18Ogos2018

Perjelasan UMNO berhubung tindakan keluar dewan

Menghormati peraturan dan undang undang adalah keutamaan UMNO . Malah ketika BN menjadi kerajaan, itulah prinsip yang menjadi pegangan kita. Apatah lagi Parlimen akan hanya berjalan dengan tertib dan sempurna jika peraturan dewan dipatuhi oleh semua pihak.

Hari ini UMNO sebagai Pembangkang bersama dengan PAS, MIC, MCA dan PBRS telah mengambil tindakan keluar dari Sidang Dewan ketika undian lantikan Speaker Dewan Rakyat hendak dilakukan.

Perlu ditegaskan, tindakan UMNO itu bukan mempertikai atau tidak bersetuju dengan cadangan melantik Yang Berbahagia Datuk Mohamad Ariff Yusof bekas Hakim Mahkamah Rayuan sebagai Speaker Dewan Rakyat sebagaimana Kerajaan PH cadangkan. Malah, jika kita tidak bersetuju, pasti kita juga akan mencadangkan calon lain untuk jawatan yang sama.

UMNO ingin tegaskan bahawa kita amat menghormati Institusi Parlimen kerana institusi Parlimen mesti diletakkan di kedudukan yang tinggi. Jadi mematuhi peraturan penting dilakukan bagi menunjukkan Parlimen dihormati. Dalam soal ini Kerajaan PH jelas tidak mematuhi peraturan mengikut bukti yang kita ada.

Isunya ialah, Kerajaan PH tidak mengikut peraturan dewan sebagaimana sepatutnya dalam soal pelantikan Speaker Dewan Rakyat sebagaimana Subperaturan Mesyuarat 4 ( 1 ) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa :

"Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini:

(1) Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat"

Justeru kita melihat pelanggaran peraturan jelas dilakukan. Maka dalam dewan sebelum undian dilakukan kita meminta  pihak kerajaan memberikan penjelasan berasaskan peraturan. Jadi Pembangkang melalui Ketua Whip PAS, YB Dato' Takiyuddin Hassan ( Kota Baharu ) telah bangun meminta penjelasan Setiausaha Dewan berkenaan pematuhan Peraturan Mesyuarat.

Namun, suara bantahan tersebut tidak diendahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat. Kita percaya, ini sudah dirancang oleh pihak Kerajaan PH. Kerajaan PH jelas tidak telus dan menghalang YB Kota Bahru meminta penjelasan. Ini gambaran bahawa " Rule Of Laws " sebagaimana dicanangkan oleh Kerajaan PH jelas tidak dipraktikkan.

Justeru, tindakan UMNO dan rakan rakan pembangkang yang lain, meninggalkan dewan bertujuan  memberi mesej bahawa Kerajaan PH telah melanggar Undang Undang dan Peraturan Dewan Rakyat. Dan kita tidak mahu terlibat sama melanggar peraturan itu.

Sebenarnya, Pembangkang ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan PH mengenai perkara tersebut, supaya kita bersama menghormati peraturan dewan yang mulia. Sebagai Pembangkang kita hanya ingin cadangkan antara lain agar Sidang Dewan ini ditangguhkan pada tarikh lain supaya peraturan sepatutnya dapat diikuti.

Namun, kita kesal kerana Kerajaan PH tetap memulakan sidang dengan melanggar peraturan dan undang-undang Dewan Rakyat iaitu  tidak mematuhi  peraturan sebagimana saya sebutkan diatas. Institusi ini sepatutnya dijunjung tinggi, melanggar peraturan bermakna Kerajaan PH tidak menghormati Institusi Parlimen.-16/7/2018

Penulis merupakan Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Lenggong

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 465  tetamu dalam talian