22September2018

RM1.21 bilion dana mengalir keluar dari Bursa Malaysia

Dana asing terus meninggalkan saham tempatan di Bursa Malaysia pada kadar yang lebih besar ming­gu lepas, menandakan penjualan asing untuk minggu ketujuh berturut-turut.

Menurut MIDF Research, data Bursa Malaysia tidak termasuk tawaran luar pasaran menyaksikan jumlah bersih yang dilepaskan oleh pelabur asing melepasi paras RM1 bilion iaitu RM1.21 bilion.

“Setakat Jumaat minggu lalu, aliran penjualan telah berlanju­tan sehingga 28 hari, hanya kurang sehari berbanding penjualan selama 29 hari pada awal Januari hingga pertengahan Februari 2014,” jelas MIDF Research dalam nota kajian pada Isnin.

Menurut firma penyelidikan itu, penjualan pada Isnin minggu lalu berada di atas paras RM200 juta iaitu RM216.5 juta, sebelum meningkat kepada RM359 juta pada Selasa.

“Pelabur berasa gusar pada Selasa ketika sidang kemuncak bersejarah antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara yang turut mengheret turun FBM KLCI sebanyak 0.66 peratus kepada 1,764 mata,” jelasnya.

MIDF Research memberitahu, aktiviti penjualan pada Rabu kembali kepada paras Isnin apabila pelabur global hanya menjual RM230.4 juta di tengah-tengah mood risiko yang lembab apabila pelabur menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah.

Jelasnya lagi, penjualan asing pada minggu lalu memuncak pada Khamis dengan sebanyak RM402.2 juta sebelum bursa tempatan terbabit ditutup sempena Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat.

“Perlu diingatkan bahawa rakan Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Thailand juga mengalami aliran keluar yang besar pada hari tersebut disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

“Malaysia mencatatkan aliran keluar mingguan kedua terbesar di antara empat pasaran ASEAN yang dipantau selepas Thailand,” jelas firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun jelas MIDF Research, sehingga hari ini, aliran keluar daripada Malaysia berjumlah RM4.23 bilion bersamaan dengan AS$1.06 bilion yang juga masih terendah dalam kalangan rakan ASEAN seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

“Penyertaan asing adalah kukuh kerana purata nilai daga­ngan harian meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM2.03 bilion, minggu ke-11 berturut-turut melebihi paras RM1 bilion.

“Sementara itu, pasaran runcit dan dana tempatan turut menca­tatkan aktiviti pembelian masing-masing bagi minggu kelima dan ketujuh berturut-turut,” jelas firma penyelidikan tersebut.-19/6/2018 -Utusan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 524  tetamu dalam talian