26September2018

Ramalan Perak 'jatuh' propaganda pembangkang - MB

Dakwaan NGO milik pemimpin PKR Invoke bahawa berdasarkan kajian mereka Perak antara negeri yang akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) nanti adalah satu propaganda, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya paling penting ialah cara pendekatan yang dibuat Barisan Nasional (BN) iaitu terus bekerja.

``Saya tidak bimbang dengan kajian Invoke, paling penting cara pendekatan kita adalah buat kerja sahaja,” katanya.

Beliau diminta mengulas kajian Invoke seperti diumum Rafizi Ramli, yang mendakwa kononnya Perak antara negeri yang akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.

Dr Zambry yang  sama sekali tidak mahu memperlekehkan kajian itu seterusnya berkata, bagi mereka yang raisonal serta mengambil kira pelbagai pendekatan, statistik dan jangkaan rasional ia boleh dipersoalkan.

Menurut beliau, dalam politik paling utama adalah dengan memberi fokus kepada jumlah bilangan pengundi di kawasan tersebut.

``Invoke boleh buat apa sahaja, semua nak gunakan istilah ‘big data’, semua nak buktikan kajian mereka bertetapan berdasarkan big data.

``Saya tak mahu perlekehkan mana-mana pihak tetapi bagi sesiapa melihat semuanya bukan Perak sahaja Melaka, Negeri Sembilan, Johor akan habis.

``Invoke, provoke ke tak apa paling penting buat kerja… Invoke nak provoke itu dia punya masalah,” kata Dr Zambry.

Menurut kajian  Invoke  itu, Kedah, Perak dan Johor diramal akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan tsunami Melayu.

Barisan Nasional (BN) pula dikatakan menang bersih di Terengganu dan Kelantan selain mengekalkan kuasa di Pahang manakala PAS tidak akan menang sebarang kerusi persekutuan.

Sementara itu BN Perak sudah bersedia `berperang’ berdepan  pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa dari sekarang.            

Justeru, bagi menyakinkan rakyat negeri ini membuat pilihan tepat ketika membuang undi nanti,  Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri telah melancarkan moto `Perak Negeriku, Barisan Nasional Pilihanku’ dihadapan 8,000 penyokong serentak dengan pelancaran Jentera PRU14 Parlimen Lumut pada Ahad.

Dr Zambry dalam ucapannya melaungkan semangat bahawa BN Perak sudah bersedia ‘berperang’ menghadapi pilihan raya kali ini.

``Saya amat berpuas hati dengan tahap persediaan jentera BN Negeri, kita tidak nafikan pelancaran di Lumut ini merupakan pelancaran terakhir di peringkat Parlimen, sebelum dibubarkan bila-bila masa oleh YAB Perdana Menteri.

``Saya juga  bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Ketua Cawangan dengan membawa anak-anak buah mereka keluar dengan kenderaan dan kereta di setiap tempat sejak awal pagi,”katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera BN yang disifatkannya sebagai panglima sebenar yang akan menentukan kalah menang BN pada PRU-14.

``Andalah panglima yang sebenar, bayangkan untuk membentuk kumpulan sebesar ini memerlukan kita bergerak dan bersatu yang boleh menggerunkan musuh, apa yang penting kena ada pemikiran untuk menang,”katanya.-12/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 452  tetamu dalam talian