22Jun2018

PAN kecundang sebelum masuk gelanggang...

Seronok juga melihat cara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS sewaktu PAS bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.

Paling menyedihkan tentulah PAN yang para pemimpinnya sebelum ini berdegar-degar melaungkan ke seluruh negara kononnya PAN akan mengambil-alih tempat PAS di dalam Pakatan Rakyat dahulu dengan menandingi kerusi-kerusi yang PAS tandingi.

Walhasilnya, daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS yang PAS tandingi dahulu, PAN hanya diberikan 25 kerusi sahaja (38 peratus), berbanding 35 yang diberikan kepada PPBM, 4 kepada PKR dan 1 kepada DAP.

Markah 38peratus yang diperolehi oleh PAN ini adalah bukti nyata kegagalan awal PAN di dalam misi yang dilaung-laungkannya untuk kononnya menggantikan peranan PAS di dalam PH dengan konsep IslamRahmatan lil ‘Alaminnya.

Agihan kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia ini menunjukkan betapa PAN diperbudak-budakkan oleh rakan-rakannya dalam PH sehingga menyebabkan pemimpin PAN meluahkan kekesalan mengenai mereka terpaksa berkorban.

Keluhan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, di dalam portal berita Free MalaysiaToday, mencerminkannya: “Hanya PAN yang sanggup berkorban untuk gabungan pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri.”

Kata Aminolhuda mengenai agihan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, “Kita (PAN) korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.”

Begitu juga dengan agihan kerusi Parlimen di Johor dalam mana Aminolhuda berkata: “Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam daripada PAN hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA.”

Turut dibangkitkan oleh Aminolhuda adalah pengorbanan PAN “yang ke depan membentuk PH”, “menjadi tonggak PH di Johor”, “isytihar Johor negeri barisan depan PAN” tetapi terpaksa menyerahkan Johor kepada PPBM.

Begitu juga dengan pendedahan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, di dalam portal beritaThe Malaysian Insight, bahawa Konvensyen Pakatan Harapan hampir sahaja tidak mampu dilangsungkan bila timbul kebuntuan di dalam agihan kerusi tersebut.

Kata Khalid, kebuntuan yang berlaku ekoran ketegasan semua parti mempertahankan kerusi masing-masing ini hanya berjaya dipecahkan sekali gus membolehkan konvensyen itu dilangsungkan setelah PAN setuju menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada PPBM.

Kesemua ini mendedahkan mengenai ketidaktegasan para pemimpin PAN memperjuangkan kepentingan mereka sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai bagaimana konsep Islam Rahmatan lil 'Alamin dapat diperjuangkan oleh PAN.

Paling ketara memperbudak-budakkan PAN ialah PPBM yang membolot kedua-dua kerusi PAN di Wilayah Persekutuan dan kedua-dua kerusi PAN di Perlis sehingga PAN langsung tidak memperolehi sebarang kerusi di dua negeri ini.

Lebih jelas lagi ialah bila kedua-dua kerusi yang PAN tandingi di dalam Pilihan Raya Kecil pada 18 Jun 2016 dahulu dan yang telah PAN jagai sejak detik itu, iaitu kerusi-kerusi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar, pun turut dirampas oleh PPBM.

Ketamakan PPBM ini terserlah di dalam kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kepada portal berita MalaysiaKini bahawa PPBM meminta diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung Malaysia, malah asalnya meminta sebanyak 80 kerusi.

Turut memperbudak-budakkan PAN ialah DAP yang, mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight, menyerahkan kerusi-kerusi P135 Alor Gajah dan P165 Tanjong Piai kepada PPBM hanya untuk mendapatkan kerusi P148 Ayer Hitam milik PAN.

Jika betul DAP menghormati PAN dan konsep Islam Rahmatan lil 'Alaminnya, mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada PAN, bukan kepada PPBM, sebagai tukaran kepada kerusi P148 Ayer Hitam milik PAN itu?

Tidak hairanlah bila Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi PAN Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed, dan lain-lain lagi membangkitkan layanan teruk terhadap PAN ini secara terbuka.

Semoga layanan teruk terhadap PAN dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini mampu menyedarkan sebahagian pendokong PAN betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui PH.-11/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 525  tetamu dalam talian