23September2018

PAU2017 tempat terbaik perjuangankan isu anak muda

Tidak berapa lama sahaja lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Sememangnya saingan sengit dijangkakan akan berlaku antara parti-parti yang sedia ada dan tak kurang juga yang baharu ditubuhkan bagi memperoleh kuasa mentadbir negara.

Menurut statistik, dianggarkan 20 peratus daripada kira-kira 15 juta jumlah pengundi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Rata-rata mereka ini berusia lingkungan 20-an yang mana kita sedia maklum senang dimanipulasi dan termakan dengan dakyah pembangkang.

Sementelahan dalam usia muda ini mereka belum ada pengalaman dan belum ada pendirian yang jelas terhadap politik. Justeru, siapa sahaja yang pandai mengambil hati mereka dan dirasakan membela nasib mereka akan mereka pilih.

Saya juga menyokong pandangan mengatakan untuk menawan hati mereka, perlu bijak bermain emosi dan psikologi kerana dalam politik ia lebih kepada permainan emosi bukannya bersandar kepada logik.

Dalam konteks ini, saya merasakan minda mereka perlu dibersihkan daripada sentimen negatif yang kini giat dicambahkan oleh pihak pembangkang.

Saya melihat, inilah tugas utama barisan Pemuda dalam usaha untuk memenangi hati dan jiwa rakyat terutamanya pengundi muda seperti disarankan Khairi Jamaluddin selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Justeru, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada kali ini adalah platform paling anjal untuk menyuarakan kegusaran orang muda terhadap isu-isu semasa yang mana tempiasnya banyak ditanggung orang muda.

Isu kenaikan kos sara hidup perlu diperhalusi dengan lebih mendalam sementelahan isu ini dilihat bagaikan tiada akhirnya kerana setiap tahun isu ini pasti akan diutarakan oleh sebilangan besar perwakilan.

Tidak dinafikan isu itu jugalah modal yang selalu digunakan pembangkang untuk meniupkan api kebencian terhadap BN tetapi harus diingat, pihak pembangkang juga tidak terlepas daripada kemelut isu dalaman yang mereka sendiri tidak dapat selesaikan sehingga kini.

Seperti diketahui, PKR ada masalah sendiri. Pakatan Harapan DAP-PKR-PAN-PPBM juga tidak terkecuali. Jika isu dalaman pun mereka masih tidak dapat selesaikan, bagaimana pula mahu mentadbir negara yang kita sedia maklum cabarannya bukan sedikit.

PPBM di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad juga belum nampak meyakinkan selain daripada memperjuangkan agenda peribadi. Oleh itu, pemahaman pengundi pertama terhadap isu-isu panas ini perlu lebih diperjelaskan dan disebarluaskan agar mereka dapat menilai antara intan dan kaca.

Namun begitu, BN dan UMNO walau sering dikecam dengan pelbagai tohmahan tetapi apa yang kita lihat, terus membantu rakyat tidak kira sama ada di negeri pembangkang atau pun di kawasan sendiri.

Buktinya jelas kita dapat lihat sewaktu kejadian banjir di Pulau Pinang baru-baru ini. Bantuan segera dihulurkan kepada mangsa banjir meskipun negeri itu di bawah pemerintahan DAP.

Pemimpin tertinggi BN dan UMNO juga turun padang meninjau keadaan mangsa banjir. Justeru, kreativiti Pemuda memanifestasikan kebaikan dan ketulusan pihak kerajaan adalah amat ditagih.

Pengundi-pengundi di Sabah dan Sarawak juga perlu digesa untuk menilai dengan rasional kesungguhan kerajaan dalam membangunkan kedua-dua ne­geri ini. Selain lebuh raya Pan-Borneo, banyak lagi pembangunan yang sedang dilaksanakan dan dalam perancangan untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Dasar-dasar kerajaan dalam Bajet 2018 perlu diuar-uarkan secara meluas terutamanya yang memberi kelebihan kepada golongan muda contohnya se­perti Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) yang dihadiahkan khusus untuk bayi yang dilahirkan pada 1 Januari 2018 hingga 2022.

Malah, bagi suami yang isterinya hamil lima bulan dan ke atas diberikan kelonggaran untuk pulang satu jam lebih awal dari biasa.

Meskipun begitu, masih ada suara-suara sumbang yang mempertikai usaha murni kerajaan sebaliknya membandingkan dengan bajet Kerajaan Negeri Selangor yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mana sebenarnya bonus tiga bulan yang dicanang bukannya indah seperti disangka.

Sebulan bonus telah dikira sebagai pendahuluan Hari Raya manakala sebulan lagi telah diberikan sebelum itu dan yang ketiga akan dibayar pada Disember nanti. Dasar beliau sebenar­nya tidak meyakinkan dan sering berubah-ubah.

Justeru, diingatkan sekali lagi, PAU pada kali ini adalah kesempatan terbaik buat para perwakilan Pemuda untuk memperjuangkan isu anak muda. Isu kenaikan harga minyak contohnya perlu dibahaskan secara serius pada perhimpunan kali ini.

Isu harga rumah, peluang pekerjaan, pembiayaan perniagaan yang menjadi topik popular perlu disiapsiaga kerana isu itu akan kembali dimainkan oleh pihak pembangkang bagi meraih sokongan pe­ngundi muda.

Semua isu ini perlu diperhalusi dengan bijak oleh Pemuda dan disuarakan dengan lantang. Namun, suara sahaja tanpa tindakan juga tidak ada gunanya.

Maka, diharapkan isu yang diutarakan nanti mendapat perhatian dan ada tindakan drastik diambil oleh parti bagi menambah baik apa yang telah parti sumbangkan kepada rakyat selama ini.

Kita tidak mahu parti khususnya Pemuda dilabel hanya cakap berdegar-degar sahaja di dalam dewan. Tetapi selepas PAU, semuanya sunyi sepi dingin membeku. Ayuh Pemuda! Kita cakap, kita buat!

Jika kapal dilambung gelora,
Jangan disalah nakhoda sahaja,
Pemuda sepakat berganding tenaga,
Menangkis serangan
musuh negara.

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia. Tulisan ini kali pertama disiarkan Utusan Malaysia.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 377  tetamu dalam talian