16November2018

Permusuhan PKR dan PAN sukar didamaikan...

Pertelagahan terbuka antara PKR dan PAN di Selangor mengenai agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memang sudah diduga berdasarkan ketegangan yang telah wujud antara kedua-dua buah parti ini lama sebelum ini.

Tempelakan Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim, ke atas kelayakan Azmin Ali untuk memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor juga tidak mengejutkan kerana pemimpin PAN lain pun pernah mempertikaikan perkara ini.

Begitu juga dengan kritikan Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi, ke atas Azmin yang didakwa berbohong dengan menyatakan Pakatan Harapan Selangor sudah bermesyuarat membincangkan agihan kerusi yang menampakkan kemarahan Amanah ke atas beliau.

Tuntutan Abbas supaya Azmin menarik semula tuduhan PAN parti pembohong dan tidak amanah juga mudah difahami kerana ia melibatkan maruah dan integriti PAN sebagai sebuah parti yang memperjuangkan konsep Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Ketidakpuasan hati PAN ke atas Azmin sudah berlaku sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada Jun 2016 lagi bila cadangan Azmin supaya Pakatan Harapan mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS di situ telah memarahkan PAN.

Azmin dan pemimpin PKR Selangor dilihat tidak percaya dengan kemampuan PAN untuk menarik sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini mengundi PAS kepada Pakatan Harapan dan ini terbukti dengan kegagalan PAN berbuat demikian di Sungai Besar.

Selepas berlangsungnya PRK Sungai Besar, dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan bahawa PAN hanya mempunyai satu peratus sokongan digembar-gemburkan, dan ini diteruskan oleh kenyataan Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, beberapa hari lalu.

Begitu juga kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor merangkap Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimi Shafiei, pada Disember 2016 supaya PAN tidak meletakkan calon di negeri Selangor yang ditempelak oleh Pengarah KomunikasiPAN, Khalid Samad.

Pertelingkahan ini berterusan dengan tekanan PAN kepada Azmin supaya merombak pentadbiran negeri dengan menggantikan ahli Exco dan penjawat kerajaan negeri lain yang disandang oleh pemimpin PAS dengan pemimpin PAN yang tidak beliau hiraukan.

Paling memeritkan adalah bila Timbalan Pengerusi PAN Selangor, Ir Saari Sungib, diselar oleh Azmin dengan tweet berbunyi ‚Äú@SaariSungib nak jadi pengemis untuk jawatan Exco ke‚ÄĚ bila Saari mengkritik tindakan Azmin mengekalkan PAS dalam pentadbiran negeri.

Kesemua ini menunjukkan Azmin dan pemimpin PKR Selangor tidak akan memberikan laluan mudah kepada PAN di Selangor malah mereka masih berusaha bekerjasama dengan PAS bagi memastikan kemenangan beliau dan calon-calon PKR lain di negeri itu.

PAN yang sangat tersepit menyerang Azmin, dan dengan sokongan DAP kepada PAN, sukar untuk dibayangkan Azmin akan mampu bertahan sebagai Menteri Besar Selangor jika Pakatan Harapan masih mampu memenangi negeri itu.

Selain sokongan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, kepada Izham, sikap anti Azmin tergambar di dalam kenyataan bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, bahawa Azmin tidak layak memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Tidak dinafikan ada usaha akan dibuat untuk cuba menyelesaikan pertelagahan antara PKR dan PAN di Selangor ini tetapi adalah diyakini bahawa mereka amat sukar didamaikan kerana luka bahana kata-kata sangat pedih yang dilontarkan adalah sangat mendalam.-6/2/2018

Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 457  tetamu dalam talian