27Julai2017

PKR khianati kerjasama politik dengan PAS berulang kali...

Terdapat terlalu banyak perlanggaran kerjasama politik yang dilakukan oleh para pemimpin PKR, baik di Kelantan mahupun di Pusat, ke atas PAS sejak dua tahun kebelakangan ini yang tidak memungkinkan hubungan mereka terus terjalin, kata Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

“Selain Selangor yang menyaksikan kerajaan negeri diterajui PKR masih mengekalkan pemimpin PAS sebagai antara pemegang jawatan pentadbiran, Kelantan adalah negeri penting dalam menentukan hubungan antara PKR dan PAS kerana kerajaan negeri diterajui PAS memberi ruang kepada pemimpin PKR untuk memegang berbagai jawatan pentadbiran sebelum ini.

“Begitupun, pemimpin PKR ternyata tidak menghargai pengorbanan PAS memberikan ruang kepada mereka untuk bergerak di Kelantan walaupun mereka sebenarnya tidak mempunyai pengaruh di negeri itu, dan ini dapat dilihat melalui tindakan mereka bersekongkol dengan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang terang-terang mahu menggulingkan PAS.

“Pada hemat saya, PAS sepatutnya sudah lama memutuskan hubungan dengan PKR kerana ia sememangnya tidak dapat dipertahankan lagi, di mana di peringkat Pusat pelbagai isu timbul, termasuk tindakan mesyuarat Biro Politik PKR pada 17 Mac 2015 tidak menyokong usaha kerajaan negeri meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada 19 Mac 2015.

“Begitu juga tindakan pemimpin PKR tidak menyokong tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk meminda bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah (RUU 355) di Dewan Rakyat, termasuk terakhirnya pada 6 April lalu, di mana sebahagian mereka hanya membuat pusingan-U setelah peristiwa ini berlalu.

“Lebih jelas lagi ialah tindakan PKR mengkhianati PAS secara terang-terangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 dengan berkempen menyokong calon lawan PAS, PAN, dan dengan memburuk-burukkan PAS yang menyamai tindakan PMS46 menyokong calon lawan PAS, BN, dalam PRK Bukit Asahan, Melaka pada 1996 dulu,” katanya.

Mengikut Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) itu, di peringkat Kelantan sendiri, hubungan hanya menjadi tegang setelah pemimpin PKR tidak mengendahkan larangan untuk bersekongkol dengan pemimpin Amanah selain tindakan PKR mencuri bekas pemimpin tinggi PAS, Kamarudin Jaffar, yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat.

“Paling mutakhir membabitkan PAS Kelantan adalah tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengugut untuk mendedahkan skandal balak di Kelantan dalam tempoh seminggu dari tarikh ucapan beliau di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu, pada 24 Disember 2016, yang jelas merupakan satu pengkhianatan kepada PAS selaku peneraju kerajaan negeri.

“Ini ditambah pula oleh tindakan Rafizi menuduh PAS menerima dana 1MDB baru-baru ini di mana ia langsung tidak ditegur oleh pemimpin tertinggi PKR sekali gus menjadi serangan terbuka PKR terhadap PAS menjadikan satu perkara yang sangat melucukan jika pemimpin PAS, termasuk PAS Kelantan, masih mahu mempertahankan hubungan antara PAS dan PKR,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambah beliau, keputusan Dewan Pemuda PAS Kelantan, di samping Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan PAS Kawasan seluruh negara, menegakkan prinsip perjuangan Islam dalam menentukan hubungannya dengan PKR dan parti pembangkang lain ini menjadi petanda baik bagi meningkatkan keyakinan pengundi Islam kepada PAS.-20/4/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 710  tetamu dalam talian