25April2017

Memahami trend pengguna media sosial...

Bila sahaja berlaku sesuatu kejadian besar, media sosial secara tidak rasmi menjadi tempat orang ramai mencari maklumat selanjutnya.
 
Malah, ia menjadi tempat mereka bertukar pandangan dan tidak kurang meluahkan perasaan.
 
Dalam satu ruang terbuka seperti Facebook, Instagram, Twitter atau forum dalam talian, luahan pendapat boleh membina perbincangan sihat namun pada masa sama boleh mencetuskan perbalahan sesama pengguna.
 
Pada bulan lepas, masyarakat hangat memperdebatkan perihal keperluan untuk memantau aktiviti anak pada waktu malam susulan kejadian kemalangan maut yang meragut nyawa lapan remaja di Johor Bahru pada 8 Feb.
 
Dalam pada orang ramai meluahkan rasa simpati kepada keluarga si mati, ada juga kem yang mengutuk ibu bapa mangsa kerana membiarkan anak berkeliaran pada waktu tengah malam. Ada juga yang mencemuh pemandu kerana lalai. Tidak ketinggalan, golongan yang cuba memainkan sentimen perkauman.
 
Kemudian, perhatian ramai beralih pula kepada isu pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-Nam yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat kerana sifat kes itu yang agak 'luar biasa' sehingga menyeret hubungan antara Malaysia dan Korea Utara.
 
PESIMIS DAN OPTIMIS
 
Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi, Khaireel Azlee Abdul Aziz, 33, menjelaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis pengguna media sosial iaitu golongan pesimis dan golongan optimis.
 
Kedua-dua golongan ini akan memberi reaksi berbeza terhadap bahan-bahan yang mereka baca, jelas beliau pada Program Bicara Ilmu: Pemikiran Media Sosial anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 21 Feb.
 
Khaireel Azlee menjelaskan bahawa kedua-dua golongan ini mengeluarkan pendapat berdasarkan persepsi yang dibentuk oleh penyedia bahan.
 
"Golongan pesimis biasanya lebih ramai berbanding yang optimis. Kita boleh kenal pasti mereka melalui komen-komen mereka berkaitan isu-isu panas. Mereka mudah mengeluarkan kata-kata yang berbaur negatif dan ada kalanya menggunakan kata-kata kesat," tambah beliau.
 
Situasi seumpama itu boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutamanya bila melibatkan isu terkait rasuah, salah guna kuasa dan hal-hal yang memerlukan masa untuk dijelaskan oleh pihak berwajib.
 
Khaireel Azlee mengambil contoh yang kononnya berlangsung aktiviti judi ketika penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MAHA) pada Disember lepas.
 
Pertandingan meneka berat 'Lembu Sado' pada pameran itu menjadi tular berikutan terdapat tuduhan bahawa ia adalah aktiviti judi sedangkan sebenarnya hanyalah usaha mengumpul dana untuk sebuah kelab.
 
"Malangnya ia ditularkan dengan cara negatif menyebabkan ramai netizen memberi komen-komen menghentam mereka yang terlibat. Walaupun pihak penganjur telah membuat penjelasan tetap tidak diterima dek akibat sikap pesimis orang ramai," jelas beliau.
 
MOTIF
 
Khaireel Azlee turut berkongsi satu maklumat penting mengenai objektif para penyedia bahan dalam laman-laman sosial.
 
"Para penyedia bahan di media sosial sebenarnya tidak begitu kisah dengan apa yang anda komen pada 'post' yang dibuat melalui Facebook, Twitter dan sebagainya. Apa yang paling penting adalah 'nombor'. Ini yang kami guna untuk 'approach' bakal klien agar mengiklan dalam laman yang kami bina atau untuk dapatkan harga yang mahal jika ada yang mahu membeli 'page' tersebut."
 
'Nombor' yang dimaksudkan beliau adalah jumlah 'like', jumlah komen dan jumlah orang yang menyebar bahan yang dipaparkan dalam laman sosial. Lebih tinggi jumlah, lebih banyak wang yang boleh dijana oleh pengendali laman.
 
Oleh itu beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam mempercayai sesuatu berita yang disebar atau menjadi tular kerana boleh jadi ia telah dipusing semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat sahaja.
 
Khaireel Azlee berkata antara cara untuk mengesan berita songsang adalah cara penggunaan ayat tergantung pada tajuk artikel dan penggunaan gambar yang tidak ada kaitan dengan berita yang disiarkan.
 
Tambah beliau, pengguna laman sosial juga perlu bijak membezakan kandungan bahan yang bersifat fakta, pendapat atau andaian semata-mata untuk mengelak daripada diperdaya penyedia bahan yang tidak bertanggung jawab.
 
KENALI 'CULTURAL PROVOCATEUR'
 
Demi mengejar 'nombor', ada penyedia bahan di laman sosial yang sanggup menggunakan elemen-elemen sensitif untuk menyuntik rasa marah pembaca yang seterusnya akan membuat si pembaca mengambil tindakan terhadap bahan itu.
 
Pembaca akan sama ada 'Like' atau menulis komen yang baik bersifat pesimis atau optimis atau akan berkongsi maklumat itu dengan rakan-rakan mereka di alam maya.
 
"Agama, bangsa dan budaya - adalah tiga perkara yang selalu dimainkan oleh golongan yang dengan sengaja mahu melakukan provokasi terhadap pembaca. Golongan ini dipanggil sebagai 'cultural provocateur'," jelas beliau.
 
Cultural provocateur mungkin juga adalah individu sebenar dan boleh juga wujud menggunakan identiti 'alter ego' ataupun 'anonymous'.
 
"Golongan anonymous ini adalah yang paling bahaya kerana meskipun ia menggunakan identiti orang yang 'nobody' (tanpa bukti kredibiliti dalam sesuatu isu) tetapi kata-katanya dipercayai dan diikuti orang. Bahkan bila berlaku sesuatu isu, orang ramai akan tertunggu-tunggu komentar daripadanya," ulas Khaireel Azlee.
 
Hal beginilah yang boleh menjadi punca penularan maklumat yang tidak sahih yang boleh mencetuskan perkara-perkara yang tidak diingini jika dipercayai masyarakat.18/3/2017 - Oleh Ali Imran Mohd Noordin,Bernama
 

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 717  tetamu dalam talian