereka lakukan perkara sedemikian pada Julai tahun lalu tetapi gagal dan mereka mencuba lagi pada tahun ini.
 
"Saya yakin sungguh mereka akan menggunakan perkara sama pada pilihan raya umum akan datang iaitu mereka membuat manipulasi menggunakan isu ini (saman sivil DoJ) untuk mencemarkan imej negara dan merosakkan nama baik perdana menteri," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur Jumaat.
 
Salleh menegaskan bahawa pihak Peguam Negara telah berkali-kali sebelum ini menegaskan bahawa siasatan yang dibuat menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam dakwaan aktiviti pengubahan wang haram seperti yang terkandung dalam saman sivil DoJ itu dan malahan tidak wujud apa-apa bukti yang berasas untuk apa-apa tindakan mahkamah.
 
Salleh berkata masyarakat negara ini seharusnya faham bahawa siasatan oleh DoJ merupakan satu proses biasa di Amerika Syarikat dan ia tidak membuktikan kesahihan sesuatu dakwaan selagi perkara itu tidak diputuskan oleh mahkamah.
 
"Tetapi ada pihak di Malaysia ini mengambil kesempatan (atas laporan DoJ). Sudah tentu ia (tuduhan) tidak disiasat jika tidak ada dakwaan daripada orang Malaysia sendiri.
 
"Terbukti ada orang Malaysia telah pergi ke Amerika Syarikat membuat dakwaan di negara itu, sedangkan Malaysia sendiri mempunyai undang-undang," katanya.
 
Menurut Salleh pihak pembangkang sekarang dalam keadaan tenat serta terdesak dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kelangsungan politik walaupun perbuatan itu diketahui sebagai keji dan kotor.
 
Katanya, pembangkang melakukan perbuatan ini semata-mata ingin mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin negara dalam usaha mendapatkan sokongan politik daripada rakyat.
 
Bagaimanapun, Salleh berkata majoriti rakyat menyedari perkara itu dan malahan mereka sudah muak dengan taktik kotor pembangkang yang menggunakan isu-isu lama yang tidak lagi relevan secara berulang kali untuk meraih sokongan.
 
Katanya, rakyat negara ini sebenarnya lebih mementingkan soal pembangunan ekonomi dan sosial yang memberi kebaikan kepada rakyat daripada memikirkan dakwaan oleh pihak luar yang tiada asas.
 
"Saya yakin rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kerajaan kerana mahukan sebuah negara yang bebas menentukan hala tuju kita dan tidak perlu bersubahat dengan pihak luar.
 
"Kita tidak perlu mencari jalan meminta ihsan negara luar untuk jatuhkan kepimpinan negara. Pada saya itu salah dan dianggap mengkhianati kemerdekaan Malaysia," katanya.- 16/6/2017
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 891  tetamu dalam talian